Kepentingan ekosistem kewangan hijau dan penstrukturan ekonomi Malaysia

Ekosistem kewangan hijau ini didefinasikan sebagai sebarang aktiviti kewangan berstruktur meliputi produk atau perkhidmatan.

Poster Terkini


MUNGKIN ramai yang agak bosan tatkala kini banyak perkataan ditambah dengan perkataan hijau dihujungnya seperti guna tenaga hijau, sistem rantaian bekalan hijau dan lain-lain lagi.

Ramai juga yang mengatakan perkataan-perkataan yang membawa konsep hijau atau mesra alam ini adalah retorik semata.

Kini timbul ekosistem kewangan hijau, menambahkan lagi penggunaan perkataan hijau.

Ekosistem kewangan hijau ini didefinasikan sebagai sebarang aktiviti kewangan berstruktur meliputi produk atau perkhidmatan, yang dicipta untuk memastikan hasil alam sekitar yang lebih baik.

Ia termasuk dalam pelbagai skim pinjaman, mekanisme hutang dan pelaburan yang digunakan untuk menggalakkan pembangunan projek hijau atau meminimumkan kesan ke atas iklim projek yang lebih kerap. Perkara ini juga boleh melibatkan gabungan kedua-duanya.

Di Malaysia ekosistem pembiayaan hijau memainkan peranan penting dalam menyokong beberapa matlamat pengstrukturan ekonominya ke arah pembangunan ekonomi negara yang lebih mampan.

Ekosistem kewangan ini pada masa hadapan akan menjadi penentu kepada pertimbangan perdagangan antarabangsa.

Amalan yang menyokong ekosistem kewangan hijau ini akan mempengaruhi keupayaan syarikat-syarikat pengeluar negara untuk bekerjasama dengan organisasi sektor awam dan swasta di peringkat global dalam usaha untuk menyelaraskan sistem kewangan antarabangsa dengan agenda pembangunan mampan negara.

Beberapa aktiviti amalan baik melibatkan pembaharuan dalam industri yang melibatkan alam sekitar yang menjadi tumpuan negara-negara kuasa besar ekonomi dunia.

Untuk membolehkan produk Malaysia memasuki pasaran global dengan lebih mudah, negara kita terlebih dahulu perlu merekayasa semula rangka kerja kawal selia ekosistem kewangan dan perbankan agar pinjaman hijau menjadi kepatuhan utama contohnya dan membantu mengemudi perancangan sektor awam ke arah yang lebih mesra alam.

Jika kita teliti dengan lebih dekat kewangan hijau atau kewangan mampan, ia merupakan jenis aktiviti kewangan yang menyokong peralihan ekonomi negara kepada ekonomi rendah karbon dan mampan, sambil menangani cabaran global yang kita hadapi hari ini, termasuklah perubahan iklim dan risiko alam sekitar serta kemampanan yang muncul.

Pembiayaan hijau melibatkan projek pembiayaan dan inisiatif yang mempunyai kesan positif alam sekitar seperti mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan tenaga boleh diperbaharui.

Sebaliknya, kewangan mampan menyepadukan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam keputusan pelaburan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang, hasil sosial dan kemampanan alam sekitar.

Kedua-dua kewangan hijau dan kewangan mampan bertujuan untuk memacu perubahan positif dengan menggerakkan modal ke arah aktiviti yang menggalakkan kemampanan dan mengurangkan kesan negatif alam sekitar.

Ini merupakan tumpuan negara-negara kuasa besar ekonomi hari ini. Mereka mungkin meletakkan satu piawaian untuk berdagang dengan negara yang hanya melaksanakan dasar ekosistem kewangan hijau dengan terancang dan bukan sekadar retorik.

Kewangan hijau menawarkan pelbagai faedah, bukan sahaja pemeliharaan alam sekitar negara dan global terjaga bahkan ekosistem ini juga membangunkan sistem pengurusan risiko yang dipertingkat, peluang pasaran, kesan sosial dan tadbir urus baik, permintaan pelabur dan sokongan kawal selia.

Dengan menyepadukan prinsip kemampanan ke dalam pembuatan keputusan kewangan, kewangan hijau menyumbang kepada ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Ia menyokong inisiatif yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon, menggalakkan tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan sumber dan memulihara biodiversiti.

Dengan mengarahkan modal kepada projek mesra alam, kewangan hijau membantu memerangi perubahan iklim dan melindungi ekosistem.

Bukan itu sahaja, sebenarnya pada tahun 2023, Bank Negara Malaysia telah mula menggiatkan usahanya untuk menetapkan tonggak utama yang akan mempertingkatkan daya tahan iklim dan menguruskan risiko yang berkaitan dengan iklim dalam sektor kewangan negara.

Usaha awal Bank Negara Malaysia ini harus dipuji dan dipertingkatkan bertujuan untuk menyokong institusi kewangan dan sektor sebenar untuk beralih kepada ekonomi yang lebih lestari dan mampan.

Tidak terhenti disitu, Bank Negara Malaysia kekal komited dalam memastikan inisiatifnya bersama sektor kewangan adalah selaras dengan dasar dan strategi penstrukturan ekonomi negara.

Sehingga kini Bank Negara Malaysia terus berusaha memastikan ekosistem kewangan hijau negara setanding dengan tahap piawaian antarabangsa.

Langkah untuk menghijaukan operasi institusi kewangan dalam negara kini menampakkan kemajuan. Hal ini disokong oleh usaha berterusan kerajaan yang menarik kumpulan pelabur antarabangsa dari industri yang tepat dalam membangunkan keupayaan dan kepakaran dalaman dari segi ekonomi yang lestari dan mampan.

Tindakan begini perlu disambut dengan baik oleh semua pihak agar ekosistem kewangan hijau digerakkan secara meluas demi mencipta masa depan negara yang lebih baik.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.