KUALA LUMPUR, 1 September 2024 – Malaysia Rocket Competition (MRC) 2024 kembali untuk edisi kedua dengan tema “Launch Your Dream” membabitkan empat puluh lima pasukan yang terdiri daripada peserta sekolah menengah dan universiti termasuk dari Indonesia, Singapura serta India.
Pertandingan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan UiTM-MTC High Energy Material Research Laboratory (HEMREL) itu diadakan bertujuan untuk melahirkan generasi muda yang berpengetahuan di bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan mendalam.
Edisi kedua pertandingan ini akan berlangsung pada 4 dan 5 September ini di Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) Perak & Felcra Seberang Perak.
Setiap kumpulan yang bertanding diberi peluang untuk memperkenalkan hasil rekaan roket dan cansat pada 4 September mengikut kategori yang dipertandingkan dan penilaian dibuat oleh juri yang dilantik berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.
Bagi memastikan hasil rekaan roket dan cansat peserta mampu berfungsi, aktiviti pelancaran roket dan cansat akan dijalankan di tapak pelancaran pada 5 September.
Juri-juri yang dilantik akan menilai pelancaran roket semasa pertandingan berdasarkan tiga kategori iaitu roket 1 kilometer, roket 1 kilometer dan can-sized satellite serta can-sized satellite yang diterbangkan oleh dron.
MRC 2024 diadakan bertujuan memberi pendedahan teknologi sains roket kepada pelajar dan memupuk minat mereka dalam bidang berkenaan agar tidak ketinggalan dengan pembangunan teknologi terkini dan diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan kenderaan pelancar satelit buatan Malaysia suatu hari nanti.
Ia diadakan mengikut garis panduan pertandingan tahunan TEKNOFEST yang berlangsung di Turkiye.
Ia bermula dengan empat sesi perkongsian secara virtual yang telah dianjurkan daripada 30 Mac 2024 sehingga 18 Ogos 2024.
Topik- topik penting yang berkaitan dengan pertandingan MRC tahun ini telah dikongsikan secara atas talian kepada kesemua peserta.
Pada 30 Mac 2024, pengenalan kepada “Rocket Science” telah disampaikan oleh Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, IIUM, Prof. Madya Ts. Dr Muhammad Hanafi Azami.
Perkongsian seterusnya pada 27 April 2024 disampaikan oleh Pensyarah, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal UiTM, Ts. Dr. Ahmad Hussein Abdul Hamid mengenai “1km Rocket Design”.
Rocket Engineer dari HEMREL, Aina Sofea Fahizal kemudian berkongsikan pengetahuan mengenai “Open Rocket Simulation” pada 18 Mei 2024.
Sesi perkongsian pada 29 Jun 2024 oleh Pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik UiTM, Dr. Muhammad Hasif Azami dengan tajuk Cansat: Can-Size Satellite.
Penerangan lanjut tentang Safety briefing, Rules & Regulation of Malaysia Rocket Competition 2024 disampaikan oleh wakil daripada UTHM, Iman Fitri Ismail pada 27 Julai 2024.
Kemeriahan MRC 2024 diteruskan pada 10 Ogos 2024, di mana satu sesi perkongsian oleh Jr. LPT daripada Ateneo de Davao University, Filipina, Mr. Wilfredo K. Pardorla dengan tajuk “Journey to Spaceport America Cup”.
Perkongsian atas talian untuk sambutan MRC 2024 ditutup meriah dengan perkongsian Penolong Profesor dari National Yang Ming Chiao Tung University, Taiwan, Dr. Tan, Zu Puayen dengan tajuk “Model Rocket to Sounding Rocket: Perspectives and Experience” pada 18 Ogos 2024.