Pelajar ejen perubahan sosial dalam memperkasa ESG untuk masa depan lestari

DALAM era globalisasi yang pesat, keprihatinan terhadap isu sosial berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menjadi elemen penting bagi memastikan pembangunan mampan yang seimbang.

Sebagai generasi yang berpotensi mencorak masa depan, pelajar mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu meningkatkan kebajikan sosial di peringkat komuniti dan juga mencapai Pelan Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat global.

Dengan peningkatan penglibatan pelajar dalam inisiatif sosial, bukan sahaja memberi kesan positif kepada komuniti setempat tetapi juga mempengaruhi perubahan dalam budaya korporat, mempromosikan amalan perniagaan yang lebih bertanggungjawab dari sudut sosial.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil oleh pelajar dalam memperkukuhkan elemen sosial berkaitan ESG:

Terlibat dalam Aktiviti Kesukarelawanan

Pelajar boleh terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan membantu memperkukuhkan hubungan sosial dan mengurangkan ketidaksamaan dalam komuniti, selari dengan SDG 1 (menghapuskan kemiskinan) dan SDG 10 (mengurangkan ketidaksamaan).

Dengan membantu golongan kurang bernasib baik, mereka memberi impak kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi dalam kalangan masyarakat yang rentan.

Kesukarelawanan seperti ini mempromosikan keadilan sosial, membantu meningkatkan taraf hidup individu yang memerlukan, dan membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin.

Menyertai Kelab Sosial yang Berkaitan dengan ESG

Menubuhkan kelab sosial yang berfokuskan ESG dapat memperkasakan pelajar untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menyokong SDG 4 (pendidikan berkualiti) dan SDG 16 (institusi yang damai dan inklusif).

Contohnya, kelab yang mengadakan ceramah tentang hak asasi manusia atau aktiviti kebajikan dapat menyemarakkan semangat solidariti dalam kalangan pelajar.

Melalui kelab ini, pelajar dapat menyebarkan kesedaran tentang isu-isu sosial seperti hak asasi manusia, kepelbagaian kaum dan keadilan sosial serta melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti amal.

Aktiviti kelab ini juga membantu mencipta persekitaran kampus yang menyokong kepelbagaian dan inklusiviti, memperkuatkan nilai sosial yang lebih luas.

Meningkatkan Kesedaran tentang Isu Sosial

Pelajar sekolah dan universiti boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu sosial, selari dengan SDG 4 (pendidikan berkualiti) dan SDG 10 (mengurangkan ketidaksamaan).

Melalui aktiviti seperti kempen kesedaran, ceramah atau perbincangan dalam kelas, mereka dapat mengetengahkan topik-topik penting seperti hak asasi manusia, kepelbagaian, kesaksamaan jantina dan kepentingan keadilan sosial.

Penglibatan pelajar dalam menyebarkan maklumat ini bukan sahaja membantu rakan sebaya memahami isu-isu tersebut dengan lebih baik tetapi juga membentuk persekitaran sekolah atau universiti yang lebih inklusif dan prihatin.

Inisiatif seperti ini memupuk kesedaran dan tanggungjawab sosial sejak awal, sekali gus menyumbang kepada masyarakat yang lebih adil dan harmoni.

Melibatkan Diri dalam Penyelidikan Isu Sosial

Pelajar yang menjalankan penyelidikan tentang isu sosial dalam ESG boleh menyumbang kepada pencapaian SDG 8 (pekerjaan yang layak) dan SDG 9 (inovasi dan infrastruktur).

Penyelidikan ini dapat membantu mengenal pasti kelemahan dalam amalan sosial syarikat serta memberi cadangan dasar yang lebih bertanggungjawab.

Sebagai contoh, hasil penyelidikan pelajar tentang keadaan kerja dalam kalangan pekerja tempatan boleh mendorong syarikat untuk memperbaiki amalan dan prosedur mereka.

Penyelidikan ini bukan sahaja memberi impak kepada peningkatan kebajikan pekerja tetapi juga membantu syarikat memenuhi tanggungjawab sosial mereka dengan lebih cekap dan inovatif.

Penyertaan dalam Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)

Melalui penyertaan dalam program CSR, pelajar dapat menyokong pencapaian SDG 3 (kesihatan yang baik dan kesejahteraan) dan SDG 4 (pendidikan berkualiti).

Inisiatif seperti program kesihatan komuniti atau biasiswa untuk pelajar yang kurang berkemampuan membantu meningkatkan kualiti hidup golongan terpinggir.

Ini juga menggalakkan syarikat untuk melaksanakan projek-projek yang tidak hanya berfokus pada keuntungan tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, sekali gus menyokong prinsip-prinsip ESG.

Penggunaan Teknologi dan Media Sosial

Penggunaan media sosial seperti Twitter, Instagram dan TikTok untuk meningkatkan kesedaran sosial berhubung ESG menyokong SDG 9 (inovasi dan infrastruktur) dan SDG 17 (kerjasama untuk mencapai matlamat).

Melalui platform media sosial, pelajar dapat menyebarkan mesej sosial dan memacu perubahan dalam dasar korporat dengan lebih meluas.

Sebagai contoh, kempen di media sosial yang berfokuskan hak asasi manusia dapat mencetuskan perhatian yang lebih luas.

Kempen digital ini membantu mempercepatkan penerapan prinsip tanggungjawab sosial dalam kalangan syarikat, sambil menggalakkan masyarakat dan sektor perniagaan untuk mengambil tindakan yang lebih inklusif dan bertanggungjawab.

Sebagai agen perubahan, pelajar berperanan penting dalam membentuk masa depan yang lebih baik melalui penglibatan dalam inisiatif sosial.

Dengan mengambil tindakan yang proaktif dalam isu-isu sosial dan alam sekitar, mereka bukan sahaja dapat memperkaya pengalaman peribadi tetapi juga menambah nilai kepada masyarakat.

Keberanian mereka untuk bersuara dan bertindak akan membangunkan kesedaran kolektif yang diperlukan untuk mencipta perubahan yang signifikan.

Melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk organisasi bukan kerajaan dan syarikat, pelajar dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam mencapai kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Oleh itu, masa depan yang inklusif dan lestari tidak hanya bergantung kepada polisi dan tindakan pihak berkuasa tetapi juga kepada komitmen dan keazaman generasi muda untuk mencipta dunia yang lebih baik.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.