Generasi Z menyentuh masa lalu, mencorak masa depan
Generasi Z, yang lahir dalam era digital, terdedah kepada maklumat yang pantas dan tidak terbatas.

DALAM dunia yang semakin berpaksikan kemajuan teknologi dan digitalisasi, pengajian sejarah seringkali dipinggirkan oleh generasi muda yang cenderung kepada bidang yang dianggap lebih menjamin kerjaya.
Generasi Z, yang lahir dalam era digital, terdedah kepada maklumat yang pantas dan tidak terbatas. Ironinya, kepantasan ini menjadikan ramai dalam kalangan mereka kurang menghayati pentingnya konteks sejarah dalam membentuk masa kini dan masa depan.
Tanpa kefahaman sejarah, generasi ini mungkin kehilangan keupayaan untuk menilai secara objektif isu-isu semasa seperti konflik geopolitik, ketidaksamaan sosial, pertembungan budaya dan sebagainya.
Lebih membimbangkan, apabila bidang sejarah ini sering dianggap ‘tidak relevan’ atau ‘tidak menjamin pekerjaan’, maka kemungkinan potensi besar dalam bidang ini akan disia-siakan.
Persepsi ini perlu diperbetulkan melalui usaha bersepadu daripada pelbagai pihak termasuk pihak sekolah, institusi pengajian tinggi, media dan lain-lain.
Oleh itu, usaha mahasiswa Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini dalam program bersama pelajar Tingkatan 6 merupakan suatu inisiatif yang penting khususnya dalam memberikan kesedaran kepada para peserta bahawa bidang sejarah bukan sahaja relevan, bahkan mampu menjadi bidang kepakaran yang penting pada masa hadapan.
Dua program yang menggabungkan akademik dan khidmat masyarakat yang dijalankan di bawah kursus SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) telah membuka mata ramai pelajar Tingkatan Enam tersebut terhadap nilai dan potensi sebenar disiplin dan bidang sejarah.
Pada 19 Mei 2025, seramai 20 orang mahasiswa Jabatan Sejarah UM telah menjayakan program ‘Dari Mahasiswa ke Pelajar: Ilmu, Teknik dan Inspirasi‘ di Kolej Tingkatan Enam Taman Selayang.
Program ini, yang dikendalikan oleh kumpulan mahasiswa dari Kumpulan Historise, bertujuan menyemai minat sejarah dalam kalangan pelajar STPM dengan pendekatan interaktif, perkongsian ilmu dan teknik penguasaan subjek sejarah.
Sesi motivasi, teknik menjawab soalan, serta permainan sejarah seperti ‘Radio Rosak’ dan ‘Siapa Ini?’ memperlihatkan cara baharu dan kreatif dalam membudayakan sejarah sebagai ilmu yang hidup.
Sementara itu, pada 27 Mei 2025, satu lagi kumpulan mahasiswa telah melaksanakan program bertajuk ‘Back To The Past’ di Kolej Tingkatan Enam Bandar Utama.
Program ini turut menyasarkan pelajar aliran Sains Sosial yang menduduki peperiksaan STPM. Melalui aktiviti seperti Checkpoint Sejarah, Kuiz Kahoot! dan segmen motivasi, mahasiswa berjaya menjadikan sejarah satu pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan tidak membosankan.
Kedua-dua program ini bukan sahaja dapat melatih mahasiswa untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan masyarakat tetapi juga menjadi agen perubahan dalam membentuk persepsi pelajar terhadap sejarah.
“Sebagai generasi muda, kita bukan sekadar mempelajari sejarah sebagai subjek wajib lulus tetapi sejarah adalah cermin yang membimbing kita menghindari kesilapan lalu serta menghargai tamadun,” kata pengarah program di Kolej Tingkatan Enam Taman Selayang, Muhd Amir Zuhair Zulkifli.
Pandangan ini turut diperkukuh oleh ketua projek di Kolej Tingkatan Enam Bandar Utama, Nurwahidah Tahar yang menyatakan bahawa pendekatan interaktif mampu mengubah persepsi pelajar bahawa sejarah bukan hafalan semata-mata.
Malah melalui perkongsian pengalaman dan promosi tentang kursus sejarah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, pelajar Tingkatan Enam turut didedahkan kepada laluan kerjaya yang wujud dalam bidang ini.
Antara kerjaya yang ditonjolkan selain guru atau pensyarah termasuklah kurator muzium, pegawai arkib, konsultan sejarah dana penyelidik.
Melalui program seperti ini, menunjukkan bahawa laluan pengajian sejarah perlu diperkasakan semula di peringkat Tingkatan Enam.
Diharapkan bidang sejarah bukan lagi dianggap sebagai laluan atau pilihan terakhir tetapi sebagai bidang utama dan strategik yang membina intelektual bangsa.
Memetik bait kata-kata Buya Hamka, “Belajarlah sejarah, kerana di dalamnya terdapat banyak pelajaran untuk masa depan.”
Dengan sejarah, dapat melatih seseorang itu membentuk pandangan jauh, membina identiti atau jati diri individu, serta mencorak komuniti atau masyarakat yang tahu menghargai sejarah lalu demi masa depan yang lebih baik.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.