Masalah, penyelesaian sama penting dengan kos pengajian di IPT
Kenaikan kos yang sering berlaku semakin membimbangkan, terutamanya bagi pelajar yang bergantung kepada sumber kewangan yang terhad dan minimum.

SEPANJANG akhir Jun sehingga pertengahan Julai ini, ramai ibu bapa dan penjaga sibuk membawa anak-anak mereka untuk memulakan pengajian di insttitusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, Pusat Matrikulasi dan Institusi Latihan Kemahiran seluruh negara.
Pendidikan tinggi merupakan satu elemen penting dalam hala tuju negara, terutamanya bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta modal insan berdaya saing dan berinovasi. Seterusnya bakal wujud generasi penggerak industri yang tinggi aspek akhlak, adab serta pemikirannya.
Secara dasarnya, pelajar berlatarbelakangkan pendidikan tinggi yang baik, ia dapat membantu mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang diimpikan, seterusnya mampu meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup mereka.
Sebelum bergelar pelajar IPT, mereka perlu melunaskan dahulu yuran pengajian yang tetap jumlahnya setiap tahun. Setelah itu, kos sara hidup sepanjang setahun pengajian juga perlu diusahakan jumlahnya. Kedua-dua elemen kos ini tidak boleh dipisahkan dan keperluannya memang boleh memeningkan kepala para pelajar.
Sebenarnya, kenaikan kos yang sering berlaku semakin membimbangkan, terutamanya bagi pelajar yang bergantung kepada sumber kewangan yang terhad dan minimum. Maknanya, sumber kewangan mereka adalah wang daripada ibu bapa, bantuan khas, pinjaman pendidikan atau biasiswa.
Pendapatan yang terhad kerana hanya daripada satu sumber kewangan yang dapat diterima. Jarang sangat diperoleh daripada dua sumber yang tetap setiap masa. Namun, perbelanjaan yang perlu dikeluarkan agak banyak arahnya, dan lebih risau, jumlah yang besar.
Hasil pemerhatian, terdapat beberapa institusi pengajian yang menyediakan kemudahan pembelajaran dengan bayaran yuran serendah RM600 setahun. Namun, tidak kurang juga institusi dengan bidang pengajian tertentu yang mengenakan yuran mencecah RM100,000 setahun. Itu baru yuran pengajian, belum diambil kira sara hidup selama setahun.
Melihat kepada yuran pengajian yang dikenakan, sudah pasti ramai ibu bapa menjadi gusar dan resah, dalam memastikan anak-anak mereka mendapat ilmu yang diminati. Bagi yang berkemampuan, pasti anaknya akan terus mendaftar. Bagi yang kurang berkemampuan, perlu mencari peluang mendapatkan bantuan kewangan secukupnya agar anak mereka tidak tercicir.
Yuran pengajian akan tetap sama jumlahnya setiap tahun/semester, jarang sangat berlaku kenaikan kepada pelajar sepanjang 3 hingga 4 tahun pengajian. Kos tetap ini dapat disediakan dengan sebaiknya melalui cara-cara tersendiri para ibubapa pelajar. Demi kelangsungan pendidikan, pasti berusaha sampai jaya.
Apa yang lebih merisaukan adalah perbelanjaan yang keluar lebih cepat meliputi belanja harian seperti makan dan minum serta pengangkutan, manakala secara bulanan seperti bil internet/telefon, sewa penginapan serta keperluan pembelajaran yang lain. Sekilas pandang, mungkin jumlah perbelanjaan akan melebihi pendapatan yang diterima.
Penting ditekankan tentang kos yuran dan sara hidup secara lebih khusus kepada pelajar IPT sebagai panduan. Sekiranya timbul masalah, mudah untuk diatasi dengan cekap kerana pelajar telah faham isu ini lebih awal. Kelak dapat mengurangkan tekanan dan membantu pelajar menyelesaikan masalah dengan sewajarnya.
Implikasi keperluan kewangan bagi pendidikan ini tinggi kepada pelajar. Dengan sumber yang terhad, namun sara hidup meningkat, boleh akibatkan masalah kewangan muncul. Ini yang perlu ditangani dengan bijak. Itulah sebabnya kefahaman tentang punca masalah ini berlaku perlu diutamakan oleh mereka.
Sebagai panduan, walaupun pelajar ada menerima sumber kewangan, namun jumlah pendapatan tersebut masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan bulanan. Tidakkah situasi ini akan membuat pelajar merasa kecewa, tertekan dan murung, lantas boleh menjejaskan proses pembelajaran.
Jika berlaku kekurangan sumber kewangan secara mengejut, pelajar mungkin menggunakan jalan cepat dengan menghadkan belanja makanan harian, tindakan ini boleh juga menjejaskan focus mereka di dalam kelas. Mungkin ada acara lain yang lebih efektif untuk dilaksanakan tanpa mengikat perut.
Perkara yang dinyatakan seperti di atas merupakan kesan yang mungkin terjadi dan ada yang telah terjadi kepada pelajar IPT sebelum ini. Jika pelajar tahu lebih awal punca-punca tekanan kewangan disebabkan kos sara hidup, mereka akan lebih bersedia menghadapinya. Barulah pelajar boleh letakkan strategi tertentu bagi mengawal perbelanjaan.
Hakikat yang pelajar harus sentiasa sandarkan, kekurangan sumber kewangan bukan halangan untuk terus belajar di peringkat lebih tinggi. Sikap dan tingkah laku yang positif mampu membawa diri ke arah yang lebih baik, jika konsisten amalannya. Sentiasa ingat di benak sanubari, segala keperluan perlukan wang, namun wang bukanlah segala-galanya.
Tahap celik kewangan dalam kalangan pelajar IPT makin meningkat buat masa ini. Mereka bijak memilih IPT yang mengenakan yuran berpatutan serta lokasi yang sesuai dengan kedudukan kewangan. Situasi begini mencerminkan kejayaan ibubapa dalam membentuk watak anak-anak mereka dengan pengetahuan kewangan.
Walaupun sumber kewangan bagi pelajar IPT adalah penting, namun pengetahuan tentang punca dan solusi kepada sesuatu masalah, tidak boleh dipandang remeh. Ia bukan sahaja melibatkan keupayaan pelajar mengurus diri dan pembelajaran, tetapi persediaan terhadap kemungkinan yang berlaku harus pada tahap yang baik.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.