KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) melalui Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh memaklumkan, berdasarkan statistik KPM, kadar keciciran di peringkat sekolah rendah pada tahun 2023 hanya 0.06 peratus berbanding 0.07 peratus pada tahun sebelumnya, manakala bagi peringkat sekolah menengah adalah 0.83 peratus berbanding 0.99 peratus.
Statistik menunjukkan kadar keciciran murid dalam pelajaran menurun berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Antara faktor pencapaian ini adalah strategi serta pembaharuan dari segi kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dalam usaha untuk mengurangkan jurang pendidikan oleh KPM.
Ini termasuk menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan pada tahun lalu.
13 jenis bantuan merupakan bantuan khusus, manakala 5 jenis merupakan bantuan umum yang diagihkan kepada murid tercicir akibat kemiskinan.
Jenis-jenis bantuan yang diberikan adalah seperti Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Makanan Asrama (BMA), Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid Asrama (PPM), Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform (BPS), Pinjaman Buku Teks, Perkhidmatan Guru Bimbingan dan Kaunseling.
Perkhidmatan Guru Pemulihan turut disediakan bagi menyokong minat murid untuk meneruskan persekolahan.
Walaupun terdapat perubahan positif, dengan trend penurunan ini membuktikan strategi dan usaha pembaharuan KPM untuk mengurangkan jurang pendidikan sedikit sebanyak telah membuahkan hasil.
Namun, peratusan itu tidak menggambarkan jumlah sebenar yang dimaklumkan sendiri oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam Dewan Parlimen pada beberapa minggu yang lalu.
Iaitu terdapat lebih 435,000 murid di sekolah rendah dan menengah sedang berhadapan dengan isu keciciran pembelajaran.
Jumlah murid yang dinyatakan Menteri itu ternyata masih tinggi dan tindakan yang berkesan serta holistik perlu diambil.
KPM dalam menangani isu keciciran murid
Pendekatan yang diambil KPM bagi menangani jumlah besar isu keciciran murid dalam pelajaran ini adalah dengan memperkenalkan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9), dengan tujuan semua murid dapat kekal bersekolah, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pada tahun ini juga, KPM telah memperluas konsep K9 kepada sekolah komprehensif 11 (K11) yang dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4.
Selain itu, KPM turut mewujudkan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang ditubuhkan sejak tahun 2013 dan beroperasi di Chow Kit, Kuala Lumpur, dengan tujuan memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan dan terpinggir di sekitar Kuala Lumpur.
Tidak terkecuali, kerjasama komuniti setempat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menjadi inisiatif KPM dalam menjalankan program capaian murid cicir di semua daerah.
Pada pertengahan Mac baru-baru ini, Menteri Pendidikan turut memperkenalkan empat langkah bagi menangani isu keciciran pembelajaran menerusi Intervensi Kurikulum Murid Tahun Satu.
Empat langkah berkenaan adalah Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3; Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi; Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa; dan Penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3.
Langkah itu diambil susulan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk ibu bapa yang merupakan antara sumber maklumat penting dalam pembangunan kurikulum.
Tambahan lagi, langkah intervensi kurikulum itu bertujuan untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran 3M serta memerlukan intervensi awal yang bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan gaya pembelajaran mereka.
Penguasaan awal Kemahiran 3M
Isu keciciran dalam pelajaran ini merupakan isu yang sangat penting dan sering dibangkitkan dari semasa ke semasa.
Keciciran dalam pelajaran berkait rapat dengan kemahiran literasi dan numerasi seseorang individu atau lebih dikenali dengan Kemahiran 3M, iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira.
Bagi murid yang tidak mempunyai Kemahiran ini mereka akan digelar sebagai buta huruf pada satu ketika dahulu.
Kemahiran asas ini perlu dipersiapkan kepada semua murid seawal alam persekolahan sama ada di peringkat tadika atau pra sekolah.
Ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam kurikulum sekolah rendah, berbanding rakan sebaya yang lain.
Perkara ini turut dipersetujui oleh Anuar Ahmad, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui penulisan beliau.
Di mana beliau berpendapat, penguasaan 3M pada peringkat awal akan memberi impak positif terhadap proses pembelajaran murid.
Secara tidak langsung, kemahiran asas ini dapat meningkatkan tahap keyakinan murid untuk melalui proses pembelajaran di sekolah serta menarik minat untuk terus hadir ke sekolah.
Isu keciciran ini secara menyeluruh melibatkan semua kalangan pelajar tidak kira status miskin bandar, berada di luar bandar, pinggir bandar, kanak-kanak Orang Asli dan juga yang tidak mempunyai dokumen.
Secara umumnya, sekiranya murid ini mahir dan menguasai 3M pada peringkat sekolah rendah, sekurang-kurangnya mereka mampu berdikari apabila menginjak usia remaja.
Kemahiran 3M ini dipercayai dapat membantu mereka untuk membuat pilihan dan membuat keputusan dengan lebih baik dalam menguruskan kehidupan yang melibatkan kewangan serta bersosial dengan masyarakat lain.
Oleh itu, penekanan perlu diberi lebih, bagi menangani isu keciciran pembelajaran dan kemahiran 3M yang melibatkan murid di peringkat pra sekolah dan sekolah rendah berbanding di peringkat sekolah menengah.
Peringkat rendah ini lebih kritikal dan mampu mengurangkan isu yang berterusan di peringkat yang lebih tinggi.
Secara realistiknya, usahasama dari pelbagai agensi dan badan berkaitan perlu dijalankan bagi menangani isu keciciran dalam pelajaran ini secara berkesan di peringkat nasional.
Kerjasama antara Kementerian dan agensi berkaitan
Walaupun KPM yakin semua usaha dan inisiatif yang dirancang serta dilaksanakan dapat menangani isu keciciran murid dan memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan negara sehingga tamat tempoh persekolahan.
Kerjasama sinergi dari pelbgai agensi dan pihak seperti Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta mana-mana Kelab Buku yang ada dalam negara lebih menjamin keberhasilan dalam melahirkan generasi yang celik huruf.
Seperti contoh dua agensi yang terlibat secara langsung dalam menggalakkan aktiviti membaca dan advokasi kemahiran literasi kepada masyarakat terutama sekali golongan kanak-kanak dan belia adalah PNM dan PPM.
Dua badan ini bergerak aktif dalam menggalakkan masyarakat membaca dan menyediakan perkhidmatan serta aktiviti yang berkaitan bagi membantu serta memperkasakan kemahiran 3M masyarakat setempat.
Melalui Perpustakaan Desa (PD) di bawah kelolaan PNM yang ditempatkan di kawasan-kawasan luar bandar dan pinggir bandar, perkhidmatan dan aktiviti galakan membaca giat dijalankan dari semasa ke semasa pada setiap tahun.
Bukan sekadar menyediakan bahan bacaan, PD berfungsi sebagai salah satu komponen penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan membina komuniti yang bijak dan berilmu.
Selaku pusat bantuan pembelajaran, PD turut menyediakan bantuan pembelajaran bagi masyarakat setempat yang memerlukan sokongan dalam bidang pelajaran atau kehidupan.
Bantuan ini diberikan oleh kakitangan PD, tenaga kerja sukarela atau sukarelawan dari kalangan masyarakat sendiri.
Manakala PPM komited dalam mewujudkan masyarakat sivil yang kaya dengan maklumat berasaskan pengetahuan, melalui penggalakan ekuiti maklumat, pembelajaran sepanjang hayat, dan peningkatan profesional perpustakaan dan maklumat.
Selain itu, PNM dan PPM turut bertindak dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca dan kepentingan perpustakaan dalam kalangan masyarakat di kawasan luar bandar.
Menerusi pembudayaan ilmu, kedua-dua badan ini merupakan rakan kerjasama yang paling ideal dengan KPM dalam merangka dan merealisasikan usaha menangani isu keciciran pembelajaran di kalangan murid di Malaysia.
Dengan kerjasama pelbagai pihak seperti ibubapa serta komuniti setempat, isu keciciran pembelajaran ini tidak mustahil dapat diatasi dengan baik dan dengan jayanya.
Apa yang penting adalah kerjasama, dan bergerak seiring dalam menangani sesuatu isu demi mencapai objektif nasional.
……
Penulis merupakan Timbalan Pengarah, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya