Kesejahteraan emosi anak-anak dalam dunia digital

Sebanyak 13.1 peratus anak muda mempunyai pemikiran membunuh diri dan sekitar 9.5 peratus telah cuba membunuh diri.

Feature Image

CERAHNYA cahaya peranti telah menjadi kebiasaan menerangi kegelapan malam dalam kebanyakan rumah di Malaysia kini. Kadang-kadang peranti itu digunakan untuk mententeramkan anak yang sedang meragam.

Bahkan bagi orang dewasa, ia juga medium bagi menenangkan hati yang sedang resah gelisah. Begitulah letak duduknya peranti dalam kehidupan kita dewasa ini.

Justeru, bagi anak-anak, dunia digital merupakan lokasi ketiga selepas rumah dan sekolah dan persoalannya sekarang, apakah kesan kehidupan digital ini terhadap kesihatan emosi mereka? Baik atau buruk? Persoalan seterusnya, apa yang patut kita buat berkenaan isu ini?

Di negara kita, kualiti kesalinghubungan daripada pelbagai sudut, boleh dianggap baik dan berjaya. Berdasarkan ringkasan eksekutif Our Lives Online edisi Malaysia, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan 9 daripada 10 anak-anak yang berusia 5 hingga 17 tahun adalah pengguna internet dan 92 peratus pelajar yang berumur 13 hingga 17 tahun mempunyai akaun media sosial masing-masing.

Perkembangan ini memberikan kebaikan kepada mereka, antaranya ialah sebagai sumber maklumat bagi tujuan pembelajaran dan penciptaan kandungan kreatif serta dapat memastikan hubungan persahabatan terjalin walaupun jauh di mata.

Namun demikian, laporan yang sama mengingatkan bahawa pendedahan yang besar boleh memperbanyakkan risiko kepada anak-anak seperti buli siber dan eksploitasi seksual, di mana pengalaman ini boleh menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan hidup mereka.

Data tempatan berkaitan kesihatan mental berikut menjelaskan kenapa isu ini perlu sentiasa dibincangkan dan ditangani dengan berterusan. Berdasarkan satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Arch Public Health pada tahun 2025, simptom kemurungan dalam kalangan anak muda Malaysia mencapai 26.9 peratus.

Selain itu, data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 memaparkan sebanyak 13.1 peratus anak muda mempunyai pemikiran membunuh diri dan sekitar 9.5 peratus telah cuba membunuh diri.

Laporan ini juga mendapati golongan perempuan lebih cenderung ke arah situasi ini berbanding dengan kaum lelaki. Walaupun jumlah ini tidak menerangkan media sosial sebagai penyebab utamanya tetapi ia membuktikan generasi muda dewasa ini sedang hidup dalam ketegangan, termasuk tekanan daripada kehidupan digital. Oleh itu, langkah-langkah pencegahan dan sokongan awal perlu dilakukan dengan kadar segera.

Di peringkat global, kebimbangan yang sebelum ini samar sifatnya telah berubah kepada amaran jelas. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), data dunia menerangkan bahawa satu daripada tujuh anak yang berumur sekitar 10 hingga 19 tahun mengalami masalah gangguan mental.

Seterusnya, kemurungan, kebimbangan dan gangguan tingkah laku merupakan faktor utama kepada penyakit dan ketidakupayaan dalam kalangan anak muda. Pada masa yang sama, satu kenyataan umum di Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Surgeon General’s Advisory merumuskan bahawa anak-anak yang menghabiskan masa lebih daripada tiga jam setiap hari dalam media sosial mempunyai risiko dua kali ganda menghadapi masalah kesihatan mental, termasuk mengalami simptom kemurungan dan kebimbangan.

Biarpun dapatan ini bersifat global tetapi ia dapat membantu para pakar mengenali corak yang sama di peringkat tempatan, iaitu apabila kehidupan digital terlalu menguasai diri sehingga mudah dihukumi dan terhukum secara sosial, ia sebenarnya menjejaskan kesejahteraan emosi seseorang, sama ada anak kecil, remaja mahupun orang dewasa.

Di Malaysia, usahanya telah sampai kepada penyediaan dasar. Kerajaan menyasarkan untuk melaksanakan larangan memiliki akaun media sosial bagi individu bawah 16 tahun mulai pertengahan hingga akhir 2026, sebagai langkah melindungi remaja daripada ancaman dalam talian seperti buli siber dan kandungan tidak sesuai.

Adakah larangan ini praktikal? Sama ada praktikal atau tidak, sama ada ia lebih banyak membantu daripada membahayakan, semuanya terpulang kepada cara penguatkuasaan, kesamarataan dan juga bagaimana bentuk sokongan yang diberikan bagi menggantikan ruang hubungan yang telah hilang.

Justeru, sebagai salah seorang pihak berkepentingan, apakah pendekatan bijak yang kita boleh aplikasikan? Pertama sekali, jangan anggap tempoh waktu layar sebagai kayu ukur semata-mata untuk menghadkan penggunaan peranti. Para penyelidik menegaskan kayu ukur yang sebenar terletak pada penggunaan yang bermasalah seperti penatalan pada malam hari, perasaan takut ketinggalan daripada dunia digital dan kesukaran untuk berhenti menggunakan peranti.

Ibu bapa dan guru-guru juga boleh mengenal pasti masalah ini melalui perubahan tingkah laku anak-anak, misalnya kekurangan tidur, kemurungan selepas menggunakan peranti, menyimpan rahsia, penarikan diri daripada rakan-rakan secara fizikal dan sering memeriksa peranti ketika belajar.

Seterusnya, perlakukan media digital sebagai persekitaran yang beremosi, yang kita sendiri boleh cipta dan kemudinya. Seperti yang kita maklum, platform dalam talian mudah menarik perhatian anak-anak, jadi, bekalkan mereka dengan kemahiran digital yang baik dan batasan yang jelas.

Di samping itu, mungkin jalan terbaik adalah gabungan tiga komponen ini:

1. Reka bentuk atau pilih platform yang bersesuaian dengan umur anak
2. Persetujuan dan peraturan keluarga berkaitan media digital di rumah seperti tiada peranti semasa sesi makan, sembang dan tidur
3. Kecerdasan emosi digital yang berkesan sama ada di rumah atau di sekolah seperti tahu melabelkan perasaan, menguruskan konflik dalam talian dan mencari bantuan lebih awal daripada orang dewasa yang boleh dipercayai atau pakar profesional.

Terakhir, perkuatkan jaringan keselamatan anak-anak dalam dunia digital. UNICEF Malaysia menjelaskan penyediaan ruang digital yang lebih selamat memerlukan kerjasama daripada semua pemegang taruh, contohnya, pihak kerajaan, ibu bapa, guru-guru, masyarakat setempat, sektor swasta dan juga UNICEF sendiri.

Kerjasama semua pemegang taruh merupakan tanggungjawab kolektif, penting dilakukan bersama-sama dalam memastikan keselamatan digital anak-anak terjamin. Antara usaha yang boleh dijalankan ialah perkhidmatan kaunseling yang lebih baik di sekolah, penyediaan talian bantuan yang lebih jelas dan pelaksanaan kempen untuk mengurangkan persepsi negatif supaya anak-anak mudah menyatakan mereka disakiti tanpa rasa takut.

Negara kita tidak perlu berada di persimpangan untuk memilih antara dua perkara penting ini, mendahulukan teknologi atau melindungi zaman kanak-kanak.

Sebenarnya, kita perlu mendukung kedua-duanya serentak dan perlu kita ingat bahawa kesihatan emosi anak bukan sekadar isu sampingan dalam perkembangan digital, tetapi ianya merupakan asas sandaran kepada perkembangan digital itu sendiri.