Harga makanan lebih diutamakan berbanding nutrisi

Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 Julai 2025 menjadi satu daripada pendorong kepada peningkatan kos sara hidup di Malaysia.

Poster Terkini (1)


PELAKSANAAN Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 Julai 2025 menjadi satu daripada pendorong kepada peningkatan kos sara hidup di Malaysia.

Semakin ramai keluarga dijangka berdepan kesukaran untuk menyediakan makanan berkhasiat di rumah. Walaupun SST tidak dikenakan ke atas semua produk makanan, kesan tidak langsung melalui kenaikan kos pengangkutan, perkhidmatan dan operasi perniagaan telah menyebabkan harga barangan asas seperti sayur-sayuran, buah-buahan segar dan barangan runcit meningkat secara keseluruhan.

Buah-buahan tropika seperti pisang, nanas dan rambutan akan dikenakan cukai sebanyak 5 peratus, termasuk buah-buahan import seperti limau mandarin, anggur, beri, avokado, laici dan belimbing.

Buah-buahan bukanlah barangan mewah, sebaliknya ia merupakan makanan harian penting bagi jutaan rakyat Malaysia bagi membekalkan nutrien penting seperti serat, vitamin C, antioksidan dan lemak sihat.

Malah, kebanyakan pengeluaran buah-buahan import ini tidak dapat dihasilkan secara mencukupi dalam negara dan sukar diganti dalam sistem makanan semasa.

Apa yang dahulunya dianggap sebagai hidangan seimbang kini menjadi cabaran dalam perancangan belanjawan isi rumah. Keluarga daripada pelbagai latar belakang dan peringkat pendapatan kini terpaksa mengutamakan harga berbanding nutrisi.

Walaupun dasar ekonomi seperti SST bertujuan meningkatkan pendapatan negara, kesan turut dirasai secara mendalam di dapur setiap isi rumah. Peralihan ini mungkin tidak dapat dielakkan, namun ia datang dengan kesan terhadap kesihatan masyarakat.

Keluarga berpendapatan sederhana juga bergelut untuk menampung perbelanjaan mereka, lalu memilih makanan dalam kuantiti yang banyak walaupun kurang berkualiti.

Kita melihat wujudnya satu ‘jurang nutrisi mampu milik’ iaitu situasi di mana rakyat cukup makan tetapi tidak cukup zat. Isu ini turut berkait rapat dengan ketidaksamarataan dalam akses pemakanan yang ditentukan oleh tahap sosioekonomi, gaya hidup, geografi dan sistem agihan sedia ada.

Ia bukan sahaja tentang berapa banyak makanan yang boleh dibeli tetapi juga kualiti makanan itu sendiri.

Corak pemakanan masyarakat hari ini semakin tidak stabil dan tidak seimbang bagi sebahagian besar rakyat Malaysia. Apabila pemakanan sihat sukar diakses, kesannya turut dirasai oleh seluruh negara.

Perubahan corak pemakanan ini telah mendorong peningkatan masalah malnutrisi dalam dua bentuk, termasuk kekurangan zat dan kadar obesiti yang semakin tinggi, terutamanya dalam komuniti bandar berpendapatan rendah yang mempunyai akses terhad kepada makanan segar dan berkhasiat.

Pemakanan tidak seimbang bukan sahaja melemahkan imuniti badan tetapi meningkatkan cuti sakit, menjejaskan produktiviti di tempat kerja dan menambah beban kepada sistem kesihatan negara.

Bagi kanak-kanak, kesannya lebih serius seperti pertumbuhan terbantut, penurunan prestasi kognitif dan risiko kesihatan jangka panjang.

Jika isu ini tidak ditangani segera, jurang pemakanan sihat antara golongan berkemampuan dan yang tidak akan terus melebar, sekali gus memberi impak besar terhadap kestabilan sosial, ekonomi negara dan masa depan pembangunan.

Sekiranya tiada langkah diambil, masa depan pasca pelaksanaan SST mungkin akan menyaksikan:
(i) peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan awam akibat penyakit berkaitan pemakanan,
(ii) beban yang lebih besar ke atas program makanan sekolah apabila lebih ramai kanak-kanak hadir dengan kekurangan zat makanan
(iii) jurang sosial yang semakin ketara antara keluarga yang mampu menyediakan makanan seimbang dan yang sebaliknya.

Pemakanan Berkhasiat adalah Hak dan Keperluan

Kerajaan wajar menetapkan pengecualian SST bagi barangan asas yang bernurtrisi seperti buah-buahan import termasuk anggur, beri dan avokado.

Buah-buahan ini adalah sumber harian vitamin dan serat yang sepatutnya boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira tahap pendapatan. Pemakanan berkhasiat tidak wajar dijadikan isu sempadan. Semua rakyat berhak mendapat akses kepada makanan sihat, sama ada tempatan atau import.

Pihak pasar raya dan peruncit juga digalakkan untuk menawarkan diskaun mingguan secara bergilir bagi buah-buahan tempatan dan buah-buahan import yang biasa dimakan di bawah label ‘Buah Sihat untuk Semua’.

Ramai keluarga di kawasan bandar bergantung kepada promosi harga untuk membuat keputusan pembelian. Diskaun berlabel untuk buah-buahan tempatan dan buah-buahan import penting (seperti anggur dan beri) mampu meningkatkan kemampuan membeli sambil menggalakkan pilihan yang lebih sihat.

Peruncit juga boleh diberi insentif untuk menawarkan kedua-dua kategori buah ini dalam pakej atau promosi makanan sihat mereka.

Makanan berkhasiat bukanlah satu kemewahan. Ia adalah hak asas yang perlu dilindungi melalui dasar yang inklusif dan tindakan praktikal. Pelaksanaan SST mungkin penting demi kelestarian ekonomi negara, tetapi akses kepada pemakanan sihat tidak sepatutnya diketepikan dalam hal ini.

Jika tiada campur tangan, kita berisiko mengundur semula pencapaian terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya berkaitan kesihatan, kelaparan dan ketidaksamarataan.

Setiap tindakan yang diambil hari ini akan menentukan sama ada Malaysia kekal di landasan menuju Agenda Pembangunan Mampan 2030 atau terjerumus ke dalam jurang pemakanan yang akan menjejaskan generasi akan datang.

Marilah kita pastikan pemakanan sihat bukan hanya untuk golongan tertentu tetapi boleh dinikmati secara adil oleh semua lapisan masyarakat. Sebuah negara yang sihat bermula dengan pemakanan sihat untuk semua.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.