Tiga saranan amalan sempena Nisfu Syaaban

Bulan Syaaban adalah bulan kelapan dalam kalendar Islam iaitu sebelumnya bulan Rejab dan selepasnya adalah bulan Ramadan.

Feature Image

HARI ini, umat Islam meraikan separuh bulan Syaaban atau masyhur disebutkan sebagai ‘Nisfu Syaaban’. Bulan Syaaban adalah bulan kelapan dalam kalendar Islam iaitu sebelumnya bulan Rejab dan selepasnya adalah bulan Ramadan.

Ketika kita berada dalam bulan ini, rata-rata daripada kita umat Islam melihat bulan ini seperti bulan-bulan biasa yang lain, tidak seperti bulan Ramadan yang diraikan sebagai bulan pesta ibadah khususnya kewajipan berpuasa dan bulan Syawal, bulan kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Zulhijjah bulan bagi ibadah Haji dan hari raya Aidiladha.

Tahukah kita bahawa dalam bulan ini, ada peringatan khusus daripada Nabi SAW untuk kita mengambil faham dan pengajaran daripadanya. Dalam satu hadis, ada dijelaskan oleh Nabi SAW bagaimana ramai umat Islam yang lalai dan alpa dalam bulan Syaaban ini.

Maksudnya: “Pada bulan itu (yakni Sya‘ban), bulan yang sering dilalaikan manusia, (iaitu bulan) antara Rejab dan Ramadan.” (Riwayat al-Nasa’i, no. 2357, hadis Hasan).

Hadis ini menjelaskan dari sudut umum tentang ketidakprihatinan kita sebagai umat Islam ketika berhadapan dengan bulan Syaaban ini. Bahkan, jika mahu dikaitkan dengan pertengahan bulan ini, mungkin sebahagian daripada umat Islam langsung tidak peduli apa yang berlaku dan apa yang perlu dikerjakan dalam bulan ini.

Oleh itu, pada kesempatan berbaki separuh daripada bulan Syaaban ini, jangan sesekali kita mensia-siakan ruang dan kesempatan yang ada ini. Gunakan untuk memanfaatkan kelebihan yang ada khususnya pada malam Nisfu Syaaban.

Hal ini ada dijelaskan dalam hadis sahih yang bermaksud: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)” (HR Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain.

Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah). Walaupun ada sebahagian ulama yang mempertikaikan hadis kelebihan Nisfu Syaaban ini, namun secara majoriti ulama berpendapat tentang kelebihan yang ada pada malam ini dan juga keharusan dalam beramal di dalam malam berkenaan.

Ibn Taymiyyah ada menyatakan bahawa hadis-hadis tentang kelebihan malam Nisfu Sya‘ban mempunyai asal dan boleh diamalkan dalam fadha’il al-a‘mal (berkenaan dengan kelebihan sesuatu amalan).

Demikian juga Ibn Rajab al-Hanbali yang turut menyebutkan bahawa bulan Sya‘ban adalah bulan persediaan rohani untuk semua umat Islam, sebelum tibanya bulan Ramadan.

Sedangkan, malam Nisfu Sya‘ban mempunyai kelebihan dari sudut pengampunan. Namun, Imam al-Shatibi menegaskan bahawa pengkhususan ibadah tertentu tanpa dalil sahih boleh membawa kepada bidaah walaupun bertujuan baik.

Oleh yang demikian, boleh kita katakan bahawa sewajarnya kita perlu memastikan pengisian yang jelas ketika mana berada dalam bulan Syaaban khususnya lagi apabila akan tiba berada di pertengahan bulan Syaaban ini.

Jadi, dicadangkan tiga saranan utama yang boleh dilakukan oleh semua umat Islam sempena berada dalam bulan Syaaban dan khususnya pada Nisfu Syaaban iaitu:

Pertama: Banyakkan berdoa memohon keampunan daripada Allah SWT. Termasuk juga memohon apa sahaja hajat yang baik kepada Allah SWT. Hal ini sesuai dengan pandangan al-Imam al-Syafi’i yang pernah menyebutkan dalam kitab al-Umm tentang permohonan seseorang (yakni doanya) akan dikabulkan dalam lima malam, iaitu malam Jumaat, malam hari raya Aidiladha, malam hari raya Aidilfitri, awal malam di bulan Rajab dan malam Nisfu Syaaban.

Jadi, gunakan kesempatan ini untuk terus berdoa dan memanjatkan keampunan daripada Allah SWT. Setidak-tidaknya sebagai persediaan kita untuk menyambut bulan Ramadan dengan lebih tenang dan di bawah lindungan Allah selalu.

Kedua: Memastikan diri dapat melaksanakan ibadah puasa sunat pada tiga hari utama yang disebutkan sebagai hari putih iaitu pada pertengahan bulan iaitu pada hari ke-13, 14 dan 15 haribulan. Puasa pada tiga hari ini adalah merupakan sunnah Nabi SAW dan baginda menganjurkan pada setiap bulan. Cuma menarik lagi apabila dalam hal ini Nabi SAW ada menyatakan bahawa baginda suka agar amalan diangkat dalam keadaan berpuasa.

Ibn Hajar ada menyebutkan bahawa tidak dinafikan bahawa diangkatnya amalan pada bulan Syaaban berdasarkan hadis Nabi SAW bahawa sesungguhnya ia (iaitu bulan Syaaban) adalah bulan yang diangkat padanya amalan dan aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.

Kata beliau lagi, gambaran Nabi SAW itu bagi menunjukkan bahawa amalan tahunan diangkat pada malam itu berbentuk umum (bagi tempoh setahun), manakala diangkat amalan pada setiap Isnin dan Khamis adalah bersifat mingguan. Jadi, sangat disarankan untuk kita berpuasa supaya apabila dibentangkan amalan kita, dalam keadaan kita sedang berpuasa.

Ketiga: Memperbaiki hubungan sesama manusia lain. Perkara ini jelas daripada hadis Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Allah SWT melihat pada malam Nisfu Syaaban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri” (HR Ahmad, no. Hadis 6353, Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih).

Akhir sekali, dengarlah apa yang dijelaskan oleh Ibn Rajab yang menjelaskan bahawa para tabi’in daripada penduduk al-Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa orang tabi’in yang lain akan memuliakan malam Nisfu Syaaban dan mereka bersungguh-sungguh dalam ibadah ketika malam tersebut.

Jadi, tunggu apa lagi, usahlah kita mensia-siakan peluang dan ruang berada dalam bulan ini. Gunakanlah untuk meraih keuntungan pahala daripada apa yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya.