SME Corp. Malaysia, microLEAP tawar pembiayaan bernilai RM35 juta kepada PMKS

PMKS layak memohon pembiayaan sehingga RM400,000 pada kadar keuntungan kompetitif 3.5 peratus setahun

Feature Image (2)

KUALA LUMPUR, 8 September 2025 – SME Corp. Malaysia menjalin kerjasama dengan microLEAP dalam melaksanakan Program Pembiayaan Alternatif BAP 2025, melibatkan dana berjumlah RM35 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

Melalui skim berlandaskan Syariah itu, PMKS layak memohon pembiayaan sehingga RM400,000 pada kadar keuntungan kompetitif 3.5 peratus setahun, dengan sehingga 40 peratus daripada jumlah tersebut berpeluang ditukar kepada geran.

microLEAP, sebuah platform pembiayaan rakan setara (P2P) patuh Syariah yang dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dilantik sebagai pengantara bagi program ini. Dengan tambahan peruntukan terbaharu itu, jumlah dana kerjasama SME Corp. Malaysia bersama microLEAP sejak 2021 kini mencecah RM70 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Dato’ Nainy berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja menyediakan akses kepada modal tetapi turut mengiktiraf disiplin kewangan serta pertumbuhan perniagaan PMKS.

“Dengan membolehkan penukaran sehingga 40 peratus pembiayaan kepada geran, kami bukan sahaja mengurangkan beban bayaran balik, malah melabur secara langsung dalam masa depan PMKS berpotensi tinggi di Malaysia.

“Ini juga sejajar dengan sasaran untuk meningkatkan bilangan perusahaan kecil menjadi sederhana daripada 1.6 peratus kini kepada lima peratus menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, YM Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, program itu dibangunkan berdasarkan maklum balas pemilik perniagaan kecil, selain mengambil kira cabaran pasaran dan dasar semasa.

“Pembiayaan tidak seharusnya hanya mudah diakses dan mampu milik, tetapi juga perlu memberi ganjaran kepada disiplin kewangan yang baik. Kami percaya PMKS tidak wajar dibebankan dengan syarat seperti tiga tahun akaun beraudit atau cagaran untuk mendapatkan pembiayaan. Jika mereka menjana hasil, berkembang, dan mampu membayar balik, kami sedia menyokong,” katanya.

Program tersebut merangkumi pelbagai tujuan termasuk modal kerja, pembelian mesin dan peralatan, penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pensijilan produk, promosi serta pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Hanya PMKS dengan rekod bayaran balik baik layak memohon penukaran geran sehingga 40 peratus, tertakluk kepada kelulusan SME Corp. Malaysia.

PMKS menyumbang lebih 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, namun sebahagian besar masih berdepan kekangan dalam akses pembiayaan tradisional. Program ini dijangka membantu merapatkan jurang tersebut serta meningkatkan keyakinan terhadap sektor itu.