Mudah diganti, sukar dihenti: Bagaimana warga asing menyemarakkan rantaian rokok seludup
Warga asing kini menjadi sebahagian daripada jentera pengedaran rokok seludup di negara kita, bukan lagi sebagai pekerja tetapi pemilik kepada perniagaan haram ini.

SERBUAN besar-besaran pada April lalu, termasuk penahanan 133 warga asing di Balakong dan Shah Alam, Selangor serta amaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution terhadap warga asing yang berniaga dengan menyalahgunakan pas pelawat atau visa, memperlihatkan keazamanpihak berkuasa dalam menangani masalah yang semakin serius.
Warga asing kini menjadi sebahagian daripada jentera pengedaran rokok seludup di negara kita, bukan lagi sebagai pekerja tetapi pemilik kepada perniagaan haram ini.
Namun, persoalannya, walaupun operasi serbuan dan penguatkuasaan kerap dijalankan, pasaran rokok seludup kekal pada kadar 54.4 peratus dengan nilai melebihi RM5 bilion setahun. Bayangkan, sebuah premis kedai yang menjual rokok tanpa cukai, dikendalikan oleh warga asing dengan punca bekalan yang tidak diketahui.
Serbuan dan penutupan premis hanya memberi kesan sementara kerana operasi boleh disambung semula dengan cepat. Hakikatnya, sindiket terus hidup kerana permintaan yang tinggi dan sikap segelintir pihak yang sanggup mengambil risiko.
Modus Operandi terbukti melalui operasi penguatkuasaan
Serbuan di Balakong dan Shah Alam pada 8 April lalu telah membuktikan corak ini. Dalam operasi tersebut, 133 warga asing ditahan dan rokok seludup dirampas. Ini bukan kejadian terpencil. Operasi penyeludupan di Selangor dan Negeri Sembilan pada September 2025 mendedahkan sebanyak enam premis diserbu, sembilan individu ditahan, tiga daripada mereka adalah warga Myanmar yang mengendalikan premis berkenaan dan bukannya pekerja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar mengesahkan sindiket menggunakan jalan tikus untuk mengangkut rokok seludup dari negara jiran. Sebanyak 4,720 karton rokok dirampas.
Keberanian modus operandi ini terbukti melalui angka yang dikeluarkan pihak berkuasa sendiri. Pada 2025, JKDM mencatatkan rekod baharu rampasan rokok dan tembakau haram bernilai RM903 juta dalam tempoh dua tahun, dengan kutipan hasil penguatkuasaan turut mencecah paras tertinggi.
Namun, negara masih mencatatkan kerugian memalui kadar pasaran rokok seludup yang masih tinggi.
Sepanjang lima tahun lalu, negara rugi RM1.4 bilion dalam duti tidak dibayar, sementara insiden setem cukai palsu meningkat 1.7 mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.
Rantaian bekalan yang merentasi sempadan
Persoalannya, dari mana datangnya rokok yang dijual di premis-premis ini?
Dalam serbuan di Cebu, Filipina pada April lalu apabila pihak berkuasa Filipina bertindak atas aduan JKDM menggeledah kilang haram bernilai RM80 juta yang menghasilkan rokok dengan setem cukai Malaysia tiruan di manaempat warganegara China ditangkap. Dua syarikat pengimport berpangkalan di Kajang, Selangor, iaitu Gillion Tobacco Sdn Bhd dan Long One Trading Sdn Bhd, disenaraikan sebagai penerima bekalan.
Agensi Perisikan Negara Filipina menggelar operasi ini sebagai titik utama dalam jaringan penyeludupan tembakau haram transnasional.
Mengapa pendekatan semasa belum mencukupi
Operasi penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Kos menggantikan pengedar yang ditangkap jauh lebih rendah berbanding hasil.
Kegiatan ini mengancam keselamatan ekonomi dan perlu ditangani dengan lebih tegas, termasuk pendakwaan jenayah (bukan sekadar rampasan atau kompaun), penghantaran pulang segera dan larangan masuk semula perlu dipertimbangkan bagi warga asing yang terlibat.
Pada masa sama, tahap risiko kepada pelaku perlu ditingkatkan melalui senarai hitam serantau serta penguatkuasaan berterusan di peringkat runcitJika anda tahu premis atau individu yang terlibat dalam pengedaran rokok seludup, laporkan kepada JKDM melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang berdekatan. Identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan.
Selain itu, jangan beli rokok haram, seperti rokok tanpa setem cukai yang sah, kerana setiap pembelian itu membiayai operasi jenayah ini secara langsung.
Selagi wujud golongan warga asing yang sentiasa silih berganti ini, sindiket yang sukar banteras ini akan terus beroperasi.
Memotong bekalan tenaga manusia kepada rangkaian ini, melalui penguatkuasaan yang berterusan, hukuman yang setimpal, dan kesedaran awam, adalah satu-satunya cara untuk mengubah persamaan ini.
* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan keselamatan yang telah menulis dalam bidang ini sejak lebih 25 tahun lalu. Beliau merupakan kolumnis yang menumpukan analisisnya kepada keselamatan dalam negeri, ancaman rentas sempadan dan pemodenan keupayaan pertahanan negara.

