Jangan dicampur-adukkan tuntutan berkeluarga dengan ketetapan hukum fiqah

KEHIDUPAN berkeluarga menurut ajaran Islam adalah dibina atas dasar ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan hormat menghormati (rahmah).

Ia sama sekali menolak cara hidup berkeluarga yang mengutamakan maslahah bersifat kebendaan (maddiyyah) dan kepentingan peribadi (ithar).

Islam telah menetapkan hak-hak tertentu ke atas setiap individu dalam sebuah keluarga yang mana hak-hak tersebut bukan sahaja perlu ditunaikan sebagai satu tanggungjawab bahkan menjadi taklifan bersifat syarie yang akan dihisab di hari perhitungan.

Melaksanakan hak-hak tersebut adalah suatu tanggungjawab sementara mengabaikan tuntutan itu dianggap pelanggaran terhadap hukum syarak.

Sebab itulah, setiap pasangan dianjurkan supaya memahami dan menghayati hak-hak individu dalam rumah tangga sebelum memasuki gerbang perkahwinan bagi menjamin tertegaknya sebuah rumah tangga yang harmoni sesuai matlamatnya menurut syariat Islam.

Para fuqaha dengan kelayakan istinbat dalil-dalil al-Quran dan al-Hadith serta keupayaan ijtihad mereka dalam hukum-hakam telah mengambil tanggungjawab mengkaji serta menganalisis dalil-dalil berkait dengan hak-hak setiap individu dalam keluarga Islam.

Mereka juga memaksima upaya akal mereka untuk berijtihad dalam kes-kes yang tidak dinaskan secara jelas dalam al-Quran dan hadis.

Hasilnya, mereka mengabadikan hak-hak dan hukum-hakam keluarga Islam dalam karya mereka masing-masing yang dianggap sebagai ketetapan hukum fiqah dalam bab kekeluargaan Islam.

Apabila berlakunya masalah rumah tangga berkaitan hak-hak dan hukum-hakam keluarga Islam, maka ketetapan hukum fiqah yang ditulis oleh para fuqaha akan menjadi rujukan untuk tujuan menyelesaikan masalah tersebut.

Bagaimanapun, timbul masalah apabila ada pasangan yang mencampuradukkan antara tuntutan kehidupan berkeluarga dalam Islam yang sepatutnya dijadikan pegangan dalam melayari bahtera rumah tangga dengan ketetapan hukum fiqah yang diputuskan oleh para fuqaha.

Campur aduk seperti ini adalah salah dari sudut syarak bahkan ia dikeji.

Ia membawa kesan yang negatif kepada sebuah keluarga Islam juga menjadi antara faktor terbesar kepada keruntuhan atau pembubaran sebuah ikatan rumah tangga.

Ini dibuktikan dengan perakuan mereka yang terlibat dengan kes-kes keluarga Islam di mahkamah syariah khususnya peguam syarei, hakim dan kaunselor bahawa di antara punca kepada keretakan atau pembubaran sebuah rumah tangga Islam ialah mencampuradukkan antara kedua perkara tersebut.

Ketetapan hukum fiqah yang dibawa masuk dalam kehidupan keluarga Islam adalah seperti isteri meminta suami memberi nafkah dengan alasan beri nafkah itu hukumnya wajib, isteri meminta upah menyusukan anak dengan alasan suami wajib membayar upah isteri yang menyusu, isteri enggan atau tidak melakukan kerja-kerja rumah dengan alasan khidmat kepada suami di rumah seperti memasak dan mengemas hukumnya hanyalah sunat, suami memaksa isteri melayannya dengan alasan melayan suami adalah wajib, suami tidak mengizinkan isteri keluar rumah dengan alasan taat kepada suami adalah wajib dan banyak lagi yang bersifat maslahah maddiyyah dan peribadi.

Tindakan sebegini menafikan maksud sebenar kepada kehidupan berkeluarga dalam Islam.

Tidak dapat dibayangkan suasana sebuah keluarga yang seperti ini melalui hari-harinya yang pasti penuh dengan syak wasangka, ketidakpercayaan, hilangnya kasih sayang, luput rasa hormat kepada pasangan dan sebagainya.

Oleh itu, setiap individu dalam keluarga Islam haruslah mengetahui hak-hak yang perlu mereka tunaikan kepada pasangannya dan mengutamakan tuntutan sebenar kepada sebuah kehidupan rumah tangga dalam Islam iaitu sakinah, mawaddah dan rahmah.

Dalam masa yang sama, mereka tidak mencampuradukkan tuntutan tersebut dengan ketetapan hukum fiqah sebagaimana yang telah diputuskan oleh para fuqaha.

Ini bermakna, seorang isteri haruslah mengutamakan keharmonian dan kasih sayang dalam rumahtangga dan tidak perlu meminta suaminya memberikan nafkah atau upah menyusu beralaskan hukum fiqah.

Mereka juga mesti menumpahkan khidmat kepada suami dengan penuh ikhlas dan kasih sayang tanpa mengira hukumnya.

Begitu juga suami yang perlu menjaga hubungan baik dengan pasangannya tanpa menjadikan hukum fiqah sebagai alasan untuk dilayani oleh isteri atau untuk mengugut isteri supaya tidak keluar rumah atau melakukan sesuatu perkara yang tidak disukainya termasuk poligami dengan alas an sunah Nabi SAW.

Ketetapan hukum fiqah berkait keluarga Islam yang ditulis dalam karya para fuqaha digunapakai untuk meleraikan perbalahan dan menyuraikan permusuhan di mahkamah sahaja dan bukan untuk diamalkan dalam kehidupan berkeluarga, bahkan tidak boleh dibawa masuk ke dalam kehidupan berumah tangga sama sekali.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Malaya Newsroom.