Ulasan karya seni kreatif sebagai dorongan, menghidupkan minat

Masyarakat kerap kali akan menonton drama dan membaca novel bagi mendapatkan sentuhan luar biasa iaitu antara imaginasi puitis penulis dan lanskap kreativiti pengarahan.

Feature Image (3)

DEWASA ini, kita mampu lihat dan menilai berkenaan tahap kematangan dalam penghasilan hasil karya seni kreatif seperti drama, telefilem dan juga filem.

Pembikinannya semakin rancak mendahului dan tidak salah dikatakan bahawa ini merupakan suatu anjakan yang positif apabila penerbitan pelbagai genre telah berjaya dihasilkan dan turut mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat.

Bukan itu sahaja, penerbitan drama dan filem juga mampu mengangkat karya-karya penulisan sastera seperti cerpen mahupun novel untuk diadaptasi dan diterjemahkan ke layar skrin.

Terdapat besar jumlahnya tajuk-tajuk drama, telefilem mahupun filem yang dilahirkan melalui adaptasi sastera mengatasi carta dari arah pandangan masyarakat.

Masih teringat lagi ketika kunjungan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 yang lalu di mana kelihatan perhatian yang sangat menggalakkan pada hasil karya sastera khususnya kepelbagaian judul novel terutamanya yang telah berjaya diadaptasi ke drama atau filem.

Tersusun indah novel pelbagai tema dari penulis terkenal atau nama-nama besar dalam lapangan penulisan sastera tempatan kelihatan menitip menghiasi rak-rak buku jualan yang senantiasa menjadi pusat perhatian pengunjung.

Apakah yang mendorong populariti ini?

Salah satunya adalah kebanyakan novel adaptasi drama/filem telah mempunyai golongan pengikut setianya yang tersendiri. Tak kira sama ada penerbitan novel atau kelahiran adaptasi drama yang terlebih dahulu mendapat perhatian masyarakat tetapi natijahnya ia akan saling berkaitan di akhirnya.

Masyarakat kerap kali akan menonton drama dan membaca novel bagi mendapatkan sentuhan luar biasa iaitu antara imaginasi puitis penulis dan lanskap kreativiti pengarahan.

Ringkasnya, walau telah menonton drama atau filem adaptasi dari novel, berpaksikan sifat ingin tahu yang mendalam, mereka masih mendambakan versi cetak bagi penghayatan yang lebih mencengkam dalam menghurai pengalaman tontonan mereka dan begitulah juga keadaan sebaliknya.

Tak kira mereka telah menonton atau pun membaca novel terlebih dahulu, ia bukanlah persoalan utama. Tetapi lebih kepada keadaan yang menggerakkan mereka untuk membuka peti televisyen untuk menonton ataupun menyelak helaian buku untuk memulakan pembacaan.

Perkara inilah yang cuba diungkapkan iaitu antara faktor yang mendorong mereka setia membaca atau menonton naskah adaptasi seni kreatif.

Banyak unsur yang menyumbang kepada keadaan ini seperti kekuatan jalan cerita, gaya persembahan, watak dan perwatakan, keaslian, mesej yang dibawa, sokongan penggunaan teknologi dan lain-lain yang bersangkutan.

Meskipun sekaliannya itu berdasarkan penyambutan khalayak secara khusus berpedomankan hasil naskah kreatif yang diciptakan secara terus.

Apa yang cuba dibawa ialah dari sudut landskap penerimaan sokongan khalayak berdasarkan peranan ulasan karya kreatif atau kritikan filem yang dibawa melalui penulisan yang tertumpu kepada sesuatu drama atau filem sebagai olahan idea berdasarkan perspektif penulis yang menilai dari sudut pandangan mereka.

Dengan kata mudah, kata-kata atau fikiran dari pihak ketiga yang mempunyai justifikasi pengalaman dan mengembangkan naratif secara penghuraian dalam bentuk ulasan karya berkenaan kebaikan dan kelemahan yang dapat disimpulkan di media.

Secara ringkasnya, ulasan karya kreatif merupakan salah satu jenis penulisan umum yang kian mendapat tempat tak kira di pihak si penulis mahupun pihak si pembaca.

Sama ada di majalah, akhbar, portal berita mahupun di platform digital, penerbitannya amat menggalakkan. Dalam kalangan penulis juga muncul dalam pelbagai latar belakang seperti golongan pendidik, profesional, aktivis persatuan dan orang awam turut terdorong untuk melunaskan tanggungjawab intelektual.

Penulisan berbentuk ulasan karya ini secara amnya berfungsi sebagai pencetus ilham yang bermanfaat dan pelahiran maksud berteraskan pengalaman dalam pembentukan fikiran serta mewakili suara cergas masyarakat dalam membentuk jalinan komunikasi pelbagai bidang.

Berbalik kepada perihal adaptasi drama dan filem, penulisan berbentuk ulasan karya boleh memainkan faktor penting dalam keupayaan menguasai jumlah tontonan terhadap sesebuah karya adaptasi ekoran unsur penceritaan berupa pandangan berupaya menjadi pedoman awal kepada potensi khalayak.

Ulasan karya kreatif boleh dikategorikan kepada dua secara amnya iaitu dari sudut pandangan profesional dan juga khalayak awam.

Sudut pandangan profesional kebiasaannya diolah oleh mereka yang mempunyai pengetahuan yang terkait dengan industri sama ada pengkritik filem, sutradara, penulis mahupun dikalangan ahli akademik yang mempunyai kebijaksanaan dalam bidang penerbitan.

Manakala khalayak awam adalah mereka yang mempunyai kecenderungan dan apa yang telah dialami berkaitan dengan subjek seperti peminat drama atau novel. Malah turut berkebolehan dengan cara menulis dan memahami karya serta kesudian untuk berkongsi penilaian untuk bacaan umum.

Keistimewaannya adalah kedua-duanya berupaya menarik minat dan membentuk keyakinan khalayak untuk meluangkan masa menonton atau membaca karya adaptasi dengan hujahan penceritaan mengikut acuan pandangan tersendiri.

Bagi ulasan karya yang ditulis oleh golongan profesional rata-ratanya bertunjangkan ulasan berbentuk deskriptif berkaitan kualiti yang dijelmakan dalam naskah seni kreatif seperti kekuatan naratif, penghayatan watak, kesinambungan babak, paparan nilai mesej, rangkuman teknologi dan kesinambungan gabungan antara novel dan adaptasi drama mahupun filem.

Diteliti dari sudut penulisan, ulasan karya kreatif kelihatan cenderung dengan penyampaian yang bersahaja dan ringkas tetapi tetap berpotensi untuk mempengaruhi pembaca untuk menerima gagasan atau saranan yang menyangga dengan hujah yang berstruktur.

Di sinilah peri pentingnya jalinan yang wujud melalui gaya penyampaian iaitu walaupun ianya diulas oleh orang yang ahli dalam bidang tetapi kaedah penyampaian yang sesuai dengan golongan sasar telah menjadikannya lebih berkesan dalam konteks perkongsian ilmu.

Tambahan pula ulasan yang baik bakal memberikan kesan yang ketara terutama pada penonton baharu. Penggunaan perkataan yang mudah difahami, penghuraian dengan intonasi ayat yang seimbang dan mewujudkan kesetaraan pemikiran telah menjadikannya formula terbaik penerimaan khalayak terhadap ulasannya.

Ulasan karya daripada perhatian umum pula lebih mendasari perihal sudut keharmonian yang wujud seperti kesesuaian kandungan dengan penonton, aspek emosi yang disisipkan, tafsiran logika adegan yang berlaku, kepuasan jalan cerita dan dambaan gambaran serta manfaat yang bakal diperolehi penonton.

Kesesuaian gaya bahasa perlu bagi memudahkan penyampaian mesej dalam konteks yang bermanfaat untuk dimengerti secara tuntas dan kesepaduan makna yang cuba disampaikan bagi tujuan pengukuhan mengekspresi pembaca demi merangkul persetujuan atau penerimaan positif.

Yang pasti, kedua-duanya berperanan penting dalam meluaskan pengalaman pemikiran masyarakat khalayak tentang seni pengetahuan yang ingin dikongsikan walaupun ianya berbeza darisegi gaya dan corak penulisan.

Akhir kata, faktor penerimaan khalayak bukan hanya bersandar pada ruang lingkup tema yang diangkat, jalan cerita yang bagus, sudut kualiti penghasilan dan strategi promosi tetapi berkesinambungan dengan jajaran ulasan karya kreatif yang secara aktif membantu merangsang perspektif pemikiran penonton.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.