AICB himpunkan pakar antarabangsa, perkukuh agenda pencegahan jenayah kewangan berasaskan AI
IFCTF terus menjadi platform utama di rantau ASEAN bagi membincangkan strategi pencegahan jenayah kewangan.
KUALA LUMPUR, 5 November 2025 – Lebih 50 pakar antarabangsa dan serantau bersama lebih 1,200 profesional perbankan berhimpun pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan ke-15 (IFCTF 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini dari 4 hingga 6 November.
Persidangan itu adalah anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dengan kerjasama Compliance Officers’ Networking Group (CONG) serta sokongan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA).
Persidangan tahunan itu diadakan ketika kadar jenayah kewangan menunjukkan peningkatan ketara, dengan Malaysia merekodkan kerugian RM1.12 bilion akibat penipuan dalam talian bagi separuh pertama tahun ini, manakala jumlah kerugian keseluruhan berkaitan scam mencecah hampir RM1.92 bilion setakat September 2025.
Di peringkat global, laporan Nasdaq 2024 menganggarkan aliran kewangan haram bernilai USD3.1 trilion, dengan penipuan dan scam perbankan menyebabkan kerugian hampir USD486 bilion, sekali gus menekankan keperluan memperkukuh kerjasama rentas sempadan serta rentas ekosistem dalam memerangi jenayah kewangan.
Industri perbankan negara turut memperhebatkan kempen nasional #JanganKenaScam bagi meningkatkan kesedaran awam dan memperkukuh daya tahan pengguna terhadap penipuan kewangan. Sejak 2023, pelbagai langkah perlindungan tambahan dilaksanakan oleh institusi perbankan, mencerminkan komitmen sektor tersebut dalam memelihara kepercayaan dan integriti sistem kewangan negara.
Menurut tinjauan Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), semakin ramai rakyat Malaysia kini lebih peka terhadap ancaman penipuan, dengan kebanyakan mereka mengambil langkah proaktif memantau amaran dan melaporkan aktiviti mencurigakan.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dalam ucapan pembukaan berkata, kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) sememangnya mengubah sistem pematuhan serta pencegahan pengubahan wang haram, namun integriti dan akauntabiliti tetap menjadi asas kepercayaan dalam industri kewangan.
“Tiada algoritma yang dapat menggantikan pertimbangan, integriti dan etika kerja manusia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim dalam ucapan alu-aluannya berkata, keseimbangan antara inovasi dan integriti mencerminkan pendekatan Malaysia dalam mencapai kemajuan teknologi yang berteraskan nilai moral dan profesionalisme.
“Dalam era digital ini, setiap daripada kita menjadi benteng pertahanan utama sistem kewangan. Kekuatan kita terletak pada warga yang berkemahiran, berprinsip dan berwaspada,” katanya.
Pengerusi CONG yang juga Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan AmBank, Faradina Ghouse pula menegaskan bahawa institusi kewangan merupakan barisan hadapan dalam memerangi jenayah kewangan.
“Keupayaan kita mengesan, mencegah dan bertindak balas terhadap ancaman bergantung kepada sejauh mana kita berkongsi maklumat serta memperkukuh kerjasama rentas sempadan,” katanya.
Bertemakan The Future is Now: Tech-driven Compliance in the Fight Against Financial Crime, persidangan kali ini memberi tumpuan kepada peranan AI, pembelajaran mesin dan analitik lanjutan dalam memperkukuh pematuhan serta pengurusan risiko.
Antara topik utama dibincangkan termasuk pengesanan penipuan berasaskan AI, pematuhan dipacu pembelajaran mesin, perkembangan aset maya, pembiayaan keganasan, proliferasi senjata, serta rangka kerja antirasuah dan AML dalam konteks penguatkuasaan global yang semakin ketat.
Seiring dengan komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi, Belanjawan 2026 turut memperuntukkan RM32 juta bagi memperkukuh rangka kerja perundangan dan membanteras jenayah penipuan, termasuk penggubalan Rang Undang-undang Jenayah Siber yang baharu serta pengukuhan keupayaan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Memasuki edisi ke-15, IFCTF terus menjadi platform utama di rantau ASEAN bagi membincangkan strategi pencegahan jenayah kewangan, selain menegaskan peranan AICB dalam memperkukuh literasi digital, kerjasama antarabangsa dan kepimpinan beretika dalam sektor kewangan.
Maklumat lanjut mengenai program AICB boleh diperoleh di www.aicb.org.my/events/upcoming.
