KLP48 rai ulang tahun pertama dengan konsert istimewa ‘BLOOM’
Dijadual bermula pada pukul 5.30 petang dan bakal menampilkan persembahan bertenaga serta tarian koreografi dinamik daripada 13 anggota kumpulan tersebut yang terdiri daripada wakil Malaysia, Jepun, Indonesia dan Hong Kong.

KUALA LUMPUR, 1 Julai 2025 – Kumpulan idola tempatan yang semakin mendapat tempat di hati peminat, KLP48 bakal meraikan ulang tahun penubuhan mereka yang pertama menerusi konsert khas bertemakan ‘BLOOM’ pada 16 Ogos ini di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert anjuran 48 Entertainment Sdn. Bhd., itu dijadual bermula pada pukul 5.30 petang dan bakal menampilkan persembahan bertenaga serta tarian koreografi dinamik daripada 13 anggota kumpulan tersebut yang terdiri daripada wakil Malaysia, Jepun, Indonesia dan Hong Kong.
Menurut kenyataan penganjur hari ini, konsert itu bukan sahaja meraikan ulang tahun pertama penubuhan kumpulan tersebut, malah menjadi simbolik kepada semangat kerjasama rentas budaya dalam dunia idola global.
KLP48 ditubuhkan pada 2024 sebagai cawangan rasmi kepada rangkaian AKB48 dari Jepun, yang terkenal dengan konsep ‘idola yang anda boleh temui’, hasil ilham penerbit tersohor Yasushi Akimoto. AKB48 sendiri telah diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai Kumpulan Pop Terbesar di Dunia.
Menariknya, keanggotaan KLP48 turut memperlihatkan penglibatan antarabangsa termasuk tiga ahli pemindahan dari AKB48 dan seorang dari STU48, sekali gus membawa dimensi kematangan serta pengalaman seni yang lebih luas dalam kumpulan ini.
“Sejak penubuhannya, KLP48 bukan sahaja menerima sambutan menggalakkan di Malaysia, malah turut berjaya menembusi pasaran Jepun dengan jemputan persembahan di pentas antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi.
Bagi persiapan konsert tersebut, anggota kumpulan sedang giat menjalani latihan intensif merangkumi aspek vokal, tarian serta perbincangan kreatif demi memberikan persembahan terbaik buat para peminat.
Konsert ‘BLOOM’ turut menampilkan tiga artis jemputan iaitu kumpulan pop wanita tempatan COEX, penyanyi solo Ismail Izzani dan kumpulan adik AKB48 dari Indonesia, JKT48.
COEX dikenali dengan lagu-lagu bertenaga dan mesej memperkasakan wanita yang mendapat tempat di hati peminat tempatan, manakala Ismail Izzani pula terus mencuri perhatian dengan gaya muzik gabungan R&B dan pop sejak memulakan kerjaya pada usia 17 tahun.
Tidak ketinggalan, JKT48 yang berpangkalan di Jakarta turut memeriahkan konsert berkenaan. Ditubuhkan pada 2011, JKT48 merupakan kumpulan luar negara pertama dalam keluarga 48 Group dan kekal sebagai antara kumpulan idola paling berjaya di Asia Tenggara.
Tiket konsert akan mula dijual mulai Khamis, 3 Julai 2025, pukul 12 tengah hari menerusi laman web www.excitix.com.my, dengan setiap pembelian dihadkan kepada dua tiket sahaja.
Harga tiket yang ditawarkan adalah seperti berikut (tidak termasuk yuran pemprosesan RM4):
CAT 1 – RM200 (Termasuk bendera KLP48 dan akses ke sesi penghantaran istimewa bersama semua artis)
CAT 2 – RM100 (Termasuk bendera KLP48)
CAT 3 – RM350 (Termasuk bendera KLP48 dan akses ke sesi penghantaran istimewa bersama semua artis)
Untuk maklumat lanjut serta perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti @klp48_official di TikTok dan @KLP48official di Instagram serta Facebook atau melayari laman sesawang rasmi kumpulan di www.klp48.my.