DKSH Bahan Prestasi lancar Pusat Inovasi dinaik taraf di Petaling Jaya

Pusat Inovasi ini dilengkapi dengan teknologi aplikasi terkini untuk pembangunan produk yang meningkatkan ciri sensori, kestabilan, jangka hayat serta prestasi fungsi produk.

Feature Image (3)

PETALING JAYA, 06 Ogos 2025 – DKSH Unit Perniagaan Bahan Prestasi hari ini melancarkan Pusat Inovasi yang dinaik taraf di Petaling Jaya, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan kepada industri makanan dan minuman serta penjagaan diri di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

DKSH dalam kenyataan hari ini memaklumkan kemudahan berteknologi tinggi itu menyediakan makmal khusus bagi aplikasi makanan manis dan berperisa serta produk kosmetik dan penjagaan diri, sejajar dengan komitmennya untuk menawarkan penyelesaian formulasi canggih dan tersuai kepada rakan niaga.

“Pusat Inovasi ini dilengkapi dengan teknologi aplikasi terkini untuk pembangunan produk yang meningkatkan ciri sensori, kestabilan, jangka hayat serta prestasi fungsi produk,” menurut kenyataan itu.

Makmal makanan dan minuman di pusat berkenaan menawarkan keupayaan dalam pencampuran ramuan, pembangunan prototaip dalam pelbagai format akhir dan pengoptimuman proses bagi mempercepatkan tempoh pembangunan dan pemasaran produk.

Sementara itu, makmal penjagaan diri menyediakan kepakaran dalam pelbagai aplikasi seperti penjagaan kulit, rambut, badan, mulut, kosmetik berwarna dan penjagaan rumah, dengan sokongan peralatan khusus bagi penilaian tekstur, kestabilan dan prestasi aplikasi.

Pengurus Besar Bahan Prestasi DKSH Malaysia dan Singapura, Kok Wei Goh berkata, pelaburan dalam kemudahan tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian tempatan berimpak tinggi bagi pelanggan.

“Pusat ini bukan sahaja memperluas keupayaan formulasi dan aplikasi kami, tetapi juga memperkukuh potensi penciptaan bersama pelanggan bagi membolehkan inovasi yang lebih pantas, bijak dan berkesan,” katanya.

Naib Presiden Global Bahan Ramuan Makanan dan Minuman DKSH, Cesar Saez pula berkata pusat itu akan meningkatkan kerjasama dalam pembangunan inovasi makanan berasaskan cita rasa tempatan dan serantau.

Sementara itu, Naib Presiden Industri Penjagaan Diri Global DKSH, Michelle Delac berkata, pusat berkenaan membolehkan rakan niaga menghasilkan penyelesaian penjagaan diri berprestasi tinggi secara lebih cekap dan efektif.

Pusat Inovasi DKSH di Petaling Jaya merupakan sebahagian daripada rangkaian global 58 Pusat Inovasi DKSH di seluruh dunia yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti, kecekapan dan inovasi mampan.