Segerakan pelaksanaan “e-voting”

Sistem e-voting bukanlah satu perkara yang asing kerana ada sebilangan negara seperti Estonia sudah melaksanakannya.

Feature Image (1)

SEKITAR 2 minggu lalu, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan pelaksanaan sistem pilihan raya secara dalam talian (e-voting) di negara ini.

Berdasarkan kenyataan Datuk Seri Ramlan Harun selaku Pengerusi SPR, badan itu sedang melaksanakan penelitian secara menyeluruh ke atas sistem e-voting, termasuklah aspek keselamatan, kerahsiaan serta penerimaan masyarakat.

Laporan ini seharusnya dilihat sebagai satu khabar baik untuk negara ini lantaran manfaat yang bakal diterima sekiranya e-voting menjadi satu kenyataan kelak. Sistem e-voting bukanlah satu perkara yang asing kerana ada sebilangan negara seperti Estonia yang sudah pun melaksanakannya sebelum ini, bahkan seawal lebih 20 tahun yang lalu. Ini pastinya boleh membantu SPR dalam proses kajiannya dalam hampir segenap aspek yang perlu dipertimbangkan.

Dengan perkembangan pesat teknologi komunikasi maklumat (IT) terkini seperti ‘blockchain’ dan besarnya bilangan pakar IT tempatan termasuk pakar keselamatan siber, pelaksanaan e-voting bukanlah menjadi sesuatu yang mustahil untuk dijelmakan dalam masa yang terdekat.

Bahkan negara kita sudah pun membangunkan pangkalan maklumat peribadi seperti MyDigital ID dan Sistem Budi Madani yang boleh diintegrasikan dengan proses e-voting kelak. Di samping itu, SPR boleh mengadaptasi kaedah yang digunakan oleh sistem perbankan dalam talian dan dompet digital (e-wallet) dalam memastikan ketepatan serta keselamatan data.

Apa yang penting, SPR perlu mengeksploitasi sepenuhnya segala kepakaran dan sumber tempatan bagi merealisasikan pelaksanaan e-voting ini.

Bagi mengatasi masalah akses kepada liputan rangkaian internet di kawasan-kawasan pedalaman dan luar bandar, SPR boleh menggunapakai perkhidmatan internet Starlink sewaktu berlangsungnya proses pengundian.

Malah, perkhidmatan Starlink ini boleh diletakkan secara kekal di kawasan-kawasan tersebut dan menjadikan premis pengundian itu sebagai pusat siber komuniti bagi menghubungkan penduduk setempat dengan rangkaian internet berkelajuan tinggi. Untuk mengatasi masalah pengundian oleh golongan buta IT, SPR boleh menyediakan pusat-pusat pengundian berkomputer khas yang dikendalikan oleh petugas-petugas untuk membantu pengundi disertai wakil-wakil parti politik sebagai pemerhati.

Tidak seperti pengundian konvensional, pusat-pusat ini hanya perlu menggunakan ruangan kecil seperti balai raya memandangkan bilangan pengundi yang akan ke pusat ini adalah relatif kecil.

Sekiranya e-voting ini berjaya dilaksanakan, antara manfaat terbesarnya ialah penjimatan kos langsung yang berkaitan pilihan raya. Umum mengetahui bahawa pilihan raya konvensional memerlukan biaya puluhan hingga ratusan juta ringgit untuk peringkat negeri, seperti pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, dan boleh menjangkau lebih RM1 bilion untuk pilihan raya umum (PRU) seperti yang dilaporkan untuk PRU 15 yang lalu.

Apatah lagi dalam situasi politik pasca PRU14 yang menyaksikan semakin banyak negeri yang memilih untuk tidak membuat PRN bersekali dengan PRU, ia menjadikan kos pengendalian pilihan raya menjadi berganda.

Antara kos langsung yang paling signifikan yang boleh dijimatkan dengan sistem e-voting tentulah kos percetakan yang dapat dihapuskan hampir keseluruhannya, di samping bayaran bagi petugas pilihan raya yang boleh dikecilkan.

Selain itu, e-voting juga boleh meminimakan kos sewa tapak yang dijadikan sebagai pusat pengundian serta pusat kiraan undi, memandangkan para pengundi boleh membuang undi dari mana-mana tempat mereka berada.

Hanya sewa tapak bagi pusat pengundian khas bagi pengundi buta IT seperti cadangan di atas sahaja yang perlu ditanggung oleh SPR. Kos-kos langsung lain yang dapat dikurangkan melalui e-voting ialah kos pengangkutan seperti bahan api, tol, dan bayaran pemandu, selain kos-kos untuk menyimpan peralatan yang digunakan semasa PRU atau PRN seperti peti-peti undi dan kertas undi.

Bukan itu sahaja, e-voting juga akan dapat memberikan penjimatan kepada kos-kos tidak langsung. Ini termasuklah kos subsidi bahan api yang perlu ditanggung oleh kerajaan kerana pengundi tidak perlu memandu kenderaan mereka ke tempat pengundian kerana pengundian boleh dilakukan dari mana-mana sahaja mereka berada. Kos subsidi bahan api ini pastinya berjumlah jutaan ringgit memandangkan masih ramai pengundi yang berdaftar sebagai pengundi di kampung halaman masing-masing walaupun mereka tinggal di lokasi beratus kilometer dari kampung mereka.

Ini juga dapat mengurangkan pembebasan karbon yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar serta pemanasan global, di samping dapat merendahkan kos berkaitan produktiviti akibat terpaksa mengambil cuti untuk membuang undi dan masa yang terbazir semasa menunggu giliran untuk mengundi atau semasa terperangkap dalam kesesakan lalulintas.

E-voting turut boleh membantu meningkatkan kadar peratusan pengundian memandangkan proses pengundiannya lebih mudah dan selesa. Bahkan, cuaca buruk tidak akan lagi menjadi hambatan kepada kebanyakan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Ini akhirnya akan mengukuhkan keabsahan keputusan PRU atau PRN yang diperoleh memandangkan peratusan pengundian adalah tinggi.

Meskipun e-voting juga mempunyai kosnya, ia dijangka tidak melampaui 50% daripada kos pengundian secara konvensional seperti sedia ada. Ini pastinya sangat membantu meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan, apatah lagi dalam situasi ekonomi yang suram seperti sekarang ini. Penjimatan ratusan juta ringgit ini pastinya boleh digunakan untuk tujuan lain yang memberi impak lebih besar kepada ekonomi tempatan.

Oleh yang demikian, proses untuk merealisasikan e-voting ini wajar disokong sepenuhnya oleh kerajaan agar proses kajian dan penelitian itu dapat disegerakan. Semoga PRU ke 16 nanti menjadi satu pilihan raya yang bersejarah di Malaysia kerana buat kali pertamanya PRU dijalankan secara dalam talian sepenuhnya.