UM perkukuh komuniti lestari menerusi program ‘Pahala Kompos’
UM anjur Program Pahala Kompos di Galeri Zero Waste Campaign Universiti Malaya baru-baru ini.
KUALA LUMPUR, 2 Januari 2026 – Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh peranan sebagai pemacu kelestarian komuniti menerusi penganjuran Program Pahala Kompos yang berlangsung di Galeri Zero Waste Campaign Universiti Malaya (UM ZWC) baru-baru ini.
Program berkenaan berjaya menarik penyertaan lebih 60 peserta melibatkan komuniti Petaling Jaya, mahasiswa Universiti Malaya, pembekal makanan sekitar kampus serta delegasi dari Universitas Darunnajah, Jakarta.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti kelestarian yang digerakkan oleh pasukan penyelidik Universiti Malaya di bawah kelolaan UMCares menerusi projek ‘Green Mosque Initiative: Pioneering Environmental Advocacy at Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya’ (MBPJ01-2025).
Projek ini dilaksanakan secara kolaboratif bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melalui geran penyelidikan PJ Seed 6.0.

Selaras dengan Pelan Strategik Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan (PJSSR 2030), pasukan penyelidik UM menggembleng kerjasama pelbagai pemegang taruh khususnya komuniti Petaling Jaya bagi merealisasikan agenda bandar rendah karbon, ekonomi kitaran, bandar pembelajaran serta pembangunan bandar yang mampan dari sudut sosial dan ekonomi.
Program ini turut mendapat sokongan padu Jawatankuasa Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya, yang komited meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap amalan kompos sebagai pendekatan lestari dalam pengurusan sisa makanan. Usaha ini dilihat penting khususnya bagi mengurangkan pembaziran makanan menjelang Ramadan 2026, terutama dalam kalangan pembekal makanan dan peniaga Bazar Ramadan.
Ketua Penyelidik geran komuniti berkenaan, Dr. Asmawati Muhamad berkata, inisiatif tersebut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 12) iaitu Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab.
Menurutnya, matlamat itu menekankan keperluan memastikan corak penggunaan dan pengeluaran yang mampan melalui pengurangan sisa, peningkatan kecekapan sumber serta pengamalan gaya hidup lestari.
“Masjid bukan sekadar pusat ibadah, malah berperanan sebagai pusat ilmu dan pemangkin kepada amalan kelestarian. Diharapkan pengurusan sisa secara sistematik, khususnya pemprosesan sisa makanan menjadi baja kompos, dapat dibudayakan dan diperluaskan ke masjid-masjid di seluruh negara,” katanya.

Program turut menampilkan sesi tausiyah Pahala Kompos oleh Profesor Kehormat Institut Pengajian Termaju Universiti Malaya, Prof. Dr. Sumiani Yusoff, yang menegaskan bahawa penjagaan alam sekitar merupakan sebahagian daripada ibadah. Beliau menjelaskan sisa makanan menyumbang kepada pencemaran dan pelepasan gas metana, dengan setiap individu menghasilkan antara 1.5 hingga 2 kilogram sisa sehari, di mana sekurang-kurangnya 30 peratus daripadanya berpotensi dimanfaatkan semula.
Beliau turut menggesa masyarakat mengurangkan pembaziran makanan serta mengurus sisa secara beretika, termasuk menghantar sisa organik ke UM ZWC untuk diproses menjadi baja kompos.
“Isu sisa bandar juga memberi kesan langsung terhadap kejadian banjir kilat serta pencemaran tanah dan sungai,” katanya.
Sesi demonstrasi kompos pula disampaikan oleh Pegawai Projek UM ZWC, Puan Mairuz Azlan, yang menerangkan kaedah pengkomposan di rumah dan premis makanan, selain prosedur penghantaran sisa ke fasiliti UM ZWC. Peserta turut dibawa meninjau tapak pemprosesan sisa bagi memahami secara langsung proses pengurusan sisa makanan.
Pada masa sama, sesi taklimat tatacara pelupusan ayat al-Quran disampaikan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhamad Nur Naqsyabandi bin Aziz, yang memperincikan panduan pelupusan mengikut ketetapan syariah.
Menariknya, pelajar kursus Ilmu Wahyu, Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, turut mengumpulkan sebanyak 77 kilogram barangan kitar semula sepanjang program berlangsung.

Usaha tersebut dianggarkan mampu mengurangkan pelepasan sebanyak 259.5 kilogram karbon dioksida (CO₂), bersamaan pelepasan gas rumah hijau yang dielakkan melalui 6.4 beg sisa, karbon yang diserap oleh 1.3 pokok berusia 10 tahun atau tenaga untuk mengecas lebih 6,226 telefon pintar sehingga penuh.
Penganjur memaklumkan penyertaan pelbagai pihak termasuk delegasi antarabangsa menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap amalan kelestarian. Program seperti Pahala Kompos diyakini mampu memperkukuh kerjasama antara universiti, institusi agama, pembekal makanan dan masyarakat dalam memupuk budaya hijau secara berterusan.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Pembangunan Mampan Universiti Malaya (UMSDC) atas sokongan, kemudahan dan penyediaan ruang Galeri UM ZWC bagi menjayakan program berkenaan.
