SERAMAI 35 orang pejuang kemurungan klinikal (Major Depressive Disorder atau MDD) berkumpul di Nak Cikit Picnic Space, Setia Alam, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pertemuan itu bagi menjayakan program “Inisiatif Sejuta Harapan”.
Program yang julung kali diadakan ini merupakan usaha proaktif NGO Empati (Kelab Advokasi Pulih Mental) dengan kerjasama dan sokongan Jabatan Perdana Menteri.
Inisiatif ini tercetus susulan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 yang mendapati sejuta rakyat Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami kemurungan.
“Kami berharap lebih ramai yang berani tampil ke hadapan bagi mendapatkan bantuan, seterusnya mampu memberi harapan kepada pejuang-pejuang yang mengalami kemurungan,” kata Pengasas dan Presiden NGO Empati, Syahida Zulkarnain.
Syahida turut berkongsi tujuan penganjuran program itu antara lainnya adalah untuk menyediakan platform selamat kepada para peserta berkongsi pengalaman masing-masing sewaktu mengharungi fasa kemurungan.
“Melalui program ini juga para pejuang berpeluang untuk bersosial secara sihat, selain membina sistem sokongan yang berkala dan khusus untuk pesakit yang memerlukan,” katanya.
Program ini dimulakan dengan aktiviti Picnic Inspirasi, satu aktiviti piknik tertutup yang santai namun penuh informasi dan ilmiah.
Aiman Amri, seorang pendokong kesihatan mental yang juga merupakan penulis buku Mendewasa dengan Luka dijemput sebagai penceramah utama.
“Program ini berkonsepkan bengkel selama 4 jam yang memanfaatkan 35 pejuang MDD.
“Kami menerapkan kepentingan aspek yang boleh diubah untuk memecahkan kitaran kemurungan iaitu mengurangkan isolasi atau bersendiri di bilik sahaja,” jelas Aiman Amri.
Aktiviti dimulakan dengan sesi “ice breaking” dan pengenalan diikuti dengan penerangan tentang analogi kesihatan mental.
Peserta kemudiannya terlibat dalam aktiviti berkumpulan untuk membezakan kesan-kesan kemurungan kepada pesakit.
Mereka juga didedahkan dengan bentuk-bentuk “trigger” yang berbeza untuk setiap orang dan cara mengatasinya.
“Picnic Inspirasi bertujuan membangkitkan semula keinginan pejuang kemurungan untuk hidup dengan lebih sihat, di samping bersosial secara sihat dengan rakan-rakan yang boleh berkongsi permasalahan yang sama tanpa bias dan prasangka,” tambah Syahida.
Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif berkala yang bertujuan untuk membina sistem sokongan yang dipercayai oleh komuniti pejuang penyakit mental, khususnya anak muda. Sistem sokongan ini menggunapakai teori Dr Irvin Yalom yang meletakkan 11 prinsip yang perlu ada dalam sesebuah sistem sokongan, termasuklah prinsip “cohesiveness”.
“Kami berharap program ini bermanfaat dan memberi impak kepada mereka yang memerlukan.
“NGO Empati sentiasa mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan Inisiatif Sejuta Harapan bersifat berterusan dan berjaya,” kata Syahida mengakhiri temubual.