Warga UM sambut bulan kemerdekaan meriah, penuh bangga

Program ini adalah manifestasi sokongan UM terhadap inisiatif nasional ‘Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang’.

WhatsApp Image 2025-08-02 at 12.22.23 AM

KUALA LUMPUR, 4 OGOS 2025 – Dalam usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan, Universiti Malaya (UM) hari ini telah menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang bertempat di Dewan Tunku Canselor, UM baru-baru ini.

Program yang sarat dengan semangat patriotik ini telah menghimpunkan lebih 5,000 warga universiti, merangkumi barisan pengurusan tertinggi, dekan, pengarah fakulti, staf, pelajar serta warga kampus dan orang awam yang melalui kawasan Universiti Malaya, sebagai lambang perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air.

Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dalam ucapan pelancarannya menyatakan bahawa program ini adalah manifestasi sokongan UM terhadap inisiatif nasional ‘Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang’.

“Sebagai universiti tertua di negara ini, Universiti Malaya memikul tanggungjawab bukan sahaja dalam mencorak minda intelektual tetapi juga dalam memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air,” ujar beliau.

Beliau turut melaungkan seruan penuh semangat, ‘Kibarkan Jalur Gemilang, Biar Seluruh Dunia Tahu, Kita Bangga Menjadi Anak Malaysia!’ sebagai pemangkin semangat kepada seluruh warga kampus untuk mengibarkan bendera kebangsaan di pejabat, kolej kediaman dan kediaman masing-masing sepanjang bulan Ogos dan September.

Sementara itu, Siti Salwa Md Padzil, Yang Menjalankan Fungsi Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, memaklumkan bahawa program ini merupakan simbolik permulaan kepada rangkaian acara sambutan kemerdekaan di kampus, yang bertujuan menyuburkan semangat patriotik dan memperkukuh keharmonian serta perpaduan dalam kalangan warga UM.