Acara larian denai TMB100 gegar pekan Baling 15 Ogos ini

Acara larian denai berprestij di Malaysia berkenaan akan berlangsung pada 15 hingga 16 Ogos ini.

Feature Image

PUTRAJAYA, 11 Ogos 2025 – Lebih 2,200 peserta daripada pelbagai negara dijangka membanjiri pekarangan pekan Baling, Kedah bagi menyertai acara larian denai ‘The Magnificient Baling 100’ (TMB100) 2025.

Acara larian denai yang merupakan antara yang berprestij dianjurkan di Malaysia dan akan berlangsung pada 15 hingga 16 Ogos ini bakal memasuki edisi ketiga sejak ia diperkenalkan pada tahun 2023.

Penganjur TMB100, Ten Senses (M) Sdn Bhd menjangkakan acara larian pada tahun ini lebih meriah memandangkan jumlah penyertaan telah meningkat lebih 100 peratus berbanding edisi kedua yang berlangsung tahun lalu.

Sehingga kini, acara larian tersebut mendapat penyertaan peserta daripada 13 buah negara iaitu Brunei, China, Chad, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Rusia, Singapura, Switzerland, Thailand, United Kingdom dan Vietnam selain peserta tempatan.

Malah, Pengarah Urusan Ten Senses, Mohd. Bukhari Ismail berkata, jumlah penyertaan bagi ‘ultra’ iaitu larian jarak jauh melibatkan 50 kilometer (KM) dan 100KM juga semakin bertambah berbanding tahun lalu, selain kategori 25KM dan 10KM yang turut mendapat sambutan daripada para peserta.

ANTARA laluan dalam gua yang bakal menyajikan pengalaman berbeza kepada peserta TMB100.

“Kami mula memperkenalkan acara TMB100 ini pada tahun 2023 dengan jumlah penyertaan ketika itu sekitar 700 orang sahaja.

“Kemudian, jumlahnya bertambah kepada hampir 1,000 orang pada edisi tahun lalu dan untuk edisi tahun ini, kami sudah pun menerima pendaftaran peserta sekitar 2,200 orang.

“Apa yang lebih menarik ialah jumlah penyertaan bagi acara larian ‘ultra’ iaitu 50KM dan 100KM turut meningkat berbanding dua edisi sebelum ini.

“Ini menunjukkan peminat acara larian denai di negara ini semakin meminati acara larian jarak jauh bagi menguji ketahanan diri masing-masing setelah sekian lama menceburi larian denai jarak dekat dan sederhana,” ujarnya.

Acara larian denai TMB100 merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Ten Senses dengan kerjasama Kedah Tourism, Majlis Daerah Baling dan Persatuan Rekreasi Luar dan Malim Gunung Baling bagi mempromosikan daerah Baling sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan di negeri Kedah.

SELAIN kawasan hutan, para peserta turut berpeluang merentasi sawah padi yang menyajikan pemandangan indah.

Malah, pemilihan daerah Baling sebagai destinasi acara larian tersebut adalah bertepatan dengan konsep acara larian denai yang memerlukan para peserta melalui laluan merangkumi pelbagai bentuk muka bumi, daripada kawasan bandar, perkampungan tradisional, kawasan sawah padi, sehinggalah kepada meredah laluan di dalam hutan dan gua.

Ia sudah pasti menjanjikan pengalaman berbeza kepada setiap peserta berbanding acara larian denai lain yang diadakan di seluruh negara, sekali gus menawarkan pengalaman baharu kepada mereka.

Dalam pada itu, menurut Mohd Bukhari lagi, berbeza dengan acara larian denai lain, TMB100 menggunakan haiwan terpilih sebagai tema pada setiap tahun penganjurannya sebagai salah satu usaha memperkenalkan haiwan-haiwan yang ikonik dengan hutan di Malaysia.

“Pada edisi pertama yang diadakan pada tahun 2023, kami menggunakan harimau Malaya sebagai logo utama dengan tema ‘Ruler of Two Mountains’, manakala edisi kedua pada tahun lalu menggunakan rusa sebagai logo dengan tema ‘The Wisdom of Deer’.

“Untuk edisi tahun ini, kami menggunakan tema ‘The Origin of Ban Ling’ dengan mengetengahkan monyet sebagai logo dan ia bertepatan dengan perkataan ‘ban-ling’ dalam bahasa Thailand yang membawa maksud monyet,” katanya.

Mengulas mengenai laluan yang bakal dilalui para peserta pula, Mohd Bukhari berkata, antara laluan yang terlibat ialah kawasan Bukit Palong, kawasan sawah padi, laluan tepi Sungai Ketil, Gua Tembus, Gua Layang-layang, Gua Matahari, Gua Ikan, Gua Jepun, Gua Ular dan kaki Gunung Pulai selain kawasan perkampungan tradisional.

Tambahnya, peserta bagi kesemua acara akan dilepaskan di kawasan pelepasan di Pekan Baling dan akan menamatkan larian di lokasi sama mengikut tempoh waktu yang ditetapkan bagi setiap jarak larian.

EXCO Pelancongan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran lebih 2,000 peserta acara larian tersebut ke negeri berkenaan khususnya ke daerah Baling bagi menikmati keindahan daerah kedua terbesar negeri jelapang padi itu.

Malah katanya, bersempena Tahun Melawat Kedah 2025 yang bertemakan ‘Experience Kedah’, para peserta turut berpeluang meneroka keunikan seluruh negeri Kedah yang mempunyai pelbagai lokasi menarik untuk dilawati.