UiTM Kampus Rembau perkukuh ekosistem AI berteraskan nilai kemanusiaan

UiTM Kampus Rembau melalui Fakulti Pengurusan Perniagaan menganjurkan program AI For Professional bagi memperkukuh kemahiran mahasiswa menerusi pendekatan AI berpusatkan manusia.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 5 Januari 2026 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau terus memperkukuh peranannya dalam membina ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang berteraskan nilai kemanusiaan selaras dengan keperluan landskap pekerjaan yang semakin berubah dan dinamik.

UiTM Kampus Rembau dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sebagai institusi pendidikan tinggi yang melahirkan graduan untuk memenuhi keperluan industri, universiti itu tidak hanya menumpukan aspek automasi semata-mata bagi meningkatkan kecekapan jangka pendek, sebaliknya memberi penekanan kepada pembangunan bakat manusia secara menyeluruh.

Menurut kenyataan itu, integrasi AI dalam pendidikan tinggi perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengekalkan sentuhan kemanusiaan yang menjadi teras kepada kejayaan pelajar, khususnya dalam usaha memanusiakan penggunaan teknologi berkenaan.

Sehubungan itu, UiTM Kampus Rembau melalui Fakulti Pengurusan Perniagaan menganjurkan program AI For Professional bagi memperkukuh kemahiran mahasiswa menerusi pendekatan AI berpusatkan manusia.

“Pendekatan ini menekankan bahawa pelajar bukan sekadar data, sebaliknya individu yang mempunyai keperluan, keutamaan dan emosi tersendiri, justeru elemen kemanusiaan amat penting dalam aplikasi AI dalam pendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.

Program berkenaan digerakkan berasaskan tiga prinsip utama iaitu empati, ketelusan dan akauntabiliti. Prinsip empati menekankan keupayaan AI memahami emosi serta cabaran pelajar dan bertindak balas secara menyokong, manakala ketelusan memastikan pelajar dimaklumkan secara terbuka mengenai operasi sistem AI dan pengurusan data peribadi mereka.

Akauntabiliti pula merujuk kepada penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang diyakini serta berkesan.

UiTM Kampus Rembau turut menegaskan kepentingan pembelajaran berterusan dalam melahirkan graduan yang bersedia menghadapi perubahan pesat dunia pekerjaan, selain membudayakan pembangunan diri selari dengan penerimaan teknologi baharu.

Dalam pada itu, Fakulti Pengurusan Perniagaan sebagai penganjur program akan memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran baharu dalam kalangan mahasiswa, termasuk mewujudkan pendekatan ganjaran berasaskan kemahiran sebagai persediaan menghadapi keperluan industri pada masa hadapan.

Program sehari itu dijayakan dengan kerjasama persatuan pelajar D’BANKERS serta penglibatan pemain industri seperti syarikat MEREKA yang berkongsi kepakaran dan pengalaman bagi meningkatkan kefahaman serta keyakinan terhadap penggunaan AI.

Menurut kenyataan itu, pengekalan peranan manusia dalam kitaran penggunaan AI penting bagi membina kepercayaan, meningkatkan produktiviti dan memastikan teknologi berkenaan menjadi pemangkin pertumbuhan mampan, bukannya menggantikan bakat manusia.

“Dengan mengekalkan mahasiswa sebagai teras penerimaan kemajuan AI, teknologi ini berpotensi membentuk semula pembangunan bakat dan budaya organisasi ke arah masa depan yang lebih inklusif dan berdaya saing,” menurut kenyataan itu.