Sampul duit raya bukan sekadar sampul
Sampul duit raya ini pada kebiasaannya dibuang setelah diambil duitnya.

SABAN tahun, Hari Raya Aidilfitri disambut meriah di negara kita. Bermula dengan persiapan berhari raya yang disiapkan seawal minggu-minggu akhir bulan Ramadan hinggalah penyediaan juadah istimewa hari raya seperti ketupat, ketupat palas, rendang dan lemang. Selain perkara-perkara ini, satu lagi kemestian bagi memeriahkan hari raya ialah sesi pemberian duit raya.
Ya, duit raya! Selain juadah hari raya yang lazat, pemberian duit raya oleh tuan rumah sewaktu kanak-kanak hendak berangkat pulang membuatkan mereka sangat gembira hingga ‘senyum sampai ke telinga’. Penangan duit raya jugalah yang membuatkan ada kumpulan kanak-kanak yang sanggup pusing semula ke rumah yang sama, terutamanya rumah yang memberi ‘wang besar’ sebagai duit raya.
Duit raya lazimnya dimasukkan ke dalam sampul sebelum diberikan kepada anak-anak, anak-anak saudara hinggalah kepada anak-anak kariah atau kampung atau taman perumahan yang berkunjung berhari raya. Sampul duit raya ini pada kebiasaannya dibuang setelah diambil duitnya. Mungkin ada yang beranggapan ia sekadar sampul kosong, namun ia bukan sekadar sampul.
Ilmu baharu dicetak di atas sampul
Salah satu perkara yang menarik perhatian ialah inisiatif menghasilkan sampul duit raya bercetak asas abjad dan nombor dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang dilaksanakan oleh pihak #SignOn bermula pada Aidilfitri tahun 2025 dan diteruskan pada tahun ini. Objektif inisiatif ini ialah supaya penerima sampul ini boleh cuba mempelajari ejaan dalam BIM.
Sampul duit raya istimewa ini dicetak dengan memaparkan simbol tangan bagi huruf A hingga Z dan nombor 1 hingga 10 yang merupakan komponen asas untuk berkomunikasi dalam bahasa isyarat. Ini seterusnya menambah pengetahuan pemberi atau penerima sampul duit raya ini yang akan menyampaikan ilmu baharu ini kepada seisi keluarga semasa musim perayaan.
Sampul duit raya sebagai sumber pendapatan tambahan
Jika pada masa dahulu, sampul duit raya hanya didapati secara percuma apabila berkunjung ke bank-bank ataupun melakukan pembelian di kedai-kedai mahupun pasaraya tertentu, situasi ini semakin berkembang pada masa kini. Dengan permintaan daripada pelanggan untuk menghasilkan sampul duit raya ‘custom made’ dengan identiti sendiri untuk diberikan kepada kenalan dan prospek perniagaan, permintaan mencetak sampul duit raya jenis ini menghasilkan pendapatan tambahan kepada kedai-kedai percetakan terutama yang berstatus Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Selain itu, ada syarikat percetakan yang menghasilkan sampul duit raya istimewa dengan rekaan watak-watak kartun dari dalam dan luar negara, pemandangan tempat-tempat menarik di Malaysia serta rekaan mengikut identiti setiap negeri. Sampul duit raya ini lazimnya dicetak secara besar-besaran untuk dijual kepada peniaga-peniaga kecil yang menjual sampul duit raya di bazar-bazar Ramadan ataupun di ekspo raya. Ini dapat menambah pendapatan peniaga kecil-kecilan.
Dengan mengambil contoh sampul duit raya BIM oleh pihak #SignOn, ia merekodkan peningkatan jualan yang ketara iaitu sebanyak 30,000 keping sampul dicetak yang merupakan 3 kali jumlah cetakan berbanding tahun lepas.
Satu lagi contoh menarik ialah sampul duit raya ini mempunyai kumpulan peminatnya yang tersendiri. Para peminat sampul duit raya ini turut berdagang dan berjual-beli sampul duit raya serta sanggup berbelanja lebih untuk sampul duit raya yang unik dan ‘rare’ serta sukar dijumpai kerana tidak dikeluarkan atau dicetak semula. Justeru, tidak keterlaluan untuk mengatakan sampul duit raya juga merupakan ‘lubuk duit’.
Setiap rekaan membawa 1001 makna
Seperti hobi mengumpul setem, mengumpul sampul duit raya menghadirkan keterujaan yang sama seperti mengumpul setem namun keterujaan tersebut lebih menarik kerana rekaan-rekaan dipaparkan dalam saiz lebih besar berbanding rekaan pada setem. Kita dapat melihat rekaan yang pelbagai dipaparkan pada setem dan rekaan yang bervariasi ini turut dapat dilihat menerusi rekaan sampul duit raya. Daripada sampul duit raya rekaan bendera Malaysia, bendera negeri-negeri, wau bulan, batik Malaysia hinggalah kepada rekaan eksklusif songket dan banyak lagi, ia membawa 1001 makna dan kisah untuk dihargai setiap generasi.
Sebagai contoh, butik Khatam menawarkan sampul duit raya bertemakan ‘dulu-dulu’ namun dengan rekaan yang cantik dan menarik manakala Habib Jewels mendatangkan rekaan variasi rekaan songket untuk tahun 2026. Ini membuatkan generasi dahulu menghargai detik-detik yang pernah mereka lalui dan generasi kini mendapat kefahaman berkenaan apa yang berlaku pada suatu masa dahulu di negara kita.
Media sosial dimanfaatkan
Dengan ledakan teknologi maklumat serta berkembangnya media sosial pada masa kini, sampul duit raya turut mengalami perkembangan yang menarik. Jika dahulu sukar untuk mengumpulkan peminat sampul duit raya, perkara ini dapat diatasi menerusi kewujudan kumpulan khusus di media sosial Facebook seperti Hobi Kumpul Sampul Duit Raya, Kelab Pengumpul Sampul Duit Raya (KPSDR) hinggalah kepada kumpulan Bazaar Sampul Raya dan kumpulan Pasar Sampul Duit Raya bagi tujuan jualan sampul duit raya sesama ahli.
Selain itu, Facebook Marketplace dimanfaatkan oleh pemilik-pemilik sampul duit raya bagi mengiklankan dan menjual sampul duit raya yang dimiliki. Ini memudahkan pembeli untuk terus membeli sampul duit raya yang dihajati melalui carian di Facebook Marketplace. Selain menjimatkan masa, ia menjadikan proses pencarian lebih efektif dan efisien.
Kesimpulan
Sebagai penutup, sampul duit raya bukan sekadar sampul. Ia membawa 1001 pengertian dan kebahagiaan kepada seluruh rakyat Malaysia melangkau generasi di mana pemberi memberi duit raya seadanya untuk menggembirakan dan penerima bersyukur dengan pemberian.

