UTM-MJIIT perkasa murid PPKI SK Taman Kepong menerusi projek Azolla
Azolla dikenali sebagai “tumbuhan super” kerana fungsinya sebagai baja biologi, makanan ternakan berkhasiat serta agen pembersih air semula jadi.
KUALA LUMPUR, 12 Februari 2026 – Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju inovasi sosial menerusi pelaksanaan projek pemindahan ilmu berkaitan paku pakis air, Azolla kepada Murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Taman Kepong baru-baru ini.
Projek yang diterajui oleh pasukan penyelidik MJIIT di bawah pimpinan Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad ini memberi tumpuan kepada penggunaan Azolla sebagai sumber makanan ternakan alternatif yang lestari.

Inisiatif tersebut dilaksanakan melalui geran Dana Komuniti @UniMADANI daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) selaras dengan agenda Malaysia MADANI dalam memperkasa komuniti menerusi inovasi inklusif.
Teknologi Hijau Sebagai Terapi dan Latihan Kemahiran
Azolla dikenali sebagai “tumbuhan super” kerana fungsinya sebagai baja biologi, makanan ternakan berkhasiat serta agen pembersih air semula jadi.
Melalui projek ini, teknologi penanaman Azolla yang sistematik diperkenalkan bagi membantu mengurangkan kos makanan ternakan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2: Menghapuskan Kelaparan dan SDG 12: Pengeluaran Bertanggungjawab.
Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah berkata, program ini turut berperanan merapatkan jurang antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat.

“Kami bukan sekadar mengajar kaedah pertanian, malah menerapkan elemen sains dan bioteknologi secara ringkas mengikut tahap kefahaman murid PPKI. Aktiviti ini juga berfungsi sebagai terapi dan latihan kemahiran hidup,” katanya.
Impak Positif Terhadap Pendidikan dan Keusahawanan
Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman terbukti berkesan apabila murid PPKI kini mampu menguruskan kolam ternakan ikan dan penanaman Azolla secara berdikari.
Guru Besar SK Taman Kepong, Nor Asmaruzie Mohd Zain menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu anjakan paradigma yang meningkatkan keyakinan diri murid pendidikan khas.
“Program ini merupakan satu bentuk terapi dan latihan yang sangat bermanfaat kepada pelajar kami,” ujarnya.
Sokongan ibu bapa turut memainkan peranan penting seperti yang dikongsi oleh Ridzwan Abu Bakar mengenai keterujaan anaknya, Umar dalam mempelajari teknik pembiakan Azolla serta mengikuti sesi praktikal di kampus UTM.
Bagi memastikan kesinambungan ilmu, satu Modul Mata Pelajaran Kemahiran Hidup (Pendidikan Khas) berkaitan Azolla dan ternakan ikan telah diterbitkan. Modul ini turut mengandungi elemen keusahawanan, apabila pelajar mula memasarkan hasil ternakan ikan tilapia kepada warga sekolah, sekali gus menjana pendapatan sampingan dan menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti.

Kolaborasi Strategik Demi Kelestarian
Projek ini turut menerima sokongan teknikal daripada Ecolife Agrofarm Sdn. Bhd., yang membekalkan baka Azolla berkualiti. Selain itu, sistem ternakan ikan manual di sekolah telah dinaik taraf kepada sistem yang lebih efisien oleh pasukan MJIIT, sekali gus menjimatkan tenaga dan masa pengurusan.
Kerjasama strategik di bawah model GUCI (Kerajaan, Universiti, Komuniti dan Industri) ini membuktikan bahawa penerapan teknologi hijau mampu memberikan impak menyeluruh.
Ia bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah menjadi pemangkin kepada pemerkasaan ekonomi dan kemandirian golongan berkeperluan khas secara mampan.
