Mahasiswa UM jayakan program komuniti di Felda Bukit Wa Ha
Program anjuran Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah dengan kerjasama Parlimen Kota Tinggi itu melibatkan lebih 10 keluarga angkat serta penyertaan pelajar.
KUALA LUMPUR, 5 April 2026 — Seramai 30 mahasiswa Universiti Malaya (UM) menyertai Projek Bakti Kurshiah yang berlangsung selama tiga hari di Felda Bukit Wa Ha, Johor baru-baru ini, dalam usaha memperkasa komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan kesukarelawanan.
Program anjuran Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah dengan kerjasama Parlimen Kota Tinggi itu melibatkan lebih 10 keluarga angkat serta penyertaan pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Easter dan murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Wa Ha.
Pelbagai pengisian diadakan termasuk program bersama pelajar sekolah, gotong-royong, sukan rakyat, bengkel keusahawanan serta malam kebudayaan “Ritma Warisan” yang mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti.

Antara aktiviti utama ialah Program B.E.B.A.S: Bersama Elak Buli Agar Selamat yang memberi pendedahan kepada murid sekolah rendah mengenai bahaya buli serta kepentingan empati dan tanggungjawab sosial.
Selain itu, slot Hala Tuju SPM turut diadakan bagi membantu pelajar Tingkatan 5 memahami pilihan pendidikan selepas peperiksaan, termasuk laluan Matrikulasi, Asasi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta diploma.
Pengarah Projek, Anieq Fikri Adnan berkata program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah menjadi platform membentuk sahsiah, kepimpinan dan nilai empati dalam kalangan mahasiswa.
“Kami mahu mahasiswa lebih memahami realiti masyarakat dan menyumbang melalui usaha kecil yang memberi impak besar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Bukit Wa Ha, Yahya Abdullah menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkan kehadiran mahasiswa sebagai suntikan semangat baharu kepada komuniti setempat.

Majlis penutup program disempurnakan oleh Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Prof Madya Dr Roshidah Hassan yang berharap jalinan hubungan antara mahasiswa dan komuniti dapat diteruskan pada masa hadapan.
Program itu turut mendapat sokongan UMCares melalui Geran Inisiatif Komuniti Kolej Kediaman Universiti Malaya (UM-IKom), yang bertujuan menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti komuniti di seluruh negara.
Penganjur merancang untuk meneruskan inisiatif tersebut pada masa akan datang dengan memperluaskan pelaksanaannya ke negeri lain bagi memberi impak lebih menyeluruh.
