UM anjur Animal Fun Run 2025 semarak sambutan Hari Haiwan Sedunia

Bertujuan meningkatkan kesedaran awam bahawa kesejahteraan haiwan dan manusia saling berkait, selain menegaskan tanggungjawab bersama dalam memelihara biodiversiti.

Feature Image (2)

KUALA LUMPUR, 11 Januari 2026 — Suasana di sekitar Gazebo, Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya (UM) meriah dengan penyertaan lebih 200 peserta dalam Animal Fun Run 2025, program santai berkonsepkan riadah dan pendidikan berkaitan kebajikan haiwan baru-baru ini.

Program anjuran Persatuan Ekologi Biodiversiti Universiti Malaya (EcoBio UM) dengan kerjasama Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) serta Fakulti Sains, UM itu diadakan sempena sambutan Hari Haiwan Sedunia yang diraikan pada 4 Oktober setiap tahun.

Penganjuran program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran awam bahawa kesejahteraan haiwan dan manusia saling berkait, selain menegaskan tanggungjawab bersama dalam memelihara biodiversiti.

Pensyarah Institut Sains Biologi merangkap Koordinator Program Ekologi dan Biodiversiti UM, Ts. Dr. Noorhidayah Mamat berkata, pendekatan pembelajaran tidak formal melalui aktiviti santai mampu menyemai kesedaran pemeliharaan haiwan secara lebih berkesan.

“Kesedaran terhadap kebajikan haiwan tidak terhad kepada bilik kuliah atau makmal, sebaliknya boleh dipupuk melalui aktiviti menyeronokkan yang menghubungkan peserta dengan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata pihaknya menyokong penuh inisiatif yang memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai kepentingan biodiversiti, di samping menekankan peranan komuniti sebagai rakan pelaksana agenda kelestarian negara.

Selain larian santai di sekitar kampus, program turut dimeriahkan dengan pameran ringkas, aktiviti interaktif berkaitan pelestarian hidupan liar, lawatan ke reruai tajaan serta aktiviti lukisan muka bertema haiwan.

Animal Fun Run 2025 disertai pelajar, staf, alumni UM serta orang awam dan dilihat sebagai platform yang menyatukan komuniti, sains dan advokasi dalam usaha mempromosikan pemeliharaan biodiversiti secara inklusif.