Teknologi: Berkumpul di ruang tamu, berpisah di dunia digital?

Semakin maju teknologi komunikasi, semakin besar risiko komunikasi sebenar menjadi lemah

Feature Image (4)

MUSIM perayaan sepatutnya menjadi waktu terbaik untuk mengeratkan semula hubungan kekeluargaan. Inilah saat ahli keluarga pulang berkumpul, meja makan dikelilingi pelbagai generasi dan ruang tamu kembali hidup dengan cerita, gelak tawa serta kenangan yang lama tidak dikongsi. Namun dalam realiti semasa, ada satu unsur yang hampir sentiasa hadir dalam setiap pertemuan itu, iaitu telefon pintar di tangan masing-masing.

Inilah paradoks masyarakat digital hari ini. Semakin maju teknologi komunikasi, semakin besar risiko komunikasi sebenar menjadi lemah. Ahli keluarga berada dalam ruang yang sama tetapi perhatian mereka berpecah kepada notifikasi, video pendek, permainan digital dan aliran kandungan yang tidak pernah habis. Kehadiran fizikal masih ada tetapi keterlibatan sosial semakin minimum. Dalam erti kata lain, semua orang hadir tetapi tidak benar-benar bersama.

Atas sebab itu, ramai yang cepat merumuskan bahawa teknologi menjadi punca hubungan kekeluargaan semakin renggang. Tanggapan itu tidak sepenuhnya salah tetapi juga tidak cukup tepat. Teknologi bukan faktor pemisah secara automatik. Jika penggunaannya bersifat individualistik, teknologi akan mengasingkan. Namun jika penggunaannya dirancang untuk interaksi, teknologi yang sama boleh menjadi pemangkin kepada kemesraan.

Isu sebenar bukan terletak pada telefon pintar tetapi pada cara manusia menggunakannya. Dalam banyak keadaan, peranti digunakan secara pasif dan bersendirian. Setiap orang melayan skrin sendiri, seolah-olah berada dalam dunia masing-masing. Sedangkan teknologi yang sama boleh ditukar menjadi alat aktiviti bersama jika ada sedikit kreativiti, sedikit koordinasi dan sedikit disiplin sosial. Di sinilah keluarga perlu beralih daripada penggunaan spontan kepada penggunaan yang disengajakan.

Salah satu pendekatan yang boleh dicuba ialah melantik seorang pengurus aktiviti keluarga ketika musim perayaan. Peranannya tidak formal tetapi penting untuk memastikan telefon pintar tidak menjadi alat mengasingkan diri, sebaliknya dijadikan medium penglibatan bersama.

Contohnya, rakaman video keluarga boleh dibuat menggunakan TikTok dengan pelbagai filter dan effect. Alternatif seperti Instagram Reels dan CapCut juga boleh digunakan untuk menghasilkan kandungan ringkas yang menyeronokkan. Aktiviti seperti ini bukan sahaja mencetuskan gelak tawa, malah mewujudkan pengalaman bersama yang lebih hidup.

Pendekatan yang sama boleh digunakan untuk hiburan keluarga. Karaoke santai tidak lagi perlu bergantung kepada set karaoke tradisional. Ia boleh digerakkan melalui YouTube dengan carian lagu karaoke atau menggunakan aplikasi seperti Smule yang menawarkan fungsi nyanyian, duet dan lirik bergerak. Dalam konteks keluarga, telefon pintar dan televisyen tidak lagi sekadar menjadi saluran tontonan tetapi bertukar menjadi ruang interaksi yang menghubungkan pelbagai generasi.

Bagi ahli keluarga yang tidak dapat pulang beraya, teknologi komunikasi masa nyata juga wajar dimanfaatkan secara lebih strategik. WhatsApp dan Google Meet membolehkan panggilan video dibuat dengan mudah. Ini bermakna saudara-mara yang jauh masih boleh turut serta dalam sesi bermaafan, melihat wajah keluarga, dan merasakan suasana rumah walaupun berada di lokasi yang berbeza. Teknologi mungkin tidak mampu menggantikan kehadiran fizikal tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jurang emosi akibat jarak.

Selain itu, teknologi juga boleh menghidupkan memori kolektif keluarga. Album digital dan video lama boleh dibuka semula melalui Google Photos. Jika mahu ditambah unsur AI yang lebih menghiburkan, aplikasi seperti FaceApp boleh memaparkan wajah dalam versi muda atau tua. Aktiviti sebegini bukan sekadar hiburan tetapi membuka semula ruang naratif keluarga, mengaktifkan memori bersama dan mencetuskan perbualan yang lebih bermakna.

Bagi keluarga yang gemarkan cabaran, pertandingan permainan digital juga boleh dijalankan secara santai tetapi tersusun. Platform seperti Kahoot! dan Wayground boleh digunakan untuk membina kuiz berkaitan sejarah keluarga, memori Aidilfitri atau trivia lucu sesama adik-beradik. Dalam bentuk ini, teknologi tidak lagi menjadi alat untuk menyendiri tetapi menjadi medium untuk berhubung.

Kesimpulannya, teknologi tidak semestinya menjarakkan kemesraan kekeluargaan pada musim perayaan. Yang menjarakkan ialah penggunaan yang tidak dirancang, tidak dipandu dan tidak berorientasikan interaksi. Dalam ekosistem digital hari ini, keluarga tidak lagi boleh sekadar menyalahkan gajet. Sebaliknya, yang lebih penting ialah kebijaksanaan mengurus pengalaman digital agar telefon pintar tidak menjadi dinding yang memisahkan tetapi jambatan yang menghubungkan.