Mengimbau warisan hijau Tun Abdullah

Legasi beliau seharusnya terus hidup dalam dasar-dasar yang memelihara keseimbangan antara kemajuan dan alam sekitar.

Poster Terkini (2)


DALAM arus pembangunan pesat yang menuntut pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur, sering kali aspek pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian pertanian terpinggir di pinggir wacana nasional.

Namun, sepanjang pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima (2003–2009), negara menyaksikan suatu pendekatan yang lebih seimbang melalui pembangunan yang tidak mengorbankan alam serta pertanian yang dibina atas dasar ilmu dan teknologi.

Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia ini pada 5 Jun, marilah kira soroti jasa negarawan berjiwa lembut dan sederhana yang juga pelopor kepada dasar-dasar yang menekankan nilai kelestarian sejajar dengan prinsip Islam Hadhari yang diperkenalkan beliau.

Pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini merupakan satu kehilangan besar buat negara. Wajarlah sumbangan beliau dikenang dan dihargai, khususnya dalam usaha menjadikan pembangunan negara lebih lestari dan berteraskan nilai-nilai murni.

Legasi beliau seharusnya terus hidup dalam dasar-dasar yang memelihara keseimbangan antara kemajuan dan alam sekitar serta dalam ingatan rakyat Malaysia yang menghargai kepimpinan berhemah dan berwawasan.

Islam Hadhari, yang menjadi tonggak kepada hala tuju pentadbiran beliau bukanlah sekadar kerangka keagamaan tetapi satu panduan menyeluruh dalam membina sebuah negara maju yang berteraskan nilai.

Salah satu daripada sepuluh prinsip utama Islam Hadhari ialah Pemeliharaan Alam Sekitar yang dilihat sebagai prinsip yang jarang mendapat tempat dalam dasar negara pada ketika itu.

Namun, bagi Tun Abdullah, alam sekitar bukan milik mutlak manusia tetapi amanah Tuhan yang wajib dipelihara. Maka, pembangunan fizikal tidak boleh berlaku dalam keadaan ekosistem dimusnahkan dan sumber alam dimanipulasi secara tidak bertanggungjawab.

Kesedaran ini diterjemahkan beliau dalam bentuk dasar dan strategi negara. Paling berkesan ialah pelancaran Dasar Bioteknologi Negara pada tahun 2005.

Dasar ini membuka lembaran baharu dalam pembangunan sektor pertanian dan kesihatan melalui penyelidikan, inovasi dan aplikasi teknologi tinggi.

Ia menandakan permulaan kepada gelombang baru dalam penghasilan makanan yang lebih selamat, pertanian yang lebih cekap dan pendekatan saintifik dalam menjaga biodiversiti tempatan.

Penulis sendiri merupakan antara pelajar yang menerima manfaat hasil dasar ini dengan berpeluang menyambung pengajian dalam bidang bioteknologi di sebuah institusi pengajian tinggi awam, menyertai penyelidikan bioteknologi industri berasaskan biojisim dan memahami bagaimana sains boleh memperbaiki hubungan manusia dengan alam.

Lebih menarik, dikongsikan pengalaman peribadi penulis berpeluang melawat kediaman rasmi Tun Abdullah dan Tun Jeanne selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri di mana lawatan yang turut disertai delegasi luar negara ini meninggalkan perspektif yang mendalam terhadap cara beliau memahami dan mengamalkan nilai kelestarian.

Rumah beliau, yang kelihatan tenang dan sederhana dari luar, dikelilingi oleh taman bunga yang rapi, tanaman herba tempatan dan pelbagai jenis sayur-sayuran yang ditanam sendiri.

Apa yang lebih mengujakan, semua tanaman tersebut dijaga tanpa bergantung kepada racun kimia, mencerminkan kepercayaan beliau terhadap pertanian organik dan kemandirian makanan.

Kediaman beliau bukan sekadar tempat tinggal tetapi menjadi simbol kepada nilai dan gaya hidup yang selari dengan dasar negara yang beliau laksanakan dan beliau sendiri dapat memperkenalkan sendiri satu demi satu tumbuhan yang ada kepada penulis dan delegasi.

Slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ yang diperkenalkan beliau pula membawa nafas baharu kepada sektor pertanian negara. Daripada sekadar sektor sokongan, pertanian mula diposisikan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang sebenar.

Galakan diberikan kepada usahawan tani, penyelidikan disokong secara sistematik dan teknologi mula diserap masuk ke dalam ladang-ladang dan kebun rakyat.

Ladang durian moden, pusat pemprosesan herba serta projek pertanian berasaskan bioproses mula berkembang pesat semasa era ini.

Semua ini dilakukan tanpa mengabaikan prinsip mesra alam dengan menggunakan sumber air secara cekap, mengurangkan kebergantungan kepada racun perosak, dan mengekalkan kesuburan tanah.

Legasi Tun Abdullah dalam bidang ini mungkin tidak sepopular dasar ekonomi mahupun agenda modal insannya tetapi ia tetap berakar kukuh dan terus berbuah hingga hari ini.

Dalam dunia yang kini semakin dihimpit oleh krisis iklim dan ancaman keselamatan makanan, pendekatan Tun Abdullah tampil menjadi lebih relevan daripada sebelumnya.

Beliau menunjukkan kepada kita bahawa dasar hijau bukanlah sekadar retorik, tetapi boleh dijelmakan melalui dasar, pendidikan dan gaya hidup.

Sebagai seorang rakyat menerima manfaat yang dibentuk secara langsung oleh dasar-dasar beliau, saya melihat kepimpinan Tun Abdullah sebagai satu warisan penting dalam membina masa depan negara yang lebih lestari.

Budi dan jasanya dalam meletakkan asas kepada pembangunan bioteknologi, pertanian moden dan pemeliharaan alam harus terus dihargai dan diteruskan.

Pemimpin seperti beliau mungkin tidak banyak berkata-kata tetapi kesan dan hikmah kepimpinannya akan terus dikenang bukan sahaja oleh manusia tetapi oleh alam itu sendiri serta selaras dengan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud tiada seorang Muslim pun yang bertani, lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima pahala di atas perbuatannya itu.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.