Jangan biarkan ahli akademik kita ‘tersesat’ mengejar KPI

KPI diletakkan sebagai mekanisme untuk mengukur prestasi, memantau produktiviti dan memastikan universiti bergerak seiring dengan piawaian antarabangsa.

Feature Image (3)

DALAM dunia akademik, istilah Key Performance Indicator (KPI) sudah menjadi sebati dalam kehidupan seharian pensyarah universiti.

Di atas kertas, KPI diletakkan sebagai mekanisme untuk mengukur prestasi, memantau produktiviti dan memastikan universiti bergerak seiring dengan piawaian antarabangsa.

Namun, di sebalik angka-angka indah yang terpampang dalam laporan tahunan, ada satu paradoks besar yang sering membelenggu staf akademik iaitu mereka sibuk mengejar KPI tetapi semakin jauh daripada membina kepakaran yang kukuh, yang sebenarnya menjadi asas pengiktirafan sejati di peringkat antarabangsa.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing. Ramai pensyarah mengakui bahawa dalam setahun, mereka perlu menghasilkan sejumlah penerbitan, menyertai pelbagai seminar, melibatkan diri dalam projek penyelidikan dan melaksanakan aktiviti pengajaran yang kadangkala tidak selari dengan minat atau bidang kepakaran mereka.

Tekanan untuk memenuhi senarai panjang KPI menjadikan tenaga akademik lebih cenderung bekerja secara mekanikal, menghasilkan ‘produk akademik’ yang cukup untuk memenuhi keperluan tahunan tetapi tidak membawa nilai yang mendalam terhadap perkembangan ilmu.

Kesan jangka panjang daripada budaya ini amat membimbangkan. Seorang akademik mungkin berjaya mengumpul angka-angka mengagumkan—puluhan artikel diterbitkan, beratus jam pengajaran dilaksanakan, pelbagai geran penyelidikan diperolehi, namun apabila diteliti, sebahagian besar hasil tersebut tidak berkait rapat dengan bidang kepakarannya.

Akademik yang sepatutnya menjadi pakar rujuk dalam satu bidang khusus akhirnya tampil dengan portfolio yang luas tetapi dangkal, tidak cukup untuk meletakkan dirinya sebagai autoriti di mata komuniti antarabangsa.

Masalah ini turut menyentuh isu pengiktirafan keilmuan. Di peringkat global, pengiktirafan tidak datang semata-mata kerana kuantiti penerbitan tetapi kerana konsistensi, kedalaman dan sumbangan bermakna dalam satu bidang khusus.

Nama-nama besar dalam akademia antarabangsa dikenali bukan kerana mereka menulis tentang segala-galanya tetapi kerana mereka menulis dengan mendalam tentang sesuatu yang spesifik, berdekad lamanya. Inilah yang membina reputasi.

Sayangnya, apabila tenaga akademik terpaksa beralih daripada satu projek ke projek lain demi mengejar KPI, kesinambungan dalam membina wibawa keilmuan sering terganggu.

Satu lagi dimensi yang perlu diperhatikan ialah bagaimana sistem KPI memberi kesan kepada kreativiti dan keberanian untuk bereksperimen. Kajian-kajian besar yang memerlukan masa panjang, kajian lapangan yang rumit atau penulisan buku ilmiah yang mendalam sering diketepikan kerana ia tidak menjanjikan ‘mata’ yang tinggi dalam laporan tahunan.

Sebaliknya, tenaga akademik terdorong untuk menghasilkan artikel pendek dan cepat diterbitkan demi memastikan sasaran tahunan tercapai.

Dalam jangka masa panjang, budaya ini bukan sahaja melemahkan perkembangan ilmu tetapi juga mencipta “kilang penerbitan” yang miskin nilai intelektual.

Tidak dapat dinafikan, KPI ada fungsinya sebagai alat ukur keberkesanan universiti. Namun, sistem yang terlalu rigid dan berpaksikan angka menafikan hakikat bahawa ilmu itu berkembang melalui masa, konsistensi, dan kebebasan akademik.

Universiti sepatutnya menjadi medan untuk para sarjana mengembangkan idea, mencabar paradigma dan menghasilkan pengetahuan baharu yang relevan dengan masyarakat.

Sebaliknya, apabila staf akademik dikurung dalam kerangka KPI yang sempit, ruang ini menjadi semakin terhad.

Apa yang lebih ironis, budaya ini boleh menyebabkan universiti sendiri kehilangan identiti akademiknya. Apabila pensyarah sibuk mengejar bilangan penerbitan, institusi pendidikan tinggi berisiko dilihat sebagai organisasi yang hanya mementingkan kedudukan dalam ranking global, bukan sebagai pusat pemikiran yang memacu perubahan.

Lebih parah lagi, pelajar yang seharusnya menjadi penerima manfaat utama ilmu—turut terkesan apabila pensyarah lebih fokus kepada memenuhi KPI berbanding menyalurkan kepakaran dan pengalaman sebenar kepada bilik kuliah.

Maka, persoalan besar yang perlu kita ajukan ialah: bagaimana untuk menyeimbangkan keperluan mengukur prestasi dengan keperluan membina reputasi akademik yang sebenar?

Jawapannya bukan dengan menolak KPI secara total tetapi dengan merombak sistem agar lebih berfokus kepada kualiti, kesinambungan dan impak.

Sebagai contoh, penilaian prestasi boleh memberi ruang kepada staf akademik untuk menetapkan ‘jalur kepakaran’ mereka iaitu bidang khusus yang ingin mereka bangunkan secara konsisten dan segala penghasilan akademik dinilai berdasarkan sejauh mana ia menyumbang kepada pengukuhan jalur tersebut.

Dengan cara ini, pensyarah tidak lagi terpaksa melompat daripada satu bidang ke bidang lain demi angka, tetapi boleh menumpukan tenaga dan kreativiti mereka untuk menjadi pakar dalam satu cabang ilmu.

Akhirnya, universiti yang hebat bukan diukur melalui setebal mana laporan KPI tahunan atau setinggi mana markah KPI yang diperolehi tetapi melalui sejauh mana ia melahirkan sarjana yang diiktiraf kerana kepakaran, kesarjanaan dan sumbangan bermakna mereka kepada masyarakat dan dunia.

Untuk itu, kita harus kembali meletakkan nilai sebenar akademia iaitu membina ilmu, memperkukuh kepakaran dan memastikan nama Malaysia dikenali kerana pemikiran yang segar, mendalam dan bernilai.

Jika tidak, kita akan terus terperangkap dalam paradoks: universiti yang kaya dengan angka tetapi miskin dengan jiwa keilmuan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.