UM bantu tangani isu tanah lembut sawah di Tanjong Karang

Mencerminkan komitmen Universiti Malaya dalam menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan komuniti.

Feature Image (3)

Oleh: ROSAZLIN ABDULLAH

KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 – Kestabilan tanah merupakan faktor penting dalam memastikan kelangsungan sektor pertanian padi serta menjamin keselamatan makanan negara.

Dalam konteks pertanian moden, keupayaan tanah menampung beban jentera amat diperlukan bagi memastikan operasi ladang dapat dijalankan secara cekap dan berkesan.

Secara teknikal, sawah padi yang sesuai untuk penggunaan jentera perlu mempunyai keupayaan galas tanah melebihi 3.0 kg/cm². Namun, kewujudan tanah lembut yang mempunyai indeks penembusan rendah serta kandungan air yang tinggi menyebabkan tanah mudah mendap dan tidak stabil.

Bagi membantu komuniti pesawah memahami dan menangani isu berkenaan, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan UM Soil Doctor Programme 2.0 (SOILID – Soil Improvement for Lasting Integrated Development) pada 2 dan 3 Januari lalu di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang.

Program berasaskan pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) itu melibatkan pelajar Tahun Kedua Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Fakulti Sains, UM.

Tanjong Karang sebagai salah satu jelapang padi utama negara turut berdepan cabaran tanah lembut akibat faktor cuaca tidak menentu, tempoh pengeringan tanah yang singkat, pengubahsuaian jentera yang tidak sesuai serta amalan pengurusan penanaman yang kurang teratur. Keadaan ini memberi kesan terhadap kestabilan tanah dan produktiviti padi.

Program SOILID mengetengahkan pendekatan pembelajaran dua hala melalui ceramah kepakaran, sesi dialog, lawatan tapak sawah dan pameran pendidikan. Para peserta turut didedahkan kepada kaedah mitigasi yang praktikal dan lestari berdasarkan keadaan setempat.

Antara aktiviti lapangan yang dijalankan ialah pengukuran kekuatan tanah menggunakan peralatan Penetrologger sehingga kedalaman 80 sentimeter. Selain itu, pelajar turut memperkenalkan tiga konsep inovasi berteraskan tema “Cabaran dan Penyelesaian Tanah Lembut”, merangkumi modul pembelajaran, cadangan pengurusan pengairan dan mekanisasi, serta penggunaan sisa pertanian seperti biochar bagi meningkatkan kestabilan tanah.

Hasil perbincangan mendapati sistem saliran di kawasan Tanjong Karang berada pada tahap memuaskan. Namun, penambahbaikan dari segi pengurusan penanaman dan penyesuaian terhadap perubahan cuaca perlu diberi perhatian bagi mengurangkan risiko tanah menjadi terlalu lembut.

Pegawai Penyelidik Kanan MARDI, Mohamed Fauzi Md Isa berkata, program ini memberi pendedahan penting kepada pesawah dan pelajar mengenai faktor tanah yang mempengaruhi produktiviti pertanian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah IADA Barat Laut Selangor, Ahmad Luthfi Ismail menyifatkan pendekatan pemindahan ilmu ini sebagai langkah relevan dalam menyokong pembangunan pertanian padi yang mampan.

Pesawah tempatan, Zulkarnain Haidzir, menyatakan program ini membantunya memahami isu tanah lembut secara lebih saintifik, manakala Ketua Kampung Blok AGH, Zam Zaidi Masri, menganggap program ini sebagai platform berkesan untuk meningkatkan kesedaran komuniti.

Penasihat Program SOILID, Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah menjelaskan bahawa penglibatan pelajar dalam program SULAM memberi pengalaman pembelajaran bermakna melalui aplikasi ilmu secara langsung di lapangan.

Menurut Pengarah Program merangkap wakil pelajar, Liang Xinyu, program ini membuka ruang kepada pelajar untuk berkongsi idea dan cadangan berdasarkan pembelajaran akademik demi kepentingan keselamatan makanan negara.

Secara keseluruhannya, penganjuran UM Soil Doctor Programme 2.0 mencerminkan komitmen Universiti Malaya dalam menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan komuniti, sekali gus memperkukuh kerjasama antara universiti, agensi dan masyarakat ke arah kelestarian sektor pertanian negara.