Novartis Malaysia guna pendekatan jenaka tingkat kesedaran kesihatan prostat
Data menunjukkan kira-kira enam daripada 10 lelaki di Malaysia didiagnosis menghidap kanser prostat pada tahap lanjut.
KUALA LUMPUR, 3 Mac 2026 — Novartis Malaysia memperkenalkan pendekatan berunsur jenaka bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan prostat dalam usaha memecahkan tabu serta menggalakkan lelaki menjalani saringan awal.
Inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan Harley Owners Group Malaysia dan Ferrari Owners Club Malaysia, dengan menganjurkan sesi bual bicara interaktif bertajuk “Adakah Saiz Penting?”.
Sesi tersebut menampilkan pelawak tempatan Douglas Lim yang menggunakan pendekatan santai dan humor bagi menggalakkan perbincangan terbuka mengenai kesihatan prostat.
Turut berkongsi pandangan ialah Pakar Onkologi Klinikal, Dr Ahmad Radzi dari Hospital Pantai Kuala Lumpur serta Dr John Low dari OncoCare Malaysia yang menekankan kepentingan pengesanan awal dan rawatan berasaskan bukti.
Presiden Negara Novartis Malaysia, Brunei dan Pasaran Membangun Asia, Sanjeev Balachandran berkata, penglibatan lelaki melalui komuniti yang mereka percayai dapat mewujudkan persekitaran lebih terbuka untuk perbincangan kesihatan.
“Lelaki secara statistiknya lebih cenderung untuk menangguhkan rawatan. Oleh itu, pendekatan inovatif seperti ini dapat menggalakkan saringan dan intervensi tepat pada masanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Novartis, pembesaran prostat adalah perkara biasa dalam kalangan lelaki berusia, namun ia boleh menyukarkan pengesanan awal sel kanser dan menyebabkan penyakit hanya dikenal pasti pada peringkat lanjut.
Data menunjukkan kira-kira enam daripada 10 lelaki di Malaysia didiagnosis menghidap kanser prostat pada tahap lanjut, sekali gus mengehadkan pilihan rawatan serta menjejaskan kualiti hidup.
Dalam perkembangan berkaitan, pakar perubatan memaklumkan bahawa teknologi saringan lanjutan seperti pengimejan Prostate-Specific Membrane Antigen Positron Emission Tomography (PSMA PET) kini membolehkan pengesanan lebih tepat, selain menyokong penggunaan terapi radioligand bagi pesakit peringkat lanjut.
“Pengimejan PSMA PET membantu mengenal pasti sel kanser dengan tepat dan memandu rawatan ke lokasi yang diperlukan sambil meminimumkan kesan kepada tisu sihat,” menurut kenyataan itu.
Novartis turut menegaskan komitmennya untuk memajukan penjagaan kanser dan merapatkan jurang rawatan bagi pesakit kanser prostat melalui kerjasama strategik dengan komuniti gaya hidup.
Syarikat itu menggesa lelaki Malaysia agar mengutamakan kesihatan prostat sebagai sebahagian daripada komitmen kesejahteraan, termasuk menjalani pemeriksaan berkala serta mendapatkan maklumat sahih menerusi aplikasi ICanCare.
