IR4.0 perlu langkah lebih berani

Robotik, AI dan IoT memainkan peranan kritikal dalam mempertingkatkan kecekapan operasi dan produktiviti keseluruhan.

Feature Image

INDUSTRI pembuatan di Malaysia kini berada dalam fasa transformasi penting apabila Revolusi Industri Keempat (IR4.0) muncul sebagai pemacu utama daya saing global.

Dalam landskap ekonomi moden, teknologi seperti robotik, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) memainkan peranan kritikal dalam mempertingkatkan kecekapan operasi dan produktiviti keseluruhan.

Namun, persoalan besar yang perlu diteliti ialah sejauh mana industri negara benar-benar bersedia untuk menyambut gelombang perubahan ini?

Malaysia Masih di Peringkat Awal

Statistik terkini menunjukkan hanya sekitar 10 peratus syarikat pembuatan di Malaysia telah mengaplikasikan teknologi IR4.0 secara aktif.

Sebahagian besar daripadanya terdiri daripada perusahaan besar, manakala majoriti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih bergantung kepada proses pengeluaran konvensional dan belum memulakan langkah transformasi digital secara menyeluruh.

Situasi ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura, yang kini mendahului rantau ini dari segi kesiapsiagaan teknologi.

Negara tersebut melabur besar dalam pembangunan tenaga kerja digital dan membina ekosistem inovasi yang kukuh melalui dasar menyeluruh dan geran sokongan.

Thailand turut menunjukkan kemajuan ketara menerusi penggunaan automasi dan kilang pintar, khususnya dalam syarikat multinasional.

IR4.0 Bukan Sekadar Perubahan Teknologi

Transformasi IR4.0 bukan sekadar bermaksud pembelian mesin pintar atau pemasangan perisian moden. Ia menuntut perubahan holistik dalam tiga komponen utama yang saling melengkapi iaitu tenaga kerja (people), proses kerja (process) dan teknologi (technology).

People – Tenaga Kerja yang Bersedia

Tenaga kerja masa hadapan memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran teknikal. Mereka harus mahir dalam analisis data, berfikiran kritikal dan mampu menyesuaikan diri dengan teknologi yang berubah dengan pantas.

Justeru, pelaburan dalam latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) adalah keperluan yang tidak boleh dikompromi.

Process – Proses Kerja

Syarikat perlu beralih daripada proses manual kepada aliran kerja yang dipacu oleh data. Penggunaan sensor pintar untuk mengesan kerosakan lebih awal dan sistem automasi yang membuat keputusan secara autonomi dapat meningkatkan kelancaran pengeluaran dan mengurangkan pembaziran.

Technologi – Pemangkin Transformasi

Teknologi seperti AI, IoT, pencetakan 3D dan analitik masa nyata memberi kelebihan dari segi kecekapan, penyesuaian produk dan pengurangan kos.

Namun, kejayaan penerapan teknologi ini bergantung kepada budaya inovasi, kepimpinan yang progresif, dan kesediaan untuk berubah.

Bergerak Segera Atau Terus Ketinggalan

Malaysia mempunyai potensi besar dalam sektor pembuatan, namun masa untuk bertindak adalah sekarang. IR4.0 harus dilihat sebagai peluang strategik, bukan beban. Ia membuka ruang untuk penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, penambahbaikan produktiviti dan pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi di rantau ini.

Transformasi ini bukan soal menggantikan manusia dengan mesin, tetapi soal bagaimana manusia dan teknologi dapat berganding bahu secara pintar untuk menghasilkan keputusan yang lebih cekap dan lestari.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.