Membangun masa depan lestari bersama anak-anak orang asli di Rompin

Program Pendidikan Kelestarian Persekitaran dan Ekonomi membimbing pelajar Orang Asli memahami kepentingan memelihara alam sekitar dan mengukuhkan ekonomi komuniti secara mampan.

Poster Terkini (4)

MASYARAKAT Orang Asli, sebagai komuniti pribumi di Malaysia, memainkan peranan penting dalam memelihara warisan alam dan budaya negara.

Namun, perkembangan pesat dunia moden seringkali mengancam kelestarian persekitaran dan ekonomi tradisional mereka.

Oleh itu, baru-baru ini satu ‘Program Pendidikan Kelestarian Persekitaran dan Ekonomi’ diperkenalkan untuk membimbing pelajar Orang Asli memahami kepentingan memelihara alam sekitar dan mengukuhkan ekonomi komuniti mereka secara mampan.

Program yang dijayakan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang berjaya menarik minat seramai 300 orang pelajar masyarakat Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Kedaik Komprehensif 9 di Rompin, Pahang.

Program yang diketuai Pensyarah Kanan, UNITEN Business School, Dr. Suzaida Bakar ini bukan sahaja bertujuan untuk melindungi alam sekitar tetapi juga untuk memastikan generasi muda Orang Asli mampu menyesuaikan diri dengan perubahan global tanpa mengorbankan nilai-nilai tradisional mereka.

Program ini mempunyai beberapa objektif utama iaitu meningkatkan kesedaran alam sekitar dengan memberi pengetahuan kepada pelajar Orang Asli tentang kepentingan memelihara alam sekitar dan kesan negatif aktiviti manusia terhadap ekosistem.

Kedua, memperkukuh ekonomi mampan dengan membantu pelajar memahami cara menggabungkan sumber semula jadi dengan aktiviti ekonomi yang lestari seperti pertanian organik, pelancongan ekologi dan kraftangan tradisional.

Ketiga, pemeliharaan budaya dan warisan dengan menggalakkan pelajar menghargai dan memelihara warisan budaya mereka yang berkait rapat dengan alam semula jadi.

Akhir sekali pembangunan kemahiran hidup dengan memberi pelajar kemahiran praktikal untuk menghadapi cabaran ekonomi moden sambil mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Program ini merangkumi pelbagai aktiviti dan modul pendidikan yang dirancang khusus untuk memenuhi keperluan pelajar Orang Asli.

Antara kandungan utama program ini termasuk pendidikan alam sekitar dimana pelajar-pelajar didedahkan dengan konsep asas kelestarian alam sekitar seperti kepelbagaian biologi, perubahan iklim dan pengurusan sumber semula jadi.

Selain itu, aktiviti ‘hands-on’ juga dijalankan dengan menekankan pembelajaran melalui pengalaman langsung.

Pelajar terlibat dalam aktiviti seperti menanam pokok, membersihkan sungai dan memelihara hutan simpan disekitar Kawasan sekolah.

Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran mereka tetapi juga mengukuhkan hubungan mereka dengan alam sekitar.

Selain itu, aktiviti pembangunan ekonomi mampan juga diperkenalkan kepada mereka. Pelajar diajar cara menggunakan sumber semula jadi secara bertanggungjawab untuk menjana pendapatan.

Contohnya, mereka belajar tentang pertanian organik, penanaman herba tradisional dan kraftangan yang menggunakan bahan semula jadi. Program ini juga menyediakan bimbingan untuk memasarkan produk mereka secara lestari.

Program ini telah mendapat penajaan dari Yayasan Canselor Universiti Tenaga Nasional (YCU) dan juga kerjasama yang baik dari komuniti Orang Asli RPS Kedaik, Rompin, Pahang.

Program ini melibatkan kerjasama erat dengan pihak SK Kedaik Komprehensif 9, komuniti Orang Asli, pemimpin komuniti, tokoh adat dan ahli keluarga dijemput untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka. Ini membantu memastikan bahawa program ini relevan dengan keperluan dan nilai komuniti.

Cabaran dan Penyelesaian

Walaupun program ini mempunyai potensi besar, beberapa cabaran perlu diatasi untuk memastikan kejayaannya. Antaranya termasuk kekurangan sumber di mana banyak komuniti Orang Asli menghadapi kekurangan infrastruktur dan sumber kewangan.

Penyelesaiannya adalah dengan meningkatkan sokongan kerajaan dan kerjasama dengan universiti serta organisasi bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, penerimaan komuniti Orang Asli yang mana sesetengah komuniti masih ragu-ragu untuk menerima perubahan. Pendidikan dan dialog terbuka diperlukan untuk meyakinkan mereka tentang manfaat program ini.

Akhir sekali, penyelarasan kurikulum di dalam kelas di mana kurikulum perlu disesuaikan dengan konteks budaya dan persekitaran Orang Asli untuk memastikan ia relevan dan efektif.

Program Pendidikan Kelestarian Persekitaran dan Ekonomi dalam kalangan pelajar Orang Asli adalah langkah penting ke arah memelihara alam sekitar dan mengukuhkan ekonomi komuniti ini.

Dengan menggabungkan pengetahuan moden dan nilai tradisional, program ini bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar tetapi juga memastikan generasi muda Orang Asli mampu menghadapi cabaran masa depan dengan yakin.

Melalui kerjasama antara kerajaan, UNITEN dan juga universiti awam dan swasta, NGO dan komuniti, program ini berpotensi untuk mencipta impak jangka panjang yang positif bagi kedua-dua alam sekitar dan masyarakat Orang Asli.

Program ini bukan sekadar pendidikan, tetapi ia adalah satu usaha untuk memastikan kelangsungan hidup dan kemakmuran komuniti Orang Asli dalam dunia yang semakin mencabar.

Dengan memupuk kesedaran dan kemahiran yang diperlukan, generasi muda Orang Asli akan menjadi pelindung alam sekitar dan pemacu ekonomi mampan yang berkesan.