Jalani ibadah korban secara lestari menurut sunnah

IBADAH korban yang dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha merupakan satu ibadat penting dalam agama Islam, di mana haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan unta disembelih sebagai tanda ketaatan dan penghormatan kepada Allah SWT.

Bahkan ibadah ini merupakan antara amalan paling dicintai oleh Allah SWT.

Hal ini dapat dilihat pada hadith Nabi SAW bermaksud: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Riwayat al-Tirmizi)

Namun, amalan yang baik ini boleh juga mendatangkan keburukan dan dosa sekiranya tidak didasari dengan amalan dan prosedur yang sebetulnya lebih-lebih lagi apabila melibatkan etika pengendalian haiwan dan pencemaran alam sekitar.

Antaranya berkaitan kebajikan haiwan dan pengurusan sisa haiwan seperti najis, darah, daging yang tidak digunakan dan bahagian-bahagian lain daripada haiwan tersebut. Pembuangan sisa yang tidak teratur boleh mencemarkan alam sekitar.

Selain itu, proses penyembelihan memerlukan penggunaan air untuk membersihkan haiwan dan tempat penyembelihan.

Penggunaan air yang berlebihan boleh menyebabkan masalah, terutama di kawasan yang sumber airnya terhad.

Begitu juga dalam masa yang sama permintaan yang tinggi untuk haiwan korban boleh menyebabkan penyalahgunaan sumber semula jadi seperti air dan makanan.

Dari lensa Islam, Nabi Muhammad SAW telah memberikan gagasan dan pedoman dalam mewujudkan ibadah korban lestari.

Beberapa prinsip yang diajarkan oleh Nabi SAW adalah sebagaimana berikut:

Pertama, Kesederhanaan dalam Penggunaan Sumber. Nabi Muhammad SAW hidup dengan sederhana dan mengajarkan umatnya untuk tidak berlebihan dalam apa-apa jua perkara termasuk penggunaan sumber alam semula jadi.

Baginda menekankan pentingnya berlaku adil dalam pemakaian sumber alam semulajadi dan menghindari amalan pembaziran terutamanya penggunaan sumber makanan seperti daging haiwan dan penggunaan sumber asli seperti air.

Hal ini disebutkan dalam sebuah hadith Nabi SAW bermaksud: “Kenapa berlebih-lebihan dengan air wahai Sa’ad? Sa’ad berkata: Adakah dalam berwuduk ada juga berlebih-lebihan? Jawab baginda: Ya. Walaupun kamu sedang berada di sungai yang deras airnya.” (Riwayat Ibn Majah)

Kedua, Ihsan terhadap haiwan. Nabi Muhammad SAW memberikan ajaran yang menyuruh umatnya untuk memperlakukan haiwan dengan ihsan dan penuh kasih sayang.

Beliau mengajarkan pentingnya memberi makan, memberi minum dan merawat haiwan dengan baik begitu juga mempermudah urusan penyembelihan.

Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan perbuatan baik (ihsan) atas segala sesuatu. Jika kalian membunuh maka berlakulah baik dalam hal tersebut. Jika kalian menyembelih perelokkanlah sembelihan kamu. Hendaklah kalian mengasah pisaunya dan menyenangkan haiwan sembelihan.” (Riwayat Muslim)

Ketiga, Kebersihan Tempat Korban. Nabi Muhammad SAW mengajarkan pentingnya pengelolaan yang baik termasuklah dalam pengurusan kebersihan lokasi penyembelihan. Hal ini berikutan kebersihan merupakan asas dan gagasan yang sentiasa dipupuk dalam Islam.

Nabi SAW menyebutkan: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Amalan kebersihan yang baik mencegah penularan penyakit daripada haiwan ke manusia.

Patogen dapat menular melalui daging yang tercemar jika haiwan tidak diurus dengan betul sebelum, semasa, dan selepas proses penyembelihan.

Kebersihan yang baik juga membantu dalam mengekalkan kualiti daging, termasuk rasa, tekstur, dan nilai nutrisi.

Keempat, Keselamatan Makanan. Makanan merupakan topik yang penting dalam amalan sunnah. Pengambilan makanan bukan sahaja untuk kepentingan fizikal tetapi juga spiritual. Makanan yang bersih dan halal amat penting bagi menjaga kesihatan dan mengelakkan sebarang kemudaratan.

Makanan yang halal dan tayyib dapat mengurangkan risiko keracunan makanan yang boleh memberi kesan serius kepada kesihatan manusia.

Umat Islam hendaklah memastikan kualiti daging dalam keadaan baik, selamat dimakan dan bebas dari kontaminasi. Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya halal dan haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara syubhat (samar) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia.” (Riwayat Bukhari)

Kelima, Pengurusan Sisa. Sisa sembelihan yang berbentuk pepejal dan cecair perlu diurus dengan cermat.

Islam amat menekankan aspek pengurusan sisa makanan mengelakkan penyakit dan kekotoran, memastikan kesejahteraan komuniti muslim, menjaga kebersihan diri, rumah ibadah dan alam sekitar serta satu tanggungjawab tanggungjawab sosial.

Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila makan, Baginda akan menjilat tiga jarinya. Baginda juga bersabda: Sekiranya terdapat makanan salah seorang daripada kamu terjatuh (ke tanah), maka bersihkan kotoran yang menimpanya kemudian makan sahaja. Jangan biarkan makanan tersebut untuk syaitan. Selain itu, Baginda juga mengarahkan kami untuk menghabiskan dan melicinkan makanan yang berada dalam dulang (bekas makanan untuk 5-10 orang makan) lalu berpesan: Sesungguhnya kamu tidak mengetahui pada bahagian mana makanan tersebut yang mempunyai berkat.” (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, ibadah korban Hari Raya Aidiladha merupakan amalan yang sangat dicintai oleh Allah SWT, namun perlu dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran terhadap alam sekitar.

Nabi Muhammad SAW telah memberikan panduan-panduan yang jelas dalam hal ini.

Dengan mengamalkan prinsip-prinsip di atas, umat Islam dapat menjalankan ibadah korban dengan bertanggungjawab dan lestari, menghormati kehendak Allah SWT serta menjaga keseimbangan alam.


Dzulfaidhi Hakimie merupakan calon PhD Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam manakala Dr. Mohd Istajib adalah Pensyarah Kanan Program Sarjana Sains Kelestarian di Fakulti Sains, Universiti Malaya.