Klinik pergigian bergerak UM santuni anak yatim di Johol

Program ODOCS menyasarkan komuniti yang memiliki akses terhad kepada kemudahan kesihatan pergigian.

Feature Image (2)

Klinik pergigian bergerak UM santuni anak yatim di Johol

KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2025 – Jabatan Pergigian Restoratif, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM) buat julung kalinya menganjurkan program khidmat masyarakat bertemakan kesihatan pergigian dikenali sebagai Outpost Dentist for Community Service (ODOCS) di Rumah Kasih Ulu Inas di sini.

Program yang dilaksanakan pada 23 September itu bertujuan menyantuni serta memberikan rawatan pergigian percuma kepada anak-anak yatim di rumah kebajikan berkenaan melalui inisiatif Klinik Pergigian Bergerak Universiti Malaya.

Pengarah Program, Dr. Mohd Azmi Abdul Razak berkata, ODOCS diwujudkan bagi memberi peluang kepada komuniti luar bandar yang mempunyai akses terhad terhadap rawatan pergigian asas.

“Kami mahu membawa perkhidmatan kesihatan mulut terus kepada mereka yang memerlukan, bukan hanya pemeriksaan rutin tetapi juga rawatan pergigian asas yang mendesak. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen UM untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Seramai 16 anak yatim menerima rawatan secara percuma meliputi prosedur seperti tampalan, penskaleran dan cabutan gigi. Semua rawatan dijalankan menggunakan kemudahan lengkap Bas Klinik Pergigian Bergerak Universiti Malaya, sebuah klinik mudah alih moden yang dilengkapi peralatan pergigian profesional.

Bas Klinik Pergigian Bergerak itu merupakan hasil sumbangan bersama Wakaf Selangor, Association of Islamic Banking and Financial Institution Malaysia (AIBIM), Bank Muamalat, Yayasan Wakaf serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hasil usaha mantan Dekan Fakulti Pergigian UM, Prof. Dr. Zamri Radzi.

Pengetua Rumah Kasih Ulu Inas, Datuk Mutallif Che Mat menyifatkan kehadiran pasukan pergigian UM sebagai satu inisiatif murni yang amat membantu anak-anak jagaan mereka.

“Anak-anak di sini sukar mendapatkan rawatan pergigian kerana klinik terdekat terletak di daerah Rembau, kira-kira 45 minit dari sini. Kehadiran pasukan UM amat kami hargai dan kami berharap program ODOCS akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Program itu turut melibatkan penyertaan doktor gigi dari Jabatan Pergigian Restoratif bersama pembantu pembedahan pergigian, pembantu perawatan kesihatan, kru teknikal serta pemandu bas.

Menurut kenyataan Fakulti Pergigian UM, kejayaan penganjuran ODOCS menjadi pemangkin kepada misi seterusnya bagi memperluas khidmat komuniti ke kawasan lain yang memerlukan.