Memberitakan segi pandangan kehidupan masyarakat, berkongsi demi manfaat

Kandungan surat khabar sentiasa menyantuni setiap keperluan masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama menerusi berita yang disiarkan

Feature Image

BARU-BARU ini, penulis berpeluang menonton sebuah iklan video pendek kemerdekaan yang berkisarkan tentang nostalgia surat khabar yang dikaitkan dengan kehidupan seorang watak yang dijelmakan melaluinya. Kisah teladan yang dibawa dalam menghargai sumbangan dan peranan penting akhbar dalam kehidupan masyarakat dengan sejarahnya yang panjang.

Sebuah persembahan video yang kemas dengan pengisian bermakna dan bersesuaian dengan suasana sambutan hari kemerdekaan. Kisah yang meminjamkan semula memori tentang situasi yang pernah dilalui oleh masyarakat suatu ketika dahulu hingga kini iaitu aktiviti membeli surat khabar sebagai permulaan ceritanya.

Benar, seperti yang dibicarakan melalui iklan video pendek tersebut bahawa surat khabar telah berjaya dalam menjalankan peranannya sebagai sumber maklumat dan menjadi wadah pemikiran masyarakat dalam konteks menyampaikan berita serta penyatuan pendapat antara anggota masyarakat.

Kandungan surat khabar sentiasa menyantuni setiap keperluan masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama menerusi berita yang disiarkan sebagai suatu keperluan dan kehendak ramai. Pemberitaan yang menyeluruh dari sudut pentadbiran, politik, ekonomi dan sosial diterjemahkan melalui penulisan yang saksama bersandarkan kepentingan awam ditelusuri secara menyeluruh.

Surat khabar sebagai media tradisional sememangnya banyak menyimpan segala berita dan sorotan memori berkaitan dengan negara kita sejak dari dahulu lagi. Surat khabar merupakan pelapor yang taat dalam membawakan pelbagai segmen berita kepada khalayak umum dengan segala peristiwa utama yang berlaku dalam dan luar negara.

Segala memori pahit manis tersemat indah melalui pelaporan surat khabar yang sentiasa menjadi peneman masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian.

Nostalgia yang nampak mudah namun jika ditelusuri pemerhatian tentang perjalanannya suatu ketika dahulu sememangnya banyak untuk dikupaskan yang menitip dibibir setiap individu. Sempena bulan kemerdekaan, sesungguhnya menjadi keperluan untuk bersama berkongsi kisah perjalanan dan memori surat khabar sebagai salah satu media cetak dalam menunjangi pemberitaan dan menyebarluaskan pemikiran rakyat yang merdeka.

Melalui video pendek ini, telah mengingatkan penulis tentang zaman persekolahan ketika hadirnya minat untuk mula membaca surat khabar. Ketika itu, pihak sekolah menyediakan ruangan khas kepada pelajar untuk membaca surat khabar secara santai iaitu ditempatkan berhampiran dengan kantin di ruang legar yang sederhana besarnya. Dihimpunkan pelbagai akhbar-akhbar tempatan untuk bacaan sesiapa sahaja yang melintasinya.

Maka akan terpaparlah situasi pelajar membaca secara berkumpulan dengan pelbagai tujuan pembacaan. Ada yang hendak mendapatkan liputan berita sukan, tak kurang juga untuk membaca sisipan komik dan ada yang sekadar ingin mengamati intisari rancangan TV yang terpapar secara harian. Begitulah keadaannya apabila membaca secara berkumpulan iaitu sukar untuk dijelaskan rasional yang mendasari pembacaan ketika itu.

Bagi penulis ketika masih bergelar pelajar, selain untuk mengetahui tentang berita semasa, adalah untuk memautkan perhatian pada ruangan sastera yang menampilkan penulisan kreatif sastera iaitu antaranya ialah cerpen dan puisi.

Sukar untuk dijelaskan asal mulanya minat untuk membaca cerpen dan karya sastera yang lain namun itulah hakikatnya. Mungkin ketika itu, agak susah untuk mendapatkan buku-buku sastera kecuali di perpustakaan. Maka membaca di surat khabar merupakan pilihan yang ada.

Pada hemat penulis, dengan membaca karya sastera kita akan dapat menyelami selok-belok kehidupan dengan pelbagai naratif penceritaan yang sememangnya menjadi nadi dalam ruang lingkup penulisannya. Ungkapan kehidupan dengan gaya penulisan yang halus dari sudut makna dan keindahan bahasa yang menyantuninya berjaya menyerap pengalaman yang mendewasakan.

Pengalaman tentang percaturan membuat pilihan, sudut pandangan kehidupan dan gagasan kesimpulan bagi menuju masa hadapan. Inilah sisi keunikan yang ada pada surat khabar dalam memberikan manfaat kepada pembaca untuk menghidupkan keindahan sastera sebagai luahan isi alam yang membentuk pemikiran pembaca. Berbalik kepada peranan surat khabar, bukan hanya menjadi perintis berita namun sebagai wadah untuk belajar menguasai bahasa terutamanya dikalangan para pelajar.

Dengan mengambil contoh surat khabar berbahasa Melayu misalnya, pelajar akan mampu memahirkan diri dengan gaya penulisan agar dapat membantu mempertingkatkan tahap penulisan mereka di dalam kelas. Penggunaan struktur ayat yang mudah dan lengkap serta tertib penggunaan perkataan mengikut kesesuaian konteks dapat dipelajari dari pelbagai rencana yang termuat di dalamnya.

Malah kesesuaian tajuk rencana juga adalah bersifat terkini dan boleh digunakan sebagai rujukan pelajar. Dengan kupasan yang terancang dalam menitip fakta-fakta bersandarkan berbincangan menjurus pada sesuatu topik sangat bersesuaian untuk dijadikan contoh bagi tujuan pembelajaran.

Begitulah kisahnya jika kita menyelinap seketika membicarakan peranan akhbar cetak dalam memberikan liputan yang terbaik untuk masyarakat. Tidak hanya tertumpu kepada laporan berita sahaja tetapi dipaut bersama ruang penulisan kreatif dan karya sastera, hasil nukilan penulis lama dan baharu dalam memeriahkan suasana pembacaan.

Namun suatu perubahan itu pasti akan hadir bersesuaian dengan kehendak zaman. Kemajuan teknologi, persaingan digital dan perubahan cita rasa masyarakat telah merubah gaya pembacaan. Masyarakat kini lebih mudah untuk mendapatkan berita melalui media baharu yang hanya dihujung jari. Mereka lebih selesa untuk mendapatkan maklumat yang diperolehi menerusi telefon pintar ataupun komputer riba sekali gus memenuhi cita rasa dan gaya hidup mereka.

Kecenderungan untuk membaca akhbar secara atas talian berbanding secara fizikal merupakan pilihan kerana tidak lagi perlu memperuntukan masa keluar mendapatkan akhbar. Dengan persaingan portal-portal berita yang rancak dikendalikan turut menjadi faktor kepelbagaian dalam pemilihan sumber berita dan merupakan pesaing kepada akhbar arus perdana.

Realitinya, pasti setiap individu yang membesar sebelum era ledakan teknologi komunikasi terutamanya ketika sebelum media baharu menjengah di negara ini, akan ada kenangan berkenaan surat khabar dalam hidup mereka.

Tanpa menidakkan kepentingan perubahan dalam persembahan pemberitaan dan tanpa mengadili yang mana baik atau pun tidak. Sudah pasti, perubahan adalah suatu keperluan demi kelangsungan sesebuah tamadun. Asalkan masyarakat tahu untuk mendapatkan berita yang berkredibiliti, ketulenan dan kesahihannya maka perkara tersebut tidak lagi menjadi persoalan.