UM santuni anak-anak B40 kuasai tilawah al-Quran

Pendekatan pedagogi terbeza memberi tumpuan kepada penyesuaian teknik pengajaran mengikut keperluan individu murid, dengan mengiktiraf kepelbagaian kebolehan dan keupayaan mereka.

Poster Terkini (2)

SEKUMPULAN penyelidik dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Ungku Aziz melaksanakan satu program khas penguasaan tilawah al-Quran bagi membantu murid daripada keluarga B40 menguasai bacaan al-Quran menggunakan pendekatan pedagogi terbeza.

Program yang berlangsung selama 10 sesi bermula 18 Januari hingga 22 Mac 2025 itu disertai 11 murid Tahun 1 hingga Tahun 6 dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi. Program ini dijalankan di Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM), PPR Kerinchi.

Ketua penyelidik, Prof Dr Zaharah Hussin berkata, program ini bertujuan membantu murid memperbaiki bacaan al-Quran dan Iqra mengikut makhraj serta hukum tajwid yang betul, di samping menghafaz dan membaca surah-surah pendek untuk digunakan dalam solat serta memahami maksud bacaan tersebut.

“Pendekatan pedagogi terbeza ini memberi tumpuan kepada penyesuaian teknik pengajaran mengikut keperluan individu murid, dengan mengiktiraf kepelbagaian kebolehan dan keupayaan mereka. Ia bersifat inklusif, adil dan proaktif,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk latihan mengenal huruf-huruf al-Quran, membaca dan menghafaz surah-surah pendek serta memahami secara ringkas makna ayat-ayat al-Quran. Pendekatan ini bertujuan menggalakkan penghayatan terhadap ayat-ayat suci yang dibaca, selain membentuk sahsiah dan karakter individu.

Menurut laporan program, peserta menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam bacaan al-Quran, khususnya dalam konteks bacaan semasa solat. Saiz kumpulan kecil membolehkan pembimbing memberikan perhatian khusus kepada keperluan individu murid, sekaligus meningkatkan keberkesanan pengajaran.

Maklum balas daripada peserta juga amat positif, antaranya menyatakan bahawa kaedah yang digunakan lebih mudah difahami dan menyeronokkan berbanding kaedah tradisional. Malah, pengajaran secara dalam talian seperti melalui Google Meet turut diterima baik oleh murid dan ibu bapa.

Seorang ibu menyatakan, “Anak-anak seronok belajar kelas Tilawah al-Quran walaupun secara Google Meet. Mereka lebih memahami dan minat cara ustaz mengajar.”

Sementara itu, seorang guru yang terlibat berkata, “Saya melihat sendiri potensi besar anak-anak ini apabila diberi peluang dan bimbingan yang betul. Mereka bukan hanya belajar tajwid, tetapi juga membina keyakinan diri, membentuk adab dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.”

Beliau menambah bahawa penggunaan pedagogi terbeza membolehkan pengajaran disesuaikan mengikut tahap murid, menjadikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan dan inklusif.

Program ini juga memberi saranan agar saiz kelas di sekolah rendah dapat dikurangkan supaya tumpuan terhadap keperluan individu dalam pengajaran al-Quran dapat diberikan secara lebih berkesan.

UM berharap pendekatan ini dapat menjadi panduan kepada para pengajar dan pendidik al-Quran dalam memastikan generasi muda terus mengenali, memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.