KPI di sisi Allah: Ukuran kejayaan hakiki dalam dunia pekerjaan
Nilai-nilai spiritual seperti keikhlasan, amanah dan ketakwaan tidak tercatat dalam laporan prestasi tahunan tetapi itulah ukuran sebenar kejayaan di sisi Tuhan.

DALAM kehidupan moden yang serba pantas dan berorientasikan pencapaian, kejayaan sering diukur melalui angka dan laporan serta berapa banyak sasaran dicapai, berapa tinggi produktiviti dihasilkan dan sejauh mana prestasi organisasi meningkat saban tahun. Dalam sistem kerja hari ini, istilah Key Performance Indicator (KPI) menjadi ukuran utama kehebatan dan kemajuan seseorang pegawai atau sesebuah jabatan.
Namun, dalam keghairahan mengejar KPI duniawi, sering kali manusia terlupa bahawa ada satu bentuk penilaian yang jauh lebih penting dan kekal iaitu penilaian di sisi Allah SWT. Nilai-nilai spiritual seperti keikhlasan, amanah dan ketakwaan tidak tercatat dalam laporan prestasi tahunan tetapi itulah ukuran sebenar kejayaan di sisi Tuhan.
KPI di sisi Allah menuntut setiap Muslim menilai semula niat dan tujuan bekerja. Segala tindakan dan keputusan perlu berpaksikan rasa tanggungjawab terhadap Allah SWT, bukan sekadar untuk memenuhi kehendak manusia atau mencapai penilaian organisasi. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengingatkan bahawa setiap tugasan, meskipun kecil akan bernilai besar di sisi Allah jika dilakukan dengan niat yang benar dan penuh keikhlasan.
Dalam konteks pekerjaan, integriti bukan hanya berkait dengan isu besar seperti rasuah, salah guna kuasa atau ketirisan kewangan. Ia bermula daripada perkara yang kelihatan remeh namun mencerminkan kejujuran diri seperti menepati masa, menunaikan janji, tidak membuat tuntutan palsu, tidak menyalah guna kemudahan pejabat dan menghormati waktu bekerja. Nilai-nilai kecil inilah yang membentuk asas kepada keutuhan moral dan reputasi sesebuah organisasi.
Di sebalik kesibukan tugasan dan mesyuarat yang tak berkesudahan, tersimpan satu amanah besar iaitu waktu bekerja. Ia bukan sekadar tempoh untuk menyiapkan tugasan tetapi peluang untuk menzahirkan kejujuran dan tanggungjawab. Setiap minit yang dimanfaatkan dengan betul menjadi ibadah di sisi Allah SWT. Individu berintegriti tidak menunggu pujian manusia, sebaliknya bekerja dengan itqan dan istiqamah kerana sedar setiap usaha yang dibuat diperhatikan oleh Allah SWT.
Integriti Teras Budaya Kerja Islam
Dalam sesebuah organisasi, nilai integriti perlu hidup dan diterjemahkan dalam tindakan harian, bukan sekadar disebut dalam dasar atau piagam. Pemimpin wajar menjadi contoh dalam mempamerkan amanah, ketelusan dan disiplin, manakala pekerja pula perlu menjiwai tanggungjawab yang dipikul sebagai satu bentuk ibadah. Gabungan dua kekuatan ini akan melahirkan suasana kerja yang bukan sahaja produktif dan profesional tetapi juga dirahmati dan diberkati Allah SWT.
Bekerja dengan itqan (kesempurnaan) dan istiqamah (konsisten) bermakna seseorang berusaha melakukan yang terbaik dalam setiap tugasan, walau sekecil mana sekalipun. Islam tidak memisahkan urusan dunia daripada nilai akhirat, setiap pelan strategik, laporan prestasi, mesyuarat dan pelaksanaan program boleh menjadi ibadah selagi ia dilakukan dengan niat yang benar dan berpaksikan kejujuran.
Dalam era moden yang serba mencabar ini, ramai mungkin terperangkap dalam budaya kerja yang mengejar angka, kedudukan atau pengiktirafan. Namun, ukuran kejayaan di sisi Allah SWT jauh lebih mendalam daripada sekadar statistik atau penarafan prestasi. Kejayaan yang hakiki ialah apabila sesuatu usaha membawa manfaat kepada orang lain, menjauhkan diri daripada penyelewengan serta menzahirkan rasa syukur dan tawakal atas setiap hasil yang diperoleh.
Budaya kerja berasaskan nilai Islam seperti amanah, adil, telus dan tanggungjawab perlu dipupuk secara berterusan dalam diri setiap warga kerja. Apabila nilai ini menjadi darah daging, seseorang tidak lagi bekerja kerana arahan atau pemantauan tetapi kerana kesedaran bahawa setiap tugasan adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.
Sesungguhnya, kejayaan yang sebenar bukanlah diukur melalui angka keuntungan, pangkat atau pencapaian semata-mata. Kejayaan yang hakiki ialah apabila sesuatu pekerjaan mendapat keredaan Allah SWT. Inilah KPI tertinggi yang sepatutnya menjadi keutamaan setiap Muslim dalam apa jua bidang tugas kerana laporan prestasi yang paling penting bukanlah yang dihantar kepada ketua jabatan, tetapi yang bakal dipersembahkan di hadapan Allah SWT, Tuhan yang Maha Mengetahui setiap niat dan usaha hamba-Nya.

