Pelajar pergigian UM santuni golongan asnaf, B40 di Nilai

Program Khatam al-Quran dan Khatan Jama’ie 2025 Negeri Sembilan berlangsung di Masjid Al-Azim, Taman Semarak, Nilai.

Feature Image (5)

Oleh: MOHD AMIRUL FAHMI CHE MOHD FADZILAH, AZWATEE AB AZIZ DAN MUHAMMAD HUSAINI AB AZIZ

KUALA LUMPUR, 3 Januari 2026 – Pelajar pergigian Universiti Malaya (UM) menyantuni golongan asnaf dan komuniti B40 menerusi Program Khatam al-Quran dan Khatan Jama’ie 2025 Negeri Sembilan yang berlangsung di Masjid Al-Azim, Taman Semarak di Nilai, Negeri Sembilan pada 20 Disember lalu.

Program itu menyaksikan penglibatan aktif Persatuan Pelajar Islam Pergigian UM (PPIPUM) bersama penganjur utama Persatuan Amal Bakti Negeri Sembilan dengan kerjasama Masjid Al-Azim Taman Semarak 2, PERKIM cawangan Nilai, JMB Taman Semarak 2 serta pasukan Sunathon University of Cyberjaya.

Menerusi program berkenaan, pelajar pergigian Islam UM memberikan pendidikan kesihatan mulut kepada komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kebersihan mulut, pencegahan penyakit gigi dan gusi serta amalan kesihatan oral yang betul.

Inisiatif itu turut melibatkan penyediaan rawatan pergigian percuma melalui program Outpost Dentist for Community Service (ODOCS) di bawah Jabatan Restoratif, Fakulti Pergigian UM menggunakan Bas Klinik Pergigian Bergerak universiti berkenaan.

Seramai 40 pesakit daripada golongan asnaf dan B40 menerima rawatan termasuk cabutan gigi, penskaleran dan tampalan yang disampaikan oleh pensyarah Fakulti Pergigian UM.

Bas Klinik Pergigian Bergerak UM merupakan hasil sumbangan bersama Wakaf Selangor, Association of Islamic Banking and Financial Institution Malaysia (AIBIM), Bank Muamalat, Yayasan Wakaf serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Program berkenaan turut mencatat kehadiran hampir 200 peserta dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan, antaranya khatan jama’ie melibatkan 50 kanak-kanak golongan asnaf, program khatam al-Quran, pemeriksaan kesihatan serta pendidikan kesihatan pergigian.

Pengerusi Masjid Al-Azim, Haji Md Fakaruddin Ab Rahman berkata sambutan menggalakkan itu menunjukkan program berteraskan kebajikan dan kesihatan amat diperlukan oleh masyarakat setempat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Amal Bakti Negeri Sembilan, Puan Kalsom Abu Bakar merakamkan penghargaan terhadap komitmen pelajar pergigian UM dan berharap kerjasama seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.

Seramai 23 pelajar pergigian Islam UM terlibat dalam program tersebut yang turut dibimbing oleh pensyarah Fakulti Pergigian UM sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemahiran klinikal, komunikasi dan profesionalisme mahasiswa.

* Dr Mohd Amirul Fahmi Che Mohd Fadzilah, Profesor Madya Dr Azwatee Ab Aziz dan Dr Muhammad Husaini Ab Aziz merupakan pensyarah di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya.