JBPM lancar Pendakian Amal Bomba De Everest “Mencari Hati Emas” 2025

PUTRAJAYA, 6 Disember 2024 – Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa berada di landasan tepat bagi menjayakan misi menawan puncak Gunung Everest di Nepal tahun depan.

Mohd. Fakhrul Munir atau dikenali sebagai Loe yang bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Subang Jaya kini boleh menarik nafas lega selepas kerja keras yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu mula membuka mata banyak pihak.

Lebih manis, Projek Pendakian Amal Bomba de Everest “Mencari Hati Emas” 2025 mendapat sokongan penuh daripada JBPM terutamanya Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

“Pendakian ini bukanlah satu cabaran yang mudah kerana melibatkan beberapa fasa dan rintangan yang cukup ekstrem terutamaya berkaitan keupayaan adaptasi cuaca yang tidak menentu, suhu yang boleh menjunam naik sehingga negative 40 darjah Celcius serta ancaman acute mountain sickness yang boleh membahayakan keselamatan dan nyawa.

“Kami keluarga besar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa berdiri teguh di belakang anda. Kami percaya dengan semangat yang tidak luntur, anda akan berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest dan mengharumkan nama jabatan serta negara tercinta.

“Semoga dipermudahkan pendakian oleh Allah SWT supaya untuk kita sama-sama khususnya mencipta sejarah dan memberi inspirasi kepada semua,” kata Nor Hisham semasa berucap pada Majlis Pelancaran Bomba de Everest sempena Perhimpunan Bulan November 2024 JBPM di Putrajaya pada 2 Disember lalu.

Sementara itu, Mohd. Fakhrul Munir berkata, selain menambah dana tabung kebajikan anggota bomba, beliau juga berhasrat untuk menjadikan bomba sebagai pasukan badan beruniform negara yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak, sekali gus membuktikan pasukan badan beruniform di Malaysia setanding dengan pasukan-pasukan badan beruniform negara maju yang lain.

“Projek pendakian ke puncak gunung ketinggian 8,848 meter dari aras laut ini adalah atas kerelaan saya sendiri rentetan daripada projek kayuhan solo berbasikal sejauh 2,400 kilometer serta melawat 105 balai bomba dan penyelamat di Semenanjung pada tahun 2020.

“Projek anjuran bersama Kelab Kembara Kosmopolitan, Gedung Penawar Sdn. Bhd., dan Kumpulan AL Baghdadi Group Sdn, Bhd., ini bertujuan menambah dana untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba.

Nor Hisham (lima dari kiri) dan barisan pemimpin tertinggi bomba bergambar bersama wakil penganjur pada Majlis Pelancaran Bomba de Everest sempena Perhimpunan Bulan November 2024 JBPM di Putrajaya pada 2 Disember lalu.

“Projek yang mendapat sokongan penuh dan persetujuan JBPM ini bertujuan membantu mereka yang tercedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas atau yang masih dalam perkhidmatan.

“Selain itu, kami juga mahu menyuntik kesedaran dalam kalangan orang ramai berkaitan program menderma organ bagi membantu pesakit yang menghidapi kegagalan buah pinggang,” kata anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) ini.

Mohd. Fakhrul Munir berkata, beliau yang akan mengambil cuti tanpa gaji sudah menggerakkan jualan amal alat pemadam api (edisi khas) satu kilogram berserta barangan kombo (baju-T eksklusif dan topi tahan lasak) bagi mengumpul dana.

Alat pemadam api ini boleh dibeli dengan harga RM139 seunit manakala baju-T eksklusif (RM59) dan topi (RM39) atau pembelian secara kombo untuk ketiga-tiga item tersebut pada harga RM199.

Nor Hisham (enam dari kanan) bergambar bersama kru Projek Pendakian Amal Bomba de Everest “Mencari Hati Emas” 2025 pada Majlis Pelancaran Bomba de Everest sempena Perhimpunan Bulan November 2024 JBPM di Putrajaya pada 2 Disember lalu.

Pembelian boleh dibuat di https://twh.yezza.store/

“Antara objektif utama jualan amal ini adalah mendidik orang ramai tentang pentingnya untuk sentiasa cakna dan bersiap siaga dengan alat pemadam api.

“Ia bagi mengawal kebakaran agar dapat menurunkan statistik seminimum yang mungkin sama ada melibatkan kediaman, pejabat atau kenderaan.

“Sebab itu, saya anggap projek ini sebagai strategi serampang tiga mata,” tambah beliau.

Projek Pendakian Amal Bomba de Everest “Mencari Hati Emas” 2025 ini juga mendapat sokongan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, ahli-ahli perniagaan dan rakan-rakan pendaki.

“Sebaik projek ini dilancarkan, saya mendapat sokongan penuh daripada banyak pihak. Kata-kata positif mereka menyuntik semangat untuk saya merealisasikan projek ini.

“Sebenarnya, ‘Hati Emas’ itu ada dalam diri kita. Sokongan kecil anda dengan membeli alat pemadam api ini dapat beramal dan membantu orang yang memerlukan,” katanya.