Mata Helang: Menteri pelancongan jadi liabiliti kerajaan Madani?
Ketika Perdana Menteri cuba menonjolkan Malaysia sebagai contoh Islam progresif di mata dunia, seorang menterinya pula dilihat mengangkat gelas wain di majlis rasmi.

POLITIK Malaysia memang tidak pernah sunyi daripada watak-watak pelik. Ada yang terlalu lembut untuk menegur, ada pula yang terlalu kasar untuk difahami.
Di tengah-tengah kekalutan ini, berdirilah seorang menteri yang seolah-olah hidup dalam dunia sendiri, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang kini sekali lagi menjadi tajuk utama bukan kerana kejayaan tetapi kerana kontroversi.
Belum pun reda cerita lama tentang ‘mabuk pada majlis rasmi’, kini timbul pula isu hidangan alkohol dalam acara berkaitan kerajaan, kononnya majlis itu bukan anjuran rasmi, hanya ‘inisiatif industri dan sektor swasta’.
Alasan yang berbunyi seperti cuba menutup lubang reput dengan daun kering, nampak kemas di luar tapi bau busuknya tetap menusuk.
Daripada Mabuk ke Majlis Arak
Jika kita imbas kembali, Tiong bukan asing dalam senarai menteri yang kerap mengundang polemik. Sikapnya yang lantang dan berani kadangkala disalah tafsir sebagai jujur tetapi sering berakhir dengan kekecohan dan salah tafsir awam.
Kini, majlis makan malam Global Travel Meet yang diwarnai dengan wain dan bir menjadikan nama Tiong kembali panas.
Tiong dengan selamba menafikan ia program rasmi kerajaan. Katanya, itu majlis pihak industri, Tourism Malaysia hanya ‘pinjam pentas’ untuk pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Namun soalnya, bukankah beliau menteri yang bertanggungjawab ke atas Tourism Malaysia? Bila majlis ada bendera rasmi, ucapan rasmi dan pelancaran rasmi, apakah ia masih sekadar ‘inisiatif pihak industri’?
Inilah masalah apabila tanggungjawab politik disamakan dengan tanggungjawab teknikal. Bila timbul isu, semua berlumba-lumba mencari ‘penaja’ untuk dipersalahkan, bukan mencari kebenaran.
Kerajaan MADANI, Menteri Hedonisme
Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha keras membina imej sebagai kerajaan berakhlak, sederhana dan berpaksikan nilai Islam. Namun di tengah usaha itu, muncul seorang menteri yang nampak seperti tidak membaca manual budaya politik kerajaan sendiri.
Bayangkan, ketika Perdana Menteri cuba menonjolkan Malaysia sebagai contoh Islam progresif di mata dunia, seorang menterinya pula dilihat mengangkat gelas wain di majlis rasmi.
Bagaimana tidak rakyat keliru, bila tangan kiri kerajaan mempromosi nilai Islam tapi tangan kanan mengangkat alkohol kononnya atas nama pelancongan?
Lebih ironik, dalam masa yang sama Tourism Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Starbucks, sebuah jenama global yang diketahui umum sering dikaitkan dengan isu sokongan terhadap Israel. Jika ini bukan kecuaian politik, apa lagi namanya?
Menteri atau Liabiliti?
Tiong kini bukan sekadar beban kepada kementeriannya tetapi beliau sedang menjadi liabiliti politik kepada seluruh Kerajaan MADANI. Dalam politik, ada musuh yang datang dari luar tapi bahaya yang paling besar selalunya datang dari dalam, daripada mereka yang tidak faham sensitiviti rakyat dan tidak tahu bila harus diam.
Rakyat Malaysia mungkin boleh memaafkan kelemahan pentadbiran tetapi mereka sukar memaafkan sikap angkuh dan tidak sensitif.
Ketika rakyat bergelut dengan tekanan ekonomi dan imej Islam sering dipertikai di peringkat global, Tiong dengan mudah merosakkan naratif moral kerajaan hanya kerana gagal memahami sempadan antara ‘diplomasi pelancongan’ dan ‘nilai kenegaraan’.
Suara Rakyat Semakin Keras
Reaksi rakyat di media sosial sudah cukup untuk menggambarkan betapa parahnya persepsi terhadap kerajaan. Ramai yang melihat Tiong sebagai simbol kegagalan disiplin kabinet, seolah-olah tiada siapa yang boleh menegur atau mengawal tindak-tanduknya.
Malah, dalam kalangan penyokong kerajaan sendiri, ada yang mula bersuara: “Kalau Tiong terus dalam kabinet, siapa sebenarnya yang rugi? Anwar atau rakyat?”
Menteri bukan pelakon bebas. Mereka membawa wajah kerajaan ke mata dunia. Bila seorang menteri melakukan kesilapan moral atau budaya, imej seluruh kabinet tercemar.
Anwar Tidak Boleh Terus Berdiam
Perdana Menteri tidak boleh terus menjadi pemerhati. Jika Anwar benar mahu mempertahankan prinsip MADANI, beliau mesti berani bertindak, bukan dengan kenyataan lembut tetapi dengan keputusan tegas.
Tiong bukan sekadar mencetuskan kontroversi tetapi telah menggugat kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan kerajaan. Sudah tiba masanya rombakan kabinet dilakukan. Mereka yang gagal, sombong dan tidak memahami nilai kerajaan MADANI mesti digugurkan.
Kerajaan tidak boleh terus menanggung menteri yang menjadi bahan ketawa awam setiap kali muncul di media. MADANI tidak boleh hidup dengan wajah hipokrasi.
Menteri Untuk Rakyat, Bukan Menteri Untuk Diri Sendiri
Menjadi menteri bukan lesen untuk mencipta drama, bukan ruang untuk menunjukkan ego. Ia amanah, bukan anugerah. Rakyat tidak meminta kesempurnaan, hanya kejujuran dan kebijaksanaan tapi bila menteri gagal membezakan antara budaya korporat dan budaya kenegaraan, yang tercalar bukan dirinya seorang tetapi seluruh nama Malaysia.
Mata Helang melihat seorang menteri pelancongan seharusnya tahu bahawa ‘imej’ adalah segala-galanya. Namun jika imej yang dibina adalah imej mabuk, kontroversi dan ketidaksensitifan, maka bukan pelancongan yang berkembang tetapi kepercayaan rakyat yang terhakis.
Tiong menganggap isu ini kecil, tapi kepada rakyat, ini tentang maruah dan akhlak kepimpinan. Jika kerajaan MADANI terus memeluk watak seperti ini, jangan salahkan rakyat andai suatu hari nanti mereka mula memandang sinis slogan yang kononnya berakar daripada nilai Islam.
Maka soalnya kini bukan sekadar, ‘Adakah Tiong masih layak menjadi menteri?’ tetapi berapa lama lagi kerajaan mahu terus mabuk dengan alasan dan buta dengan realiti?