Wakaf dan ESG: Menukar dana suci kepada impak mampan
Dalam sejarah ketamadunan Islam, wakaf digunakan untuk membiayai pembinaan sekolah, hospital dan sistem air untuk kegunaan ramai.

TERKINI, Malaysia sedang berusaha dan berlumba untuk mencapai sasaran kemampanan (SDG) negara.
Sasaran kemampanan Malaysia termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui, perumahan mampu milik dan projek penyesuaian iklim. Semua projek ini memerlukan modal yang kolosal.
Tambahan pula, sasaran kemampanan ini merupakan pelaburan jangka masa panjang dan jenis pembiayaan ini tidak selalunya menarik minat pelabur jangka pendek. Maka, satu persoalan timbul, dari manakah akan datangnya sumber dana pembiayaan itu?
Sedar atau tidak, Malaysia sudah mempunyai dana sedemikian dan kebanyakannya masih terbiar. Dana ini adalah wakaf. Wakaf ialah tradisi Islam yang telah wujud berabad-abad lamanya, di mana umat Islam mewakafkan harta atau aset untuk kebaikan awam.
Dalam sejarah ketamadunan Islam, wakaf digunakan untuk membiayai pembinaan sekolah, hospital dan sistem air untuk kegunaan ramai.
Hari ini, Malaysia mempunyai khazanah aset wakaf yang dianggarkan bernilai puluhan bilion ringgit. Namun kebanyakannya masih belum dibangunkan, berpecah-belah, atau digunakan dengan cara yang berimpak rendah.
Oleh yang demikian, jika digerakkan dengan berkesan, wakaf boleh menjadi tonggak pergerakan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Malaysia. Sumber modal pembiayaan berasaskan iman yang tidak dapat diduplikasi oleh pelabur asing.
Wakaf: Daripada Warisan kepada Inovasi
Pada terasnya, wakaf bukanlah derma tetapi penganugerahan. Sebaik sahaja sesuatu harta atau dana didedikasikan sebagai wakaf, pemilikannya dibekukan tetapi manfaatnya digunakan untuk kebaikan awam.
Struktur ini menjadikan wakaf bersifat jangka panjang dan berorientasikan impak, kualiti ini cukup menepati rangka kerja ESG.
Dari segi sejarah, dana wakaf digunakan untuk membina universiti-universiti di Kaherah, hospital-hospital di Istanbul, dan masjid-masjid di Malaysia.
Prinsipnya tidak lapuk dek zaman: memanfaatkan kekayaan persendirian untuk manfaat awam yang berkekalan. Dalam abad ke-21 ini, manfaat awam itu boleh merangkumi sasaran kemampanan negara.
Skala Peluang ESG yang Wujud
Menurut kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), aset wakaf di Malaysia dianggarkan bernilai lebih daripada RM1.3 trilion.
Pada tahun 2023, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Malaysia (JAWHAR) menyatakan terdapat 18,402 lot tanah wakaf di seluruh Malaysia; bersamaan 20,993 hektar tanah, yang berada di bawah kuasa pihak Islam negeri.
Namun, sebahagian besar tanah ini masih terbiar atau digunakan untuk tujuan pulangan rendah seperti tempat letak kereta atau sewa berskala kecil.
Bayangkan jika sebahagian kecil daripada modal ini dibuka untuk projek lestari. Projek tenaga boleh diperbaharui yang disokong oleh dana wakaf boleh memperkasakan sekolah luar bandar.
Projek perumahan berkaitan wakaf boleh menyediakan rumah mampu milik yang cekap tenaga. Inisiatif perhutanan wakaf boleh memelihara biodiversiti sambil menjana kredit karbon.
Bagaimana Wakaf Diselaraskan dengan Matlamat ESG Negara
Dimensi Alam Sekitar (E): Projek Wakaf Hijau
Tanah wakaf boleh menjadi tuan rumah kepada projek tenaga boleh diperbaharui seperti ladang solar atau loji mikro-hidro.
Johor dan Selangor telah menjalankan inisiatif ‘Wakaf Hijau’, memasang panel solar pada hartanah wakaf. Tanah wakaf juga boleh membiayai penghutanan semula, pertanian lestari atau taman pemuliharaan, sejajar secara langsung dengan dimensi alam sekitar ESG.
Dimensi Sosial (S): Perkhidmatan dan Ekuiti Mampu Milik
Wakaf mempunyai sejarah yang panjang dalam menyediakan penjagaan kesihatan dan pendidikan yang mampu milik. Hari ini, ia boleh menyokong perumahan kos rendah, klinik kesihatan, hospital dan biasiswa untuk komuniti yang terkesan, sekali gus menangani dimensi sosial ESG.
Malaysia sudah pun mempunyai contoh yang cemerlang. Rangkaian Hospital Wakaf An-Nur Johor menggunakan aset wakaf untuk menyediakan khidmat penjagaan kesihatan mampu milik untuk masyarakat, menunjukkan bagaimana wakaf boleh membiayai operasi berterusan secara lestari.
Dimensi Tadbir Urus (G): Ketelusan dan Pengurusan Profesional
Institusi wakaf kadangkala dikritik kerana pengurusan yang tidak jelas, terbiar atau kurang digunakan. Dengan menerima pakai tadbir urus berdasarkan rangka kerja ESG, pendedahan berkala, pelaporan impak, audit bebas. Mereka boleh membina kepercayaan awam dan menarik pelaburan bersama daripada rakan kongsi syarikat swasta.
Di Turki, mereka telah berjaya menggabungkan wakaf tradisional dengan model pelaburan moden, menukarkan aset tidak aktif menjadi usaha niaga yang produktif tanpa melanggar prinsip Syariah. Contoh-contoh ini membuktikan bahawa ia boleh dilakukan.
Cabaran untuk Diatasi
Agar wakaf merealisasikan potensi ESGnya, Malaysia perlu menangani beberapa cabaran:
1. Tadbir Urus Berpecah-belah: Pentadbiran wakaf berasaskan negeri, mengakibatkan amalan yang tidak sekata dan skalabiliti yang terhad.
2. Kekurangan Pengurusan Aset Profesional: Banyak hartanah wakaf kurang dibangunkan atau diuruskan, sekali gus mengurangkan pulangan dan impaknya.
3. Ketiadaan Metrik ESG: Tanpa pelaporan yang piawai, sukar untuk menunjukkan bagaimana wakaf menyumbang kepada kemampanan atau menarik pelaburan bersama swasta.
Cabaran-cabaran ini mencerminkan masalah ESG yang lebih meluas iaitu; bagaimana untuk mengukur impak positif yang terhasil daripada pembiayaan dana wakaf?
Pelan Tindakan
Untuk membuka potensi ESG wakaf, Malaysia boleh:
1. Menubuhkan Dana Impak Wakaf: Mengumpulkan aset wakaf di bawah dana yang diuruskan secara profesional yang dikhaskan untuk projek sejajar ESG seperti tenaga boleh diperbaharui, perumahan mampu milik dan penjagaan kesihatan.
2. Menyeragamkan Tadbir Urus dan Pelaporan: Membangunkan rangka kerja kebangsaan untuk pendedahan wakaf, metrik impak, dan audit, yang dimodelkan berdasarkan piawaian ESG.
3. Menjalin Perkongsian Awam-Swasta: Menggabungkan aset wakaf dengan pelaburan ESG swasta, menggabungkan modal awam dengan disiplin pasaran. Contohnya, pemaju boleh membina kompleks perumahan cekap tenaga di atas tanah wakaf, dengan keuntungan dilaburkan semula ke dalam perkhidmatan komuniti.
Peluang Malaysia untuk Meneraju
Cuma beberapa negara mempunyai gabungan infrastruktur kewangan Islam yang kaya, institusi wakaf aktif dan kesedaran ESG yang semakin meningkat. Malaysia mempunyai ketiga-tiga ciri ini.
Oleh itu, Malaysia boleh merintis model ‘kelestarian yang didorong oleh keimanan‘ di mana wakaf bukan sekadar peninggalan bersejarah tetapi juga enjin pertumbuhan kelestarian yang inklusif untuk semua.
Jika diuruskan dengan betul, wakaf bukan sahaja boleh melengkapi zakat tetapi juga sukuk (bon Islam) dan instrumen lain, mewujudkan ekosistem yang komprehensif untuk pembiayaan ESG. Ini bakal membolehkan Malaysia menerajui dunia dalam menyelaraskan prinsip Islam dengan pembangunan mampan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
