Kita perlukan kerangka dasar dadah negara yang seimbang
Dalam suasana emosi yang memuncak, persoalan tentang rawatan, pencegahan dan reformasi struktur sering tenggelam.

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, wacana mengenai perubahan dasar dadah negara berasaskan pendekatan kesihatan awam semakin mendapat perhatian di Malaysia. Pendekatan yang dikenali sebagai “dekriminalisasi dadah” ini tidak bertujuan untuk “menghalalkan” penggunaan dadah tetapi berasaskan premis bahawa penagihan adalah isu kesihatan yang memerlukan rawatan, sokongan sosial, dan intervensi berasaskan bukti dan bukan pemenjaraan semata-mata.
Negara-negara yang telah mengadaptasi pendekatan ini menunjukkan bahawa apabila pengguna dirawat sebagai pesakit, bukan penjenayah, hasil kesihatan dan keselamatan awam boleh dipertingkatkan.
Namun, setiap kali berlaku tragedi yang melibatkan dadah, khususnya kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, wacana ini sering terhenti secara mendadak. Kes yang melibatkan Allahyarham Amirul Hafiz Omar adalah contoh jelas bagaimana kemarahan awam boleh mengalihkan fokus daripada perbincangan dasar yang lebih luas kepada tuntutan hukuman semata-mata. Dalam suasana emosi yang memuncak, persoalan tentang rawatan, pencegahan dan reformasi struktur sering tenggelam.
Pendirian normatif yang harus ditegaskan adalah jelas, mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah sehingga mengakibatkan kecederaan atau kematian mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya di sisi undang-undang. Dalam konteks pemanduan di bawah pengaruh, dadah atau alkohol tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan liabiliti moral atau undang-undang. Keadilan bagi mangsa dan keluarga menuntut hukuman yang setimpal.
Namun, di sinilah wacana awam sering menjadi terhad. Perbincangan cenderung terperangkap dalam dikotomi palsu, seolah-olah mempertahankan pendekatan kesihatan awam terhadap pengguna dadah bermaksud membela pelaku jenayah. Ini adalah salah faham yang serius. Advokasi terhadap pengguna dadah sejak sekian lama tidak pernah bertujuan untuk mempertahankan perlakuan jenayah, tetapi untuk membezakan dengan jelas antara penggunaan dadah dan kemudaratan kepada orang lain.
Perbezaan ini penting kerana dasar yang gagal membezakan kedua-duanya akan terus menghasilkan hasil yang tidak efektif. Undang-undang dadah sedia ada, termasuk peruntukan seperti Seksyen 15(1), 12(2) dan 39(C), mengkriminalisasikan penggunaan tanpa semestinya melibatkan kemudaratan kepada orang lain. Dalam erti kata lain, individu dipenjarakan semata-mata atas penggunaan dadah secara peribadi iaitu perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan bukannya kerana terlibat dalam kerosakan harta benda atau mencederakan orang lain.
Kesan jangka panjang pendekatan ini telah lama diketahui, antaranya kitaran pemenjaraan berulang, kemerosotan kesihatan mental dalam persekitaran penjara yang tidak kondusif serta kegagalan menyediakan rawatan yang mencukupi. Dalam banyak kes, individu keluar daripada sistem yang sama, atau lebih teruk tanpa pemulihan sebenar. Tanpa pemulihan, khususnya dari sudut kesihatan mental, kita berdepan risiko peningkatan pelbagai bentuk jenayah, termasuk keganasan terhadap ahli keluarga dan jenayah harta benda.
Dalam konteks kes pemanduan di bawah pengaruh dadah dan alkohol, kegagalan ini menjadi lebih ketara. Kematian akibat pemanduan di bawah pengaruh adalah, secara asasnya, kematian yang boleh dielakkan. Oleh itu, persoalan dasar yang perlu ditanya bukan hanya “bagaimana menghukum pelaku?” tetapi juga “mengapa pelaku tidak dihentikan lebih awal?”. Di manakah penguatkuasaan proaktif? Mengapa pemandu dalam keadaan berbahaya dibenarkan terus berada di jalan raya sehingga tragedi berlaku?
Fokus eksklusif terhadap hukuman selepas kejadian mengabaikan dimensi pencegahan yang jauh lebih kritikal. Kehadiran penguatkuasaan yang konsisten atau police omnipresence bukan sahaja meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat tetapi juga bertindak sebagai mekanisme pencegah yang efektif. Begitu juga dengan penguatkuasaan terhadap kesalahan trafik harian seperti pemanduan laju di kawasan perumahan, penggunaan telefon bimbit semasa memandu dan kegagalan mematuhi peraturan keselamatan asas. Kesemua ini berkait secara langsung dengan budaya keselamatan jalan raya yang lebih luas.
Dalam masa yang sama, cadangan populis seperti pengharaman total alkohol perlu dinilai secara kritikal. Pengalaman dengan dadah menunjukkan bahawa pengharaman tidak menghapuskan permintaan, sebaliknya memindahkannya ke pasaran gelap yang tidak terkawal. Dalam persekitaran sedemikian, risiko kepada pengguna meningkat kerana ketiadaan kawal selia kualiti dan kehadiran bahan campuran berbahaya. Penguatkuasaan dalam pasaran gelap adalah terhad dan sukar dilaksanakan secara berkesan; justeru, tanpa kapasiti penguatkuasaan yang mencukupi, pengharaman berpotensi memburukkan lagi keadaan.
Oleh itu, respons dasar yang lebih rasional memerlukan keseimbangan antara tiga komponen utama: akauntabiliti jenayah, rawatan kesihatan dan pencegahan sistemik. Hukuman kekal penting sebagai mekanisme keadilan dan pencegahan umum. Namun, tanpa reformasi terhadap undang-undang dadah yang menekankan rawatan berbanding pemenjaraan, serta tanpa penguatkuasaan proaktif yang mencegah risiko sebelum ia menjadi tragedi, kitaran yang sama akan berulang.
Kemarahan awam terhadap kes ini adalah wajar, malah perlu akan tetapi kemarahan tersebut tidak seharusnya hanya diterjemahkan kepada tuntutan hukuman yang lebih keras. Ia harus dimanfaatkan untuk menuntut intervensi yang lebih berkesan: sistem rawatan yang boleh diakses, reformasi undang-undang yang berasaskan bukti, dan penguatkuasaan yang benar-benar melindungi masyarakat sebelum nyawa melayang.
Jika tidak, kita hanya akan terus bertindak balas terhadap tragedi, bukan mencegahnya.

