Mahasiswa perlu matang dalam berpolitik, elak provokasi murahan
Tindakan sekumpulan mahasiswa membakar karikatur Perdana Menteri semasa demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0 telah menimbulkan perdebatan hangat.

KEBEBASAN bersuara ialah asas kewujudan demokrasi dan ia dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Namun, kebebasan ini punya batasan dalam perundangan dan perlu disalurkan di jalan yang betul.
Tindakan sekumpulan mahasiswa membakar karikatur pemimpin negara semasa demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0 telah menimbulkan perdebatan hangat tentang tahap kematangan berpolitik dalam kalangan mahasiswa.
Artikel ini mengupas insiden tersebut daripada perspektif etika politik, kematangan demokrasi dan impak sosial serta mencadangkan pendekatan yang lebih rasional dalam menyuarakan idealisme politik tanpa membabitkan provokasi murahan.
Pendahuluan
Gerakan mahasiswa pada tanggapan masyarakat merupakan ejen perubahan sosial dan politik di negara kita. Namun, keberkesanan gerakan ini sangat bersandarkan kepada tahap kematangan, adab dan strategi yang dirancang.
Tindakan ekstrem membakar karikatur Perdana Menteri semasa demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0 bukan sahaja menimbulkan kontroversi tetapi juga menunjukkan corak aktivisme yang penuh provokasi dan emosi.
Latar Belakang Demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0
Pada 21 hingga 22 Jun 2025, berlangsungnya sebuah demonstrasi di Kota Kinabalu hasil kesinambungan daripada protes lampau terhadap ketirisan membabitkan pentadbiran negeri dan agensi awam dan isu rasuah.
Suara Mahasiswa UMS yang merupakan penganjur, menggesa kerajaan agar bersifat telus dalam tadbir urus dana awam dan infrastruktur kampus. Namun, kemuncak demonstrasi menyaksikan tindakan provokatif iaitu pembakaran karikatur Perdana Menteri oleh segelintir mahasiswa.
Provokasi sebagai strategi politik yang tidak matang
Tindakan ekstrem membakar imej pemimpin negara tidak memperlihatkan daya intelektual mahasiswa. Tindakan ekstrem ini membuka ruang kepada persepsi bahawa perjuangan mereka hanya berlandaskan emosi dan provokasi murahan.
Seperti dinyatakan oleh pendukung demokrasi deliberatif seperti Habermas (1996), dialog terbuka dan hujah rasional adalah asas kepada sebuah perubahan sosial yang berkesan, bukan simbolisme melampau yang mencetuskan api kebencian.
Tindakan ini mencetus kebimbangan kerana mampu mengundang persepsi negatif daripada masyarakat dan pemimpin politik, termasuk kenyataan mengutuk daripada PKR Sabah, AMK dan NGO sivil yang sebelum ini menyokong agenda antirasuah.
Implikasi terhadap Gerakan Mahasiswa
Tindakan ekstrem ini bukan hanya memberi kesan jangka pendek, malah akan memberikan kesan yang berpanjangan terhadap kredibiliti dan integriti gerakan mahasiswa.
Antaranya ialah kehilangan fokus rakyat. Aksi ekstrem yang melampaui batas akan mengakibatkan mesej utama demonstrasi iaitu anti-rasuah tenggelam dalam persepsi masyarakat.
Kedua ialah membuka ruang kepada tindakan undang-undang. Mahasiswa bakal berdepan dengan risiko hukuman sekiranya disabitkan dengan Akta Hasutan.
Ketiga, keruntuhan persepsi institusi pendidikan. Mahasiswa sepatutnya dilahirkan membawa pemikiran intelektual, kekayaan idealisme dan lantang dalam hujah, bukan tindakan bersifat agresif mengikut emosi dan hawa nafsu.
Kejanggalan ini mampu memberi implikasi terhadap integriti institusi pengajian tinggi.
Mendidik Mahasiswa Menjadi Aktor Politik Berhemah
Mahasiswa merupakan ejen perubahan sosial dan penglibatan mereka dalam kancah politik tidak wajar dinafikan. Namun, ia mesti dipandu dengan keilmuan, hikmah dan strategi.
Institusi pengajian tinggi dan NGO harus memainkan peranan dalam memupuk aktivisme yang matang dan strategik, termasuk penambah baikkan silibus Pendidikan sivik dan undang-undang bagi memahami had dan hak dalam kebebasan bersuara.
Kedua, pemerkasaan pengucapan awam seperti debat dan forum sebagai mekanisme bagi menyuarakan pandangan secara rasional. Keterbukaan pemimpin untuk berdialog bersama mahasiswa sebagai medium jalinan hubungan dua hala yang konstruktif.
Kesimpulan
Tindakan membakar karikatur Perdana Menteri menunjukkan kecenderungan sebahagian mahasiswa untuk menggunakan provokasi murahan sebagai medium ekspresi.
Ini bukan sahaja mencemar imej perjuangan mereka, malah menjejaskan persepsi masyarakat terhadap potensi sebenar mahasiswa sebagai pemimpin masa depan.
Justeru, sudah tiba masanya aktivisme kampus dipandu oleh kematangan politik, etika komunikasi dan komitmen terhadap wacana yang sihat.
Mahasiswa mesti belajar bahawa dalam demokrasi, kekuatan bukan terletak pada emosi dan provokasi, tetapi pada hujah dan prinsip.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.