Antara lelah dan ladang pahala

Ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal tetapi juga perjalanan spiritual atau lebih tepatnya rohani. Justeru, ia menuntut begitu banyak kesabaran, pengorbanan dan pengendalian diri.

Poster Terkini (1)


SABAN tahun, jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia akan berhimpun di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji.

Hakikatnya, ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal tetapi juga perjalanan spiritual atau lebih tepatnya rohani. Justeru, ia menuntut begitu banyak kesabaran, pengorbanan dan pengendalian diri.

Menjadi tetamu Allah SWT di bumi yang penuh barakah bukan hanya soal menyempurnakan amalan-amalan haji, tetapi juga menzahirkan adab yang selayaknya bagi seorang tetamu yang diundang ke rumah-Nya. Di sinilah terletaknya nilai sebenar ibadah di antara lelah jasmani dan ladang pahala yang terbentang luas.

Tatkala menjejakkan kaki di Tanah Suci, perasaan syukur, kagum dan gementar sudah pasti bersilih ganti. Namun, semakin hari berlalu, cabaran baharu akan mula dirasai.

Suhu panas yang mencecah hampir 50 darjah celsius, kesesakan manusia dari pelbagai latar belakang bangsa, warna kulit dan budaya, kekangan komunikasi malah keletihan fizikal yang melampau kadangkala cukup mencabar kesabaran. Dalam situasi sebegini, tidak dapat dinafikan adakalanya jemaah akan cenderung hilang kawalan emosi.

Namun, di sebalik semua itu Allah SWT membuka ruang pahala yang tidak ternilai. Dalam setiap kesusahan dan lelah, ada ganjaran yang tersembunyi selagi mana adab dan akhlak terus dipelihara. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud:

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”

Ayat ini jelas menggariskan bahawa ibadah haji bukan hanya tentang melengkapkan rukun tetapi juga menuntut pengawalan diri daripada tutur kata yang keji dan kotor, maksiat serta perbalahan. Adab menjadi penentu sama ada haji itu mabrur atau tidak.

Setiap langkah di Tanah Haram juga adalah peluang untuk setiap jemaah menuai pahala. Menahan marah ketika ditolak semasa bertawaf, tersenyum meskipun hati penat dalam himpitan dan ketidakselasaan, membantu jemaah lain yang memerlukan semua ini adalah ladang pahala yang tidak didapati di tempat lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih utama daripada 1,000 solat di masjid lain, kecuali Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih utama daripada 100,000 solat di masjid lain.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Para ulama menjelaskan bahawa ganjaran 100,000 kali ganda ini bukan hanya dikhususkan untuk solat tetapi turut merangkumi semua amal soleh yang dilakukan di Mekah termasuk sabar, sedekah, membantu jemaah lain, menjaga adab dan sebagainya. Maka setiap perbuatan baik sewaktu berada di Tanah Suci sangat besar nilainya di sisi Allah SWT.

Antara adab yang perlu dititikberatkan termasuk menjaga aurat dengan berpakaian sopan dan sesuai, menjaga kebersihan, tidak bercakap perkara yang kotor atau keji, bertolak ansur dalam pergaulan serta menghormati jemaah dari negara lain.

Kita juga perlu ingat bahawa jemaah haji bukan hanya mewakili diri sendiri tetapi juga negara. Tindak-tanduk kita akan dinilai dan diperhatikan oleh jemaah lain dan di sinilah pentingnya menjaga imej negara Islam seperti Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa.

Adab juga mencerminkan keadaan hati. Justeru, orang yang menjaga adab biasanya memiliki hati yang jernih, tenang dan berserah.

Dalam kesibukan ibadah, jangan lupa juga untuk bermuhasabah apakah haji ini sedang menjadikan kita insan yang lebih penyabar, lebih merendah diri serta lebih pemaaf?

Kita sering disibukkan dengan memastikan haji kita sah dari sudut syarak seperti wukuf, tawaf, sa’ie dan melontar tetapi bagaimana pula dari segi batinnya? Adakah kita telah benar-benar menjadi tetamu yang sopan dan berakhlak di rumah Allah swt?

Ibadah haji seharusnya menjadi madrasah dalam mendidik dan membentuk akhlak kita bukan sahaja untuk tempoh haji itu sendiri tetapi untuk sepanjang hayat setelah pulang ke tanah air masing-masing. Jika kita mampu bersabar dalam himpitan dan kesesakan jutaan manusia di Mina dan Arafah, mengapa tidak boleh bersabar dalam kesesakan jalan raya di tanah air?

Jika kita boleh bangun seawal mungkin untuk solat sunat dan solat Subuh berjemaah di Masjidil Haram, mengapa tidak teruskan rutin itu di rumah?

Jika di Tanah Suci kita mampu bersangka baik terhadap jemaah yang tidak kita kenal, mengapa tidak memanjangkan sikap itu kepada jiran dan rakan sekerja di tanah air?

Pepatah Melayu ada menyebut, “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.” Ungkapan ini mengingatkan kita bahawa adab dan akhlak mulia wajar dipelihara tidak kira di mana kita berada.

Andai sepanjang berada di Tanah Suci kita begitu ringan menghulur bantuan dan bermurah hati dalam memberi, alangkah indahnya jika budaya murni itu terus dibawa pulang dan disuburkan dalam kehidupan harian.

Jika di Tanah Suci kita boleh mengawal emosi dalam situasi sesak dan mendesak, sudah tentu kita juga mampu lebih sabar dalam mengendalikan emosi ketika berdepan kerenah anak-anak di rumah. Seperti pepatah ‘Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit’, amalan sabar dan kebaikan yang konsisten akan membentuk perubahan besar dalam hidup.

Itulah jiwa haji yang sebenarnya bukan sekadar sah dari sudut syariat, tetapi terbukti melalui akhlak dan adab yang terus berkembang dalam kehidupan harian.

Dalam pada itu, penting juga untuk kita menyedari bahawa ujian yang datang sepanjang haji bukanlah satu bentuk kecelakaan, tetapi satu bentuk pendidikan rohani.

Allah SWT tidak menjemput kita bertandang ke rumah-Nya tanpa sebab. Setiap kelewatan, setiap kesempitan ruang, setiap keadaan yang menguji kesabaran semuanya adalah ‘latihan praktikal’ untuk membentuk jiwa hamba yang reda dan merendah diri.

Maka, setiap kali kita diuji, tanyakan pada diri sendiri, adakah aku sedang bertindak seperti tetamu Allah SWT yang sebenar?

Pada ketika itu, pangkat, gelaran atau status duniawi tidak lagi membawa makna. Semua berdiri sama rata di sisi Kaabah, menyarung pakaian ihram yang serupa, menadah tangan kepada Tuhan yang sama.

Tiada yang lebih mulia melainkan mereka yang paling bertakwa. Justeru, inilah saat untuk kita berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan, sabar, membantu, memaafkan dan berakhlak seindah mungkin kerana hanya itu yang akan dinilai di sisi Allah SWT.

Akhirnya, keberkatan ibadah haji tidak hanya diukur ketika kita berada di Tanah Suci, tetapi lebih utama, ia terpancar dalam kehidupan selepas kembali ke tanah air.

Apakah kita pulang sebagai insan yang lebih beradab, lebih tawaduk dan lebih menjaga hubungan dengan sesama manusia serta dengan Tuhan?

Jika ya, itulah tanda bahawa haji yang kita laksanakan benar-benar memberi makna. Marilah kita manfaatkan setiap detik yang dilalui sepanjang berada di Tanah Suci sebagai ruang untuk bermuhasabah dan memperteguh iltizam terhadap akhlak yang mulia, bukan untuk meraih pandangan manusia tetapi kerana kita yakin bahawa setiap langkah yang dihayun sepanjang ibadah ini sedang dinilai oleh Allah SWT, Tuan Rumah yang telah memuliakan kita sebagai tetamu-Nya yang istimewa.

Dalam kesibukan suasana haji, amat penting untuk kita menyedari bahawa setiap detik di Tanah Suci adalah peluang berharga yang tidak sepatutnya disia-siakan.

Elakkan daripada membuang masa dengan perkara yang tidak bermanfaat seperti berbual kosong tanpa tujuan, terlalu asyik bermain telefon, melayari media sosial atau berswafoto secara berlebihan, apatah lagi sehingga sanggup melakukan siaran langsung di hadapan Kaabah.

Semua ini boleh mengalihkan hati dan perhatian daripada tujuan sebenar kita bertamu iaitu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sebaliknya, masa yang ada sepatutnya diisi dengan amalan yang menghidupkan hati memperbanyakkan zikir, solat sunat, membaca al-Quran, beristighfar serta bermunajat dengan penuh keikhlasan.

Ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina misalnya, adalah antara detik-detik paling berharga sepanjang ibadah haji.

Ia bukan sahaja padat dengan makna spiritual, bahkan menjadi medan latihan bagi sabar, muhasabah dan penyerahan diri secara total kepada Allah. Waktunya amat terhad, tetapi nilainya sangat besar.

Ingatlah, tidak semua orang diberi peluang menunaikan haji dan bagi sebahagian kita, mungkin inilah satu-satunya peluang sepanjang hayat.

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan yang dikurniakan haji mabrur bukan sekadar haji yang sah dan diterima tetapi haji yang memperhalus budi, memperindah akhlak dan menyucikan jiwa.

Maka, benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Haji yang mabrur, tiada ganjaran baginya melainkan syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.