Menyampaikan mesej baik dan bermanfaat, menulis skrip bukan semudah disangka

Penulisan skrip perlu ada pengetahuan dan imaginasi yang tinggi dalam menterjemahkan idea ke skrip.

Feature Image

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menonton wayang dipawagam bersama rakan. Agak lama juga tak keluar menonton maka perasaan gembira ternyata nampak diraut wajah masing-masing. Seperti biasa selepas tamat menonton, kami sempat singgah untuk minum petang sambil berbual seketika dan salah satu topiknya sudah tentu adalah berkisarkan filem yang ditonton sebentar tadi.

Perbualan agak rancak dengan ulasan dan pandangan peribadi dalam segenap aspek seperti kehebatan jalan cerita, keberkesanan watak, sentuhan sinematografi, penghayatan dialog, seni pengarahan dan aspek suntingan serta skor lagu yang digunakan.

Ironinya kesemua yang diperbincangkan jelas dapat menyantuni kehebatan tenaga kerja tertentu disebalik tabir filem berkenaan. Di antara kami dengan mudah dapat menamakan pengarah, penerbit dan pencipta atau penyanyi lagu latar, malah dengan mudah juga menamakan barisan pelakon dari watak utama hinggalah watak pembantu beserta perbanding tahap lakonan mereka dengan filem lain yang dilakonkan sebelum ini.

Namun yang tidak berjaya diungkap dengan cepat ialah penulis skrip. Agak mengambil masa juga untuk menamakannya. Begitulah realitinya jika kita ambil sebagai pandangan umum, ramai yang tidak mudah untuk mengingati penulis skrip berbanding peranan disebalik tabir yang lain dan ini bukanlah perkara yang pelik namun begitulah keadaannya.

Mungkin kenyataan ini terkecuali jika kita memperkatakan tentang filem atau drama adaptasi novel kerana rata-rata penulis novel sememangnya popular dengan kualiti hasil kerjanya dan mempunyai sejarah yang panjang dalam penulisan novel.

Olahan karya yang terpilih yang berjaya menambat hati pembaca telah berjaya untuk dipindahkan ke layar skrin. Walaupun kemungkinan untuk dikenali tidak seperti pelakon atau pengarah, namun peranan penulis skrip adalah sangat penting dalam sesebuah produksi. Idea tanpa luahan di atas kertas hanya akan bermain difikiran tanpa dapat dilunaskan kepada orang lain.

Oleh itu, bukan perkara mudah apabila memperkatakan tentang penulisan skrip. Perlu ada pengetahuan dan imaginasi yang tinggi dalam menterjemahkan idea ke skrip kerana pembentukan pemahaman khalayak adalah suatu perkara yang rumit untuk dilakukan.

Justeru, tidak salah jika dikatakan bahawa penulisan skrip merupakan suatu perjuang di antara pemikiran penulis dan kebijaksanaan khalayak penonton. Di sinilah cabaran bermula iaitu menggunakan peluang untuk mencipta ruang bagi memberikan inspirasi, menyemai nilai kebaikan, dan mendidik penonton melalui skrip yang tercipta.

Dalam lanskap penulisan skrip, cerminan fikiran dan perasaan adalah seni bercerita yang unik kerana melaluinya kita dapat berkongsi garapan idea yang mampu untuk membawakan perubahan yang membawa nilai kebaikan jika dituntuni sebaiknya.

Dalam konteks mendidik melalui penulisan, penulis skrip dirasakan berupaya untuk menyemarakkan dan mempromosikan gaya hidup yang bermanfaat kepada penonton. Ini merupakan tanggungjawab yang besar dalam memastikan hasil karya membawa kebaikan dan bukannya kemudaratan.

Mudah untuk membicarakan namun sukar untuk melakukan terutamanya apabila tujuan utama adalah untuk memberi pengetahuan dan pengalaman bersesuaian dengan kehendak masyarakat semasa.

Penulis bukan sahaja memerlukan idea yang bernas malah mampu untuk mengungkap cerita yang menarik yang dirasakan bersesuaian denga isi penyampaian. Yang penting perlu ada struktur yang sempurna dalam menyusun naratif cerita agar terdapat jalur kesinambungan pemahaman. Secara umum boleh dijelaskan adalah melalui tiga peringkat asas iaitu pemulaan, pertengahan dan pengakhiran cerita.

Dengan mengambil contoh filem atau drama, struktur awal kebiasaannya akan bermula dengan pengenalan watak secara nyata. Watak akan berperanan untuk menggerakkan persoalan yang mengungkap konflik atau membina permasalahan bersandarkan tema yang bakal dibawa kepada penonton.

Penonton akan mula mengukuhkan keyakinan terhadap cerita melalui watak yang digerakkan secara lengkap dengan dialog, aksi dan juga tanggapan perjalanan cerita seterusnya. Ini merupakan waktu yang penting dalam menarik minat dan keterujaan kepada penonton untuk terus kekal dalam mengharungi pengalaman melalui watak dan babak yang dipaparkan.

Pembentukan masalah di peringkat awal akan semakin dirasa berkembang dan meniti kemuncak konflik yang semakin menekan merupakan pengisian di bahagian pertengahan jalan cerita. Di peringkat ini semua persoalan akan terlontar dengan momentum yang hebat.

Penglibatan watak akan mendepani pelbagai cabaran berlandaskan permasalahan yang diutarakan. Kebiasaannya melibatkan emosi yang pelbagai agar penonton akan turut merasai pengalaman melalui watak. Penonton akan secara sedar mengupas sendiri mesej yang cuba dibawa melalui babak yang dipertontonkan.

Peringkat akhir pula ialah disudut peleraian permasalahan. Tidak mustahil penonton akan merasai perubahan pada watak dengan cara yang agak drastik berbanding sebelumnya. Ini kerana rumusan mesej secara keseluruhan akan dijelaskan melalui watak yang terlibat dan situasi akan kembali tenang namun masih berlangsung sehingga penjelasan permasalahan dimuktamatkan.

Mesej yang dibawa akan terungkap satu persatu dan kefahaman akan menyelubungi penonton. Seperti contoh, unsur pengajaran melalui pengalaman watak dititipkan sempurna bagi meninggalkan kesan atau impak kepada masyarakat.

Nampak mudah untuk diperkatakan namun rangkuman idea, pengolakan cerita dan sudut imaginasi serta tanggungjawab untuk menyampaikan mesej yang baik dan bermanfaat menerusi penulisan skrip bukanlah perkara yang ringan. Skrip menuntut segala ruang untuk direalisasikan.

Skrip harus mengetengahkan tema secara berkesan, mencapai objektif yang jelas, naratif yang berwibawa, mewakili pengalaman watak, susunan plot yang kreatif, keindahan dialog, insiden menarik dan gaya yang menghiburkan serta merangsang masyarakat untuk meneruskan tontonan.

Tatkala jejari menari pantas disetiap sudut papan kekunci untuk menulis skrip, perlu dilontarkan persoalan pada diri iaitu apakah yang mahu kita kongsikan kepada masyarakat? Hal yang sama juga difikir dalam mana-mana format atau genre persembahan, tak kira skrip filem, drama, dokumentari, majalah, program hiburan dan yang seangkatan dengannya yang bakal menerjah skrin untuk ditawarkan kepada penonton.

Skrip merupakan medium pemikiran dan kebijaksanaan yang diangkat sebagai medium perantara yang menghubungkan penulis dengan masyarakat melalui persembahan kreatif. Asas ini adalah kekuatan yang ada pada penulis untuk menggerakkan masyarakat melalui keindahan yang disulam dalam skrip yang terhasil. Penulis perlu serlahkan sisi yang membina pandangan melalui lontaran idea yang segar yang dapat menyentuh jiwa dan emosi masyarakat dalam memahami mesej yang dibawa.

Melalui drama atau filem misalnya, menulislah untuk mencipta suatu gagasan citra yang seimbang dalam kehidupan masyarakat yang mampu menterjemahkan permasalahan yang wujud dan penyelesaian terbaik melalui kewajaran tindakan dan pilihan.

Hasilkanlah sesuatu yang mampu mengunggah imaginasi khalayak untuk berfikir secara kritis dalam menangani kehidupan yang semakin mencabar dewasa ini. Jadikan ini platform terbaik untuk memperkasakan mesej yang baik dan bermanfaat kepada khalayak secara konsisten dalam setiap hasil karya yang diilhamkan.

Menulislah dengan tujuan memupuk nilai ilmu dalam mendidik masyarakat melalui mesej pengajaran dan nilai-nilai kemanusiaan yang dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat berilmu dan berakhlak.

Teringat filem Memoir seorang Guru dan filem Babah yang boleh dikatakan menggarap mesej batas kasih sayang dalam ruang mendidik secara kritis, penuh makna, menyentuh hati, membina jiwa, melangkaui batas intelektual dan menyuntik inspirasi masyarakat.