Jangan dinormalisasi pokai selepas raya
Dalam era digital dan media sosial, pengguna terdedah kepada pelbagai rangsangan yang mendorong perbelanjaan secara impulsif.

SETIAP kali menjelang Syawal, masyarakat Malaysia menyambutnya dengan penuh kegembiraan melalui pelbagai persiapan dan perbelanjaan. Namun begitu, selepas berakhirnya musim perayaan, tidak sedikit yang berdepan dengan keadaan kewangan yang tertekan sehingga timbul ungkapan “pokai selepas raya”. Persoalannya, adakah fenomena ini wajar dianggap sebagai kebiasaan atau sebenarnya mencerminkan kelemahan dalam pengurusan kewangan isi rumah yang perlu segera diperbetulkan?,
Realitinya, peningkatan perbelanjaan semasa musim perayaan bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Malah, data daripada Department of Statistics Malaysia menunjukkan bahawa perbelanjaan isi rumah di Malaysia terus mencatatkan peningkatan, dengan komponen utama tertumpu kepada makanan dan minuman, termasuk perbelanjaan makan di luar. Corak ini dilihat merentasi semua kumpulan pendapatan, sama ada B40, M40 mahupun T20. Keadaan ini menunjukkan bahawa kecenderungan untuk berbelanja secara berlebihan bukan hanya terhad kepada golongan tertentu, tetapi telah menjadi amalan umum dalam masyarakat.
Pada masa sama, laporan Bank Negara Malaysia turut menekankan bahawa tahap hutang isi rumah negara kekal tinggi, melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Walaupun sebahagian besar hutang tersebut berada dalam keadaan terkawal, penggunaan kemudahan kredit bagi menampung perbelanjaan gaya hidup semakin membimbangkan. Sehubungan dengan itu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit melaporkan bahawa antara faktor utama individu mendapatkan bantuan pengurusan hutang ialah kegagalan mengawal perbelanjaan serta kebergantungan kepada kredit untuk memenuhi keperluan harian.
Fenomena “pokai selepas raya” tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dipengaruhi oleh faktor tingkah laku pengguna. Dalam era digital dan media sosial, pengguna terdedah kepada pelbagai rangsangan yang mendorong perbelanjaan secara impulsif. Elemen seperti Fear of Missing Out (FOMO) dan gaya hidup You Only Live Once (YOLO) menyebabkan individu cenderung untuk membuat keputusan kewangan yang berasaskan kepuasan segera. Dari sudut ekonomi tingkah laku, situasi ini berkait dengan konsep ganjaran dopamin, di mana setiap pembelian memberikan kepuasan sementara, namun meninggalkan implikasi kewangan yang berpanjangan.
Keadaan menjadi lebih meruncing apabila kemudahan kewangan seperti kad kredit dan Buy Now Pay Later (BNPL) digunakan tanpa kawalan yang wajar. Walaupun instrumen ini disediakan sebagai alat pengurusan aliran tunai, penggunaannya secara berlebihan boleh membawa kepada pengumpulan hutang yang tidak terkawal. Tanda awal masalah kewangan dapat dilihat apabila individu mula bergantung kepada kemudahan kredit untuk menampung perbelanjaan asas. Amalan membayar jumlah minimum pula akan menyebabkan hutang terus bertambah tanpa disedari.
Sehubungan dengan itu, fenomena ini seharusnya dilihat sebagai satu isyarat untuk melakukan perubahan dari segi pemikiran dan tingkah laku kewangan. Langkah pertama yang perlu diambil ialah menyusun semula bajet perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada keperluan asas seperti pendidikan, bil utiliti dan keperluan harian. Perbelanjaan tidak penting seperti makan di luar, aktiviti sosial yang kerap dan pembelian secara impulsif perlu dikurangkan, sekurang-kurangnya dalam tempoh pemulihan selepas musim perayaan.
Selain itu, perancangan kewangan bagi perbelanjaan bermusim perlu dilaksanakan lebih awal. Perbelanjaan berkaitan Aidilfitri, musim persekolahan dan majlis perkahwinan merupakan perbelanjaan yang boleh dijangka, namun sering diabaikan dalam perancangan kewangan. Sebagai contoh, jika jumlah perbelanjaan raya dianggarkan sebanyak RM3,000 setahun, individu boleh memperuntukkan simpanan bulanan sekitar RM250. Pendekatan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan secara mendadak apabila tiba musim perayaan.
Pada masa sama, kepentingan dana kecemasan tidak boleh dipandang ringan. Simpanan ini berfungsi sebagai pelindung kewangan bagi menghadapi situasi tidak dijangka, sekali gus mengelakkan individu daripada terpaksa berhutang atau terjebak dengan pinjaman tidak berlesen. Selepas musim perayaan, dana kecemasan yang telah digunakan perlu segera dipulihkan bagi memastikan kestabilan kewangan jangka panjang.
Di samping itu, masyarakat juga digalakkan untuk meneroka peluang menjana pendapatan tambahan, khususnya dalam era ekonomi digital. Platform dalam talian membuka ruang kepada individu untuk menjual barangan terpakai, menjalankan pemasaran afiliasi atau menawarkan perkhidmatan berdasarkan kemahiran masing-masing. Walau bagaimanapun, usaha ini perlu diimbangi dengan pengurusan masa yang baik agar tidak menjejaskan kesejahteraan keluarga.
Akhirnya, prinsip kesederhanaan yang dianjurkan dalam Islam wajar dijadikan panduan dalam mengurus kewangan. Pengguna perlu mengelakkan sikap boros dan memberi keutamaan kepada perbelanjaan yang benar-benar penting. Tingkah laku pengguna yang rasional dan berhemah bukan sahaja dapat menjamin kestabilan kewangan, malah dapat mengelakkan tekanan emosi serta konflik dalam keluarga.
Kesimpulannya, “pokai selepas raya” tidak seharusnya dinormalisasikan. Sebaliknya, ia perlu dijadikan pengajaran untuk memperbaiki amalan pengurusan kewangan. Dengan perancangan yang teliti, disiplin yang tinggi dan kesedaran terhadap tingkah laku perbelanjaan, masyarakat mampu menikmati kemeriahan Aidilfitri tanpa perlu berdepan dengan kesan kewangan yang membebankan selepasnya.

