Michael Learns To Rock kembali gegarkan Malaysia pada November ini

Ahli Genting Rewards mempunyai akses prajualan tiket pada 4 Ogos sebelum jualan am bermula 8 Ogos ini.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2025 – Kumpulan pop rock terkenal dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) bakal kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert utama yang dijadualkan berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 9 November ini.

Konsert bertemakan Michael Learns To Rock Encore All The Hits in Malaysia itu dianjurkan oleh MMIC Entertainment Group dengan kerjasama JS Concert Productions sebagai penganjur bersama.

MLTR yang dianggotai oleh Jascha Richter (vokalis), Mikkel Lentz (gitar) dan Kåre Wanscher (dram), mula mencipta nama sejak ditubuhkan pada 1988 dan terus menambat hati peminat daripada pelbagai generasi di seluruh dunia melalui lagu-lagu hits seperti Take Me To Your Heart, Paint My Love, 25 Minutes, Sleeping Child dan That’s Why (You Go Away).

Dengan rekod lebih 1,000 persembahan pentas di peringkat antarabangsa, jualan lebih 11 juta album dan penstriman mencecah 1.5 bilion, MLTR kekal sebagai antara kumpulan yang paling lama bertahan dalam industri muzik global.

Menurut kenyataan MMIC, Malaysia sentiasa menjadi antara destinasi persembahan pilihan kumpulan itu sejak tiga dekad lalu dan sambutan menggalakkan daripada peminat tempatan mendorong penganjuran konsert kali ini.

Prajualan tiket bagi ahli Genting Rewards bermula pada 4 Ogos jam 12 tengah hari menerusi laman web www.rwgenting.com, manakala jualan umum bermula 8 Ogos jam 12 tengah hari melalui www.etix.my, www.rwgenting.com dan www.trip.com.

Harga tiket adalah seperti berikut (tidak termasuk yuran pemprosesan RM4):

Zon MLTR – RM988

VIP – RM788

PS1 – RM688

PS2 – RM488

PS3 – RM288

PS4 – RM188

Tiket Zon MLTR dan VIP turut menawarkan keistimewaan peminat, termasuk peluang mengambil gambar bersama artis.

Bagi pembeli tiket Zon MLTR (RM988), seramai 10 pemenang bertuah akan berpeluang merakam foto peribadi (3:1) manakala 20 pemenang lain akan menyertai sesi foto berkumpulan (3:5). Pembeli tiket VIP (RM788) pula berpeluang menyertai sesi foto berkumpulan (3:5) melibatkan 20 pemenang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti MMIC Entertainment Group di Facebook dan Instagram atau JS Concert Productions di platform Facebook rasmi mereka.