NGO Empati perkenal pendekatan komuniti pemulihan kesihatan mental golongan berisiko
Pertubuhan Empati Malaysia (NGO Empati) tampil dengan pendekatan berasaskan komuniti yang lebih inklusif dan mesra belia.

PETALING JAYA, 7 Ogos 2025 – Isu kesihatan mental kini semakin mendapat perhatian masyarakat, namun stigma terhadap pesakit mental, khususnya dalam kalangan golongan berisiko seperti pesalah juvana, penagih dadah dan banduan, masih belum terhapus sepenuhnya.
Menyedari keperluan sokongan berterusan bagi pemulihan kelompok ini, Pertubuhan Empati Malaysia (NGO Empati) tampil dengan pendekatan berasaskan komuniti yang lebih inklusif dan mesra belia.
Pengasas dan Presiden NGO Empati, Syahida Zulkarnain berkata, pemulihan kesihatan mental bukanlah satu proses jangka pendek, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan dan ruang pemulihan yang selamat serta tidak menghakimi.
“Pemulihan bukan sahaja perlu difokuskan kepada individu tetapi juga pada hubungan mereka dengan komuniti. Oleh itu, NGO Empati menekankan pendekatan pemulihan berasaskan komuniti, dengan sokongan peer dan intervensi berstruktur,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 2022, NGO Empati aktif menjalankan pelbagai inisiatif lapangan melibatkan golongan terpinggir termasuk pesakit mental, pelajar juvana, banduan dan bekas penagih dadah.
Antara program utama NGO itu ialah Projek Metamorphosis, yang melibatkan pelajar Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi dalam aktiviti rekreasi tertutup serta sesi kaunseling kumpulan yang dikendalikan secara santai oleh kaunselor bertauliah.
Pelajar-pelajar ini turut dilibatkan dalam aktiviti khidmat masyarakat bersama kanak-kanak jalanan di sekitar Chow Kit.
Syahida berkata, pendekatan seperti ini membantu membina semula keyakinan diri, mengenal emosi serta memudahkan proses integrasi semula ke dalam masyarakat.
Dalam usaha memperluas capaian program, NGO Empati kini giat membina barisan sukarelawan yang akan dibahagikan kepada lima kumpulan peer support mengikut fokus sasaran:
Team Jebat – Pemulihan mental banduan penjara melalui terapi seni
Team Tuah – Pemulihan komuniti terlibat isu dadah
Team Lekiu – Pembangunan jiwa pesalah juvana
Team Kasturi – Pemulihan komuniti dan profesional untuk pejuang kesihatan mental
Team Teja – Sokongan untuk wanita mangsa keganasan rumah tangga, serangan seksual dan ibu tunggal
Pendaftaran sukarelawan bagi kelima-lima kumpulan ini kini dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk terlibat secara aktif dalam membantu proses pemulihan golongan berisiko.
“Kami tekad melatih 100 sukarelawan belia yang dilengkapi kemahiran trauma-informed practices dan mengikuti bengkel intensif Mental Health First Aid, agar mereka mampu mendampingi lima kumpulan berisiko utama secara efektif dan berempati,” jelas Syahida, yang turut merupakan Ikon Belia Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2024.
Tambah beliau, kesihatan mental tidak seharusnya dihadkan kepada ruang hospital atau seminar sahaja, sebaliknya perlu dihayati dan digerakkan dalam komuniti termasuk di masjid, penjara, rumah perlindungan dan kelas sokongan komuniti.
“NGO Empati membawa wajah baharu dalam advokasi kesihatan mental yang lebih manusiawi, berasaskan pengalaman sebenar serta intervensi menyeluruh, dan kami percaya semua orang berhak untuk pulih,” katanya.
Orang ramai yang berminat menyertai inisiatif NGO Empati boleh menghubungi Syahida Zulkarnain di talian +6013-720 6745 atau e-mel empati2022@gmail.com