Penentuan syurga dan neraka hak mutlak Allah, jangan kaitkan dengan politik
Dr Zulkifli Hasan menegaskan sokongan politik bukan ukuran memperoleh keredaan Allah SWT dan menyeru masyarakat mengamalkan politik matang berteraskan keadilan.
Zulkifli Hasan menegaskan sokongan politik bukan ukuran memperoleh keredaan Allah SWT dan menyeru masyarakat mengamalkan politik matang berteraskan keadilan.
KUALA LUMPUR, 6 September 2026 – Perbezaan sokongan politik tidak seharusnya membawa kepada sikap menghukum atau merendahkan pihak lain, apatah lagi mengaitkan keselamatan akhirat dengan keahlian atau sokongan kepada mana-mana organisasi politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penentuan syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah SWT serta tidak boleh dijadikan jaminan oleh mana-mana individu, pemimpin atau organisasi politik.
Beliau berkata, sokongan kepada mana-mana organisasi politik bukan ukuran untuk memperoleh keredaan Allah SWT, sebaliknya keimanan, ketakwaan dan amalan soleh berlandaskan al-Quran serta al-Sunah menjadi asas utama.
“Sikap mendakwa kumpulannya pasti suci manakala orang lain terkeluar daripada rahmat Allah SWT adalah bentuk memuji diri sendiri dan ghuluw (sikap melampau) yang dilarang keras dalam Islam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Zulkifli berkata, parti politik hanyalah wasilah atau perantara dalam usaha manusia yang tidak sunyi daripada kelemahan dan ijtihad, serta tidak boleh disamakan dengan agama atau dijadikan ukuran mutlak terhadap kedudukan seseorang di sisi Allah SWT.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua pihak supaya mematangkan budaya politik dengan menjadikan keadilan, kemaslahatan ummah dan akhlak sebagai teras, bukannya mengeksploitasi sentimen agama untuk kepentingan politik.
“Berpolitiklah dengan matang dan berakhlak berasaskan keadilan serta kemaslahatan ummah, tanpa menggadaikan nilai akidah dan ukhuwah Islamiah,” katanya, sambil meminta masyarakat membezakan antara agama sebagai panduan hidup dengan parti politik sebagai wadah perjuangan manusia.
Kenyataan itu bagi mengulas laporan media semalam yang memetik Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai berkata, sokongan kepada PAS dan perjuangan yang berteraskan Islam boleh menjadi laluan ke syurga.
Takiyuddin dilaporkan berkata, mereka yang menyertai PAS dan memperjuangkan Islam berpeluang memperoleh ganjaran syurga, selain menyifatkan mereka yang mati kerana mempertahankan Islam sebagai syahid. – BERNAMA
